PERUBATANonline v5 RC1

Switch to desktop Register Login

Wawasan Profesional Muslim Kelas Pertama

Rate this item
(0 votes)

logo perubatan

 

Ucapan Dasar Presiden PERUBATAN Sesi 2017/2018

Wawasan Professional Muslim Kelas Pertama

بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهْ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ.

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنِ اهْتَدَى بِهُدَاهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ.

Yang Berbahagia ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN, Ahli-ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN samaada yang baharu atau yang lama. Yang Dihormati Tuan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan seluruh pimpinan PERUBATAN Cawangan. Yang berusaha, saudara Abdol Aziz Bin Muhammad, Pengarah Jawatankuasa Mesyuarat Agung Tahunan (JMAT) Kali Ke-13 serta seluruh jawatankuasa pelaksana. Dan yang dikasihi sahabat-sahabat Perwakilan dan Pemerhati yang hadir dari segenap arah bumi Mesir ke Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-13 ini. Salam perjuangan dan selamat datang saya ucapkan.

 

Segala puji dan syukur buat Allah Azza Wa Jalla, tuhan sekalian alam kerana dengan kasih & rahmahNya maka diberikan kepada kita rantaian nikmat yang tidak putus-putus. Selawat dan salam ke atas junjungan agung Nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada kita umat akhir zaman untuk menyampaikan risalah Islam dan keamanan.

 

Sebelum saya meneruskan ucapan dasar ini, marilah bersama kita hayati firman Allah SWT, dalam ayat ke-35 daripada Surah al-Maidah yang berbunyi:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَابْتَغُوا إِلَيْهِ الْوَسِيلَةَ وَجَاهِدُوا فِي سَبِيلِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan. (Surah alMaidah :Ayat ke-35)

 

Para perwakilan yang dirahmati Allah,

 

Fasa Dunia Yang Semakin Mencabar

 

Kita sedang berada dalam suatu zaman yang sangat mencabar. Pertembungan kuasa-kuasa besar telah memberikan pelbagai implikasi yang besar terhadap seluruh dunia. Perkhidmatan kesihatan di Malaysia sebagai negara yang sedang membangun turut menerima tempias daripada permasalahan global ini. Ditambah pula dengan keadaan semasa yang mendesak, perkhidmatan ini giat berusaha untuk meningkatkan kualiti para petugas & sistem yang terdapat didalamnya. Selain itu, ketidakseimbangan antara jumlah graduan sains kesihatan yang dihasilkan setiap tahun dengan kapasiti hospital yang mampu untuk melatih para petugas kesihatan, mengakibatkan persaingan yang dahsyat dan tidak dapat lagi dielakkan. Sistem HO kontrak yang baru diimplentasikan baru-baru ini juga membuktikan bahawa masa-masa akan datang bakal menuntut kita untuk sentiasa melengkapi diri kita dengan persiapan yang secukupnya dalam menghadapi dunia yang kian mencabar ini.

 

Sebagai persatuan mahasiswa, PERUBATAN sentiasa memandang selangkah kehadapan dalam bab survival ahlinya. Kita faham, zaman ini menuntut kepada kita untuk keluar dari zon selesa. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam kepompong kehidupan yang statikdan jumud. Bertitik tolak dari situ, PERUBATAN bakal membawa ahlinya untuk bersama melengkapi diri masing-masing dan terus maju kehadapan. Matlamat inilah yang bakal dibawa oleh wadah kesatuan ini pada sesi 17/18.

 
Sahabat-sahabiah yang rahmati Allah SWT sekalian, 
 
Wawasan Professional Muslim Kelas Pertama: Pemacu Muslim Gemilang
 
Kita sudahpun tiba ke fasa ke-3 dalam menjayakan Kertas Kerja Pembawaan (VMO) PERUBATAN 2015- 2018. Visi PERUBATAN yang telah dilakar didalam VMO ini adalah "PERUBATAN Sebagai Wadah Integrasi Dalam Membentuk Professional Sains Kesihatan Yang Rabbani & Kompeten". Visi ini sangat relevan kerana ia akan melahirkan petugas kesihatan yang bukan sahaja mampu memberikan khidmat terbaik malah turut mempunyai jiwa hamba yang sufi & daie.
 
Setelah dua sesi kita bertungkus lumus dalam pelaksanaan asas VMO ini, maka pada sesi 1718 kita bakal bergerak kearah pembinaan professional muslim yang sebenar. Oleh yang demikian, satu wawasan telah dirangka untuk merealisasikan visi ini iaitu "Wawasan Professional Muslim Kelas Pertama".
 
