PERUBATANonline v5 RC1

Switch to desktop Register Login

KENYATAAN RASMI : IHRAM DAN EFC BERGERAK SEIRING

Rate this item
(0 votes)
logo perubatan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, sahabat-sahabatnya serta pengikutnya yang taat. 
 
Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim:
 
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa". [ Surah al-Baqarah: 183]
 
Ketika penghijrahan Rasul SAW dan para sahabat ke Madinah bagi menubuhkan satu negara Islam, maka mulailah turun wahyu yang berkaitan dengan pensyariatan yang menerangkan tentang hukum-hukum amali yang wajib dipenuhi oleh setiap hambanya, dari segi ibadah yang berbentuk rohani mahupun jasmani, Sehinggalah tahun kedua selepas hijrah, Allah SWT menjelaskan satu ibadah yang mempunyai pelbagai hikmah sehingga menjadikan seseorang hamba mendapat nilai keimanan dan ketakwaan iaitu dengan menjalankan puasa selama beberapa waktu (satu bulan) sepertimana yang telah dinyatakan didalam ayat al-Quran diatas.
 
Di dalam ayat tersebut Allah SWT memaklumkan syariat yang wajib dipenuhi oleh kesemua umat Islam yang di mana telah disyariatkan oleh umat-umat terdahulu iaitu berpuasa, kemudian Allah SWT juga menyebut mengenai hikmah menjalankan syariat tersebut dengan firman " agar kamu bertakwa".
 
Bulan Ramadan merupakan bulan yang menjadi penantian bagi umat Islam saban tahun, bulan yang penuh rahmat yang mencorak peribadi seseorang Muslim, bulan yang dijanjikan keampunan oleh Allah SWT. Pada bulan Ramadan jugalah umat Islam berlumba-lumba meningkatkan amal ibadah masing-masing bagi mendapatkan hikmah pensyariatan Ramadan tersebut, sekali lagi seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT { لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ } "agar kamu bertakwa".
 
Saban tahun, PERUBATAN mengambil inisiatif untuk mengadakan program Ihya' Ramadan (IHRAM) yang bertujuan untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini. Pelbagai aktiviti bermanfaat yang telah dianjurkan oleh PERUBATAN seperti Iftar Jama'ie, Daurah Kitab, Syantah Ramadan, Solat Tarawih Berjemaah dan Malam Nuzul Qur'an yang di mana akan dilaksanakan di peringkat keseluruhan PERUBATAN Cawangan sepanjang tempoh sebulan ahli Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir berpuasa di bumi Anbiya' ini.
 
Maka tarikh yang telah dipersetujui untuk memulakan pergerakan program Ihya' Ramadan (IHRAM) ini adalah pada 28 Mei 2017 hingga akhir bulan Ramadan.
 
 Dengan membawa tema “Madrasah Ramadan Pemangkin Kecemerlangan” Ihya’ Ramadan dibawah Pantauan Jabatan Pembangunan Insan (JPI) pada tahun ini mengambil inisiatif bergerak selaras dengan pergerakan EFC iaitu “Exam Fever Campaign” dibawah pantauan Jabatan Akademik (JCAD).
 
Justeru dari pihak Jabatan Akademik mengharapkan usaha kecil penggabungan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kerja sekaligus menampakkan sinergi pergerakan bagi kedua-kedua kempen yang berlangsung pada fasa yang sama. 
 
Secara umumnya, EFC dijalankan setiap tahun bertujuan untuk meningkatkan motivasi pelajar dalam mendepani situasi dan suasana musim peperiksaan yang mencabar. Pelbagai pengisian berorientasikan akademik dianjurkan oleh setiap cawangan agar pengurangan dalam peratusan pelajar mengulang dapat dicapai serta meningkatkan peratusan pelajar bergred cemerlang.
 
Ilmu itu merupakan cahaya, dan ianya tidak akan masuk ke dalam hati yang dipenuhi dengan kegelapan dan maksiat kepada Allah SWT. Oleh itu, ayuhlah kita bersama-sama merebut peluang berada di bulan yang penuh barakah ini untuk menyucikan jiwa serta melapangkan dada dalam kehidupan kita sebagai penuntut ilmu.   
 
Kami mewakili Majlis Tertinggi PERUBATAN juga menyeru kepada semua ahli untuk memperkemaskan amal ibadah menjelang bulan Ramadan ini dari sudut bacaan al-Quran, ibadah solat di waktu malam serta amalan-amalan sunat yang digalakkan untuk melaziminya demi meraih seribu satu ganjaran dalam madrasah Ramadan ini dalam masa yang sama juga tidak melupakan tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu sains kesihatan. Semoga dengan hasil usaha  kita ini mendapat ganjaran nilai Takwa disisi Allah SWT.
 
 
Seeru ala Barakatillah.
Ahlan wa sahlan Ya Ramadan!
 
 
 
Yang Menjalankan Tugas,
 
 fathