PERUBATANonline v5 RC1

Switch to desktop Register Login

KENYATAAN RASMI: PROJEK DANA PERUBATAN 2017/2018

Rate this item
(0 votes)

 logo perubatan

 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji ke atas Tuhan sekalian alam, dengan segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. kerana perjuangan baginda dan para sahabat, rahmat Islam dapat disebarkan ke seluruh alam.

 

PERUBATAN sebagai persatuan induk yang menaungi mahasiswa sains kesihatan di Mesir sentiasa komited dalam memberi kebajikan kepada semua ahli sejajar dengan visi PERUBATAN iaitu PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk mahasiswa sains kesihatan yang rabbani dan kompeten. Demi mencapai hasrat murni tersebut, pelbagai aktiviti, program dan sistem telah pun dirancang sepanjang sesi kali ini. Namun, segala perancangan ini pasti tidak dapat berjalan jika tiada sumber kewangan yang rapi dan utuh.

   

Sejajar dengan itu, Jabatan Bendahari Kehormat PERUBATAN mengambil peluang ini untuk menyeru ahli PERUBATAN bagi menjayakan Projek Dana PERUBATAN yang telah dilancarkan sejak tahun 2009 yang lalu.

 

Mengapakah projek ini diwujudkan?

Projek ini diilhamkan demi membantu menambah sumber kewangan persatuan PERUBATAN dengan bilangan ahli yang mencecah mencecah 3 600 orang di seluruh Mesir. Selain daripada hasil jualan dan perniagaan yang dijalankan antara persatuan dan ahli, PERUBATAN juga berhasrat untuk mengambil alternatif lain bagi meningkatkan kewangan persatuan dengan mendapatkan dana daripada pihak perseorangan, ahli keluarga ahli mahupun mana-mana syarikat yang sudi menyumbang.

 

Ke manakah dana ini akan dialirkan?

Pergerakan kewangan dana ini adalah tidak lain tidak bukan akan kembali kepada ahli-ahli PERUBATAN sendiri sama ada dalam bentuk aset-aset untuk kegunaan bersama, aktiviti-aktiviti, program-program, markas, Tabung Kasih Sayang (TKS) serta produk-produk keluaran PERUBATAN yang digunakan sebagai modal dan sumber kewangan.

 

Bagaimanakah projek ini dapat digerakkan?

Para sukarelawan yang sudi dan berminat serta yang dilantik untuk menggerakkan projek ini bebas mencari dana atau sumbangan daripada ahli keluarga terdekat yang berkemampuan, daripada badan-badan bukan kerajaan, ataupun daripada syarikat-syarikat perniagaan khususnya bagi ahli yang pulang bercuti ke Malaysia pada cuti musim panas ini.

           

Sumbangan tersebut bolehlah disalurkan dalam bentuk barangan, produk atau kewangan untuk program tertentu mahupun kewangan umum.

 

Setiap sukarelawan pencari dana akan mendapat satu fail berisi surat rasmi permohonan dana untuk PERUBATAN, Kertas Kerja Projek Dana PERUBATAN, borang sumbangan, voucher  rasmi PERUBATAN. Kertas kerja dana PERUBATAN ini mengandungi maklumat-maklumat tentang persatuan serta keperluan-keperluan persatuan berupa barangan dan kewangan.

 

Bagaimanakah prestasi projek ini sejak dilancarkan?

 Graf JBK

Apakah insentif yang ahli PERUBATAN akan perolehi dengan menjadi sukarelawan?

Pihak PERUBATAN berbesar hati untuk menganugerahkan sijil penghargaan dan sebarang bentuk apresiasi yang dirasakan sesuai bagi semua ahli PERUBATAN yang sudi untuk menjadi sukarelawan bagi projek dana ini.

Firman Allah Taala:

 

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ - 2:261

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

           

Kami berharap melalui projek ini, ahli-ahli PERUBATAN yang menjadi sukarelawan dapat menambah pengalaman serta menyemai sikap berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Diharapkan juga semoga ia akan menjadi saham amalan kebaikan kita di akhirat kelak,

           

Di samping itu, perasaan sayang akan persatuan PERUBATAN dapat dipupuk dalam diri setiap ahli demi menjaga kebajikan semua ahli di seluruh Mesir serta menjadi usaha kita bersama dalam merealisasikan empat misi utama PERUBATAN sesi 2017/2018, iaitu akademik, kesatuan, profesionalisme dan pembangunan insan bertepatan dengan visi yang masih dikekalkan sehingga kepada sesi ini iaitu, PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk mahasiswa sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.

           

Dengan ini, pihak PERUBATAN dengan sukacitanya meneruskan Projek Dana PERUBATAN bagi sesi 2017/2018 ini dengan membuka tawaran kepada semua ahli tidak kira di mana anda berada untuk bersama-sama menjana ekonomi dan kewangan PERUBATAN demi kebaikan kita bersama sebagai pelajar sains kesihatan di Mesir.

 

Siiru ‘ala barakatillah.

 

 

Yang Menjalankan Tugas,

 

shahrul copy

Shahrul 'Arif bin Shahrul Azhar,

Ketua Jabatan Bendahari Kehormat merangkap Jabatan Ekonomi,

PERUBATAN 2017/2018.

 

mtpah pcz

Norfaizah binti Ismail,

Timbalan Ketua Jabatan Bendahari Kehormat merangkap Jabatan Ekonomi,

PERUBATAN 2017/2018.

Leave a comment



Anti-spam: complete the taskJoomla CAPTCHA

Hakcipta Terpelihara ©2007-2015 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version