Wawasan ini bertujuan untuk membawa PERUBATAN & ahlinya untuk maju terus kehadapan & akhirnya menjadi gelombang perubahan apabila pulang ke tanah air kelak. Ianya bakal mematangkan PERUBATAN sebagai persatuan mahasiswa dan dalam masa yang sama melahirkan mahasiswa & profesional sains kesihatan yang berkualiti tinggi malah turut mempunyai sanubari yang islami. Inilah yang cuba dimaknakan melalui visi kelas pertama ini.
 
Rakan-rakan seperjuangan semua,
 
2 Teras Pembangunan Wawasan
 
Dalam menjayakan visi yang besar ini maka kita memerlukan kepada perancangan yang teliti. Fokus utama perancangan juga perlu dibina supaya agenda tersebut berjaya capai. Oleh yang demikian, perancangan kearah wawasanv ini akan berpusat terhadap dua teras utama pembangunan iaitu:
1. Pembinaan mahasiswa yang bersifat rabbani & kompeten.
2. Pembangunan ke arah PERUBATAN yang mapan & berdaya saing.
 
Teras pertama pembangunan wawasan ini bakal memberikan impak terus kepada proses realisasi wawasan ini. Kita faham, modal insan merupakan sumber yang sangat bernilai. Sebagai persatuan yang mempunyai matlamat jangka masa panjang, kita melihat mahasiswa yang berada di bumi Mesir ini sebagai agen-agen yang akan membentuk Malaysia yang hebat & dirahmati Allah SWT.
 
Disebabkan itu, kita bakal menumpukan tentang bagaimana untuk melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri asas berikut:
1. Berjiwa daie & rabbani
2. Intelek & professional
3. Mempunyai pelbagai kemahiran (multiskill) & mampu menyesuaikan diri dalam suasana yang kritikal dan sentiasa berubah-ubah.
 
Dalam melaksanakan matlamat ini , kita telah merangka 3 pendekatan penting untuk dilaksanakan oleh seluruh ahli PERUBATAN. Antaranya adalah:
1. Penekanan Tarbiah & Kesatuan kepada mahasiswa sains kesihatan melalui unit-unit khas & medium-medium lain yang terdapat dalam PERUBATAN.
2. Pembudayaan perbincangan ilmiah & topik-topik kritikal antara sesama mahasiswa.
3. Pembinaan profesional yang mempunyai pelbagai kemahiran(multiskill) melalui integrasi silibus & pengisian yang terdapat dalam PERUBATAN.
 
Hadirin hadirat sekalian,
 
Teras kedua pembangunan ini pula akan menumpukan kearah bagaimana untuk menyesuaikan PERUBATAN dengan keadaan semasa yang penuh cabaran. Seperti yang sedia maklum, pengurangan secara drastik kehadiran pelajar-pelajar baharu ke bumi Mesir telah sedikit sebanyak memberi kesan kepada gerak kerja kesatuan yang besar ini. Ditambah pula dengan pelbagai desakan untuk terus menambah manfaat kepada ahli-ahlinya, PERUBATAN pada masa akan datang dilihat bakal menghadapi badai dalam memastikan kesatuan ini kekal utuh dan relevan.
 
Oleh yang demikian, fokus ini bakal memberikan suntikan baharu kepada struktur & gerak kerja PERUBATAN yang mana akan mereformasi PERUBATAN sebagai persatuan induk mahasiswa di bumi berkat ini. Untuk melaksanakan objektif ini, setiap jentera yang ada dalam PERUBATAN samaada yang berada diperingkat PERUBATAN, PERUBATAN Cawangan, Unit-Unit Khas, sehinggalah diperingkat pengurusan AJK Kecil perlu melaksanakan item-item berikut:
1. Mengekalkan keberkesanan & kecekapan dalam operasi pada tahap yang tinggi. Keseimbangan antara kos dan hasil juga perlu sentiasa dititik beratkan supaya kita berjaya menggunakan sumber(resource) bagi menghasilkan impak(outcome) yang tinggi.
2. Sentiasa mengkaji peluang & manfaat baharu yang bakal memberikan nilai kebaikan yang besar kepada ahli & PERUBATAN.
3. Melakukan analisis keadaan semasa jentera yang dioperasikan &merangka kemajuan atau adaptasi masa hadapan sekiranya perlu.
 
Saudara-saudari ahli PERUBATAN yang budiman,
 
4 Misi PERUBATAN : Asas Realisasi Matlamat
 
Dalam usaha untuk memastikan objektif ini mampu untuk dicapai, maka PERUBATAN 1718 melihat 4 misi PERUBATAN merupakan mekanisme terbaik dalam proses untuk membumikan matlamat besar ini. Misi-misi ini bakal dibawa selari dengan 2 fokus utama pembangunan yang telah diterangkan sebentar tadi.
 
Teras pembangunan PERUBATAN yang mapan & berdaya saing bakal disokong oleh misi Profesionalisme &Kesatuan, manakala teras pembinaan mahasiswa yang rabbani & kompeten pula disandarkan pada kemajuan misi Akademik & Pembangunan Insan.
 
     1. Misi Pembangunan Insan: Tapak Pembangunan Insan Rabbani
 
Pembangunan insan merupakan sebahagian misi yang paling penting dalam PERUBATAN.. Sesuai dengan wawasan kita untuk melahirkan muslim kelas Pertama di dunia & akhirat, kita bakal mengukuhkan kefahaman Islam yang jelas disamping Ilmu Asas Fardhu Ain yang mantap dalam kalangan ahli. Selain dari itu, pergerakan Smart Circle(SC) melalui Mentor Council(MC) juga akan diperkemas. Kita yakin, melalui perjalanan SC yang teratur dan istiqamah lah kita akan dapat melahirkan muslim yang hebat ilmunya, dan hebat fikrahnya.
 
Disamping itu, antara fokus kita juga adalah memperkukuhkan pendidikan (tarbiyah) melalui jawatan & unit-unit khas. Jawatan-jawatan perlulah menjadi sebahagian daripada medan pendidikan kepada semua ahli PERUBATAN. Semua pimpinan PERUBATAN perlulah menerangkan kepada ahli yang dipimpin berkenaan kelebihan dalam menyumbang kepada masyarakat dan juga sentiasa menerapkan semangat kesukarewanan dan keikhlasan kedalam sanubari kita. Yakinlah sahabatsahabat sekalian, sekiranya kita betul ikhlas dalam melaksanakan khidmat, Allah akan menaikkan darjat kita ketahap yang lebih tinggi.
 
     2. Pengamal Kompeten Matlamat Misi Akademik
 
Bidang sains kesihatan merupakan bidang tugas utama kehadiran kita ke bumi barakah ini. Agenda ini sentiasa menjadi penumpuan PERUBATAN sejak awal ditubuhkan pada tahun 2003 yang lampau. Kita akan tetap berusaha meningkatkan kualiti ahli dari sudut teori & klinikal melalui pelbagai medium yang telah disediakan seperti Mock Exam, Tutorial & Health Academy(HA). Kita juga sangat menggalakkan para mahasiswa untuk bergelumang dalam perbincangan akademik & dunia intelek.Untuk pengetahuan hadirin sekalian, pada sesi akan datang kita akan berusaha ke arah pelaksanaan projek kajian ilmiah oleh ahli-ahli PERUBATAN yang akan diimplentasikan melalui medium Health Academy. PERUBATAN juga akan berusaha untuk menambah manfaat kepada ahli melalui penerbitan buku-buku yang akan membantu akademik ahlinya.
 
Dalam masa yang sama, kita juga akan terus menumpukan usaha bagi membantu sahabat-sahabat kita yang mempunyai masalah dalam pengajian samaada pertolongan secara langsung atau tidak langsung. Namun begitu, ahli PERUBATAN perlulah beriman dengan firman Allah yang berbunyi:
 
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ 
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..” (Surah ar-Ra’du :Ayat ke-11)
 
Agen-agen perubahan sekalian,
 
     3. Misi Professional Suatu Kemestian
 
Profesionalisme merupakan salah satu ciri-ciri Muslim Kelas Pertama. Dalam misi ini, kita melihat adalah suatu keperluan untuk melaksanakan integrasi ilmu & silibus yang ada dalam PERUBATAN. Sebagai contoh, silibus fikah perubatan yang terdapat dalam Unit Fikah Perubatan akan diintegrasikan ke dalam Health Academy dan juga sebaliknya. Hal ini juga akan diimplemestasikan kepada silibussilibus yang lain seperti silibus PEACE & Mentor Council. Ianya bertujuan supaya ahli mendapat manfaat yang lebih syumul disamping akan melahirkan ahli yang berskil tinggi dan pelbagai kemahirannya.
 
Para pelapis kepada jentera-jentera akan datang perlulah dilahirkan mulai sekarang kerana merekalah yang bakal menyambung rantai-rantai perjuangan Islam ini. Ingatlah, bukan kita yang memulakan perjuangan ini, tetapi kita hanyalah salah atu rantai daripada rantai-rantai perjuangan yang bersambung. Disamping itu, budaya inovasi & kreativiti juga perlulah menjadi suatu kemestian dalam setiap gerak kerja kita. Penyesuaian gerak kerja dengan keperluan semasa mesti dilaksanakan agar kita sentiasa maju selangkah kehadapan berbanding institusi yang lain. Inilah yang menjadi intipati kepada kejayaan-kejayaan umat-umat terdahulu sehinggakan mereka berjaya mentadbir dua per tiga dunia.
 
     4. Bersama Teguh Dengan Misi Kesatuan
 
Bahtera PERUBATAN adalah milik semua. Bahtera ini telah menempuh pelbagai transformasi untuk kekal menyatukan ahli-ahlinya yang mempunyai pelbagai latar belakang. PERUBATAN sentiasa meraikan kepelbagaian ini melalui pelbagai usaha untuk membawa ahli ke arah maltamat yang jelas & bermanfaat. Smart Circle sebagai contoh, adalah medium yang sangat berkesan untuk menyatukan muslim yang berbeza sifat dan jenis. Disini ahli-ahli daripada pelbagai latar disatukan dalam satu kelompok yang mana diikat hati-hati mereka untuk menjadi Muslim yang sejati. Program secara taakhi dan berpusat pula perlu terus diamalkan kerana wadah inilah yang meribat sanubari ahli melangkau sempadan batch dan cawangan.
 
Para pimpinan pula perlulah sentiasa bersama dengan ahli-ahli dan juga ahli-ahli perlulah sentiasa mendokong kepimpinan. Insyaallah, pada sesi 1718 ini kita akan mengimplementasikan sistem aduan yang lebih bersepadu agar suara mahasiswa dapat disalurkan dengan lebih sistematik. Semua perkara inilah yang menjadi asas kepada pembentukan PERUBATAN sebagai khilafah kecil yang menaungi mahasiswa sains kesihatan di bumi Mesir ini.
 
Seruan kepada Muslim Professional Kelas Pertama
 
Para profesional kelas pertama sekalian,
 
Matlamat yang jelas tidak bercapai tanpa strategi yang berkesan. Strategi yang berkesan pula tidak akan terlaksana tanpa seruan kepada pada pendokongnya. Oleh yang demikian, saya menyeru diri saya dan diri sahabat-sahabiah sekalian kearah perkara-perkara yang berikut:
1. Sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah Azza Wa Jal kerana dengan taqwa inilah yang akan menjadikan kita ummah yang kembali gemilang.
2. Sedar untuk sentiasa mengekalkan kecemerlangan akademik kerana inilah yang menjadi fardhu ain keatas kita di bumi Mesir ini.
3. Perlu memainkan posisi masing-masing dalam menjayakan agenda ini. Allah tidak melihat apa hasil yang akan terjadi, tetapi apa usaha yang telah kita laksanakan.
4. Kukuhkanlah ukhuwah sesama kita. Ketahuilah sifat ananiyah & materialistik adalah musuh kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk meribat hati-hati muslim supaya sampai kepada Allah.
5. Sentiasa menerangkan visi PERUBATAN kepada ahli-ahli yang lain. Hal ini kerana tanpa kefahaman yang jelas kepada semua ahli, maka matlamat ini tidak akan berjaya.
 
Para pejuang sekalian, Kita Bekerja Dengan PERUBATAN, Kita Bekerja Untuk Islam!
 
Sebelum saya akhiri ucapan dasar ini, saya ingin menerapkan suatu perkara penting kepada kita semua. Dasar PERUBATAN adalah Islam. PERUBATAN bukan sahaja persatuan yang menjaga kebajikan ahli dari sudut material duniawi tetapi juga dari sudut kejayaan ukhrawi. Oleh yang demikian, kita perlu faham, apabila kita berkhidmat dengan PERUBATAN, maka secara tidak langsung kita juga bekerja untuk agama Islam. Ingatlah firman Allah:
 

(إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ)

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (Surah al-Hujurat :Ayat ke-15)

 
Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda buat hamba-hambanya yang benar yakni memperjuangkan agama-Nya. Bukan itu sahaja, yang paling besar adalah kita mendapat redha Allah dan semoga Allah tempatkan kita bersama-sama dengan para anbiya' dan salafusoleh di hari akhirat kelak. Oleh itu, rakan-rakan sekalian, sematkanlah di dalam jiwa masing-masing, kita bekerja dengan PERUBATAN, kita berkerja untuk Islam. Akhir sekali, selamat berkhidmat untuk islam dan semoga Allah bantu usaha kita. Kita Keluarga PERUBATAN. PERUBATAN Kelas Pertama!
 
Wabillahi at-Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum wbt.
 
 
shahir PO
Ahmad Shahir Bin Ahmad Jalaludin
Presiden PERUBATAN Sesi 2017/2018

Leave a comment



Anti-spam: complete the taskJoomla CAPTCHA

Hakcipta Terpelihara ©2007-2015 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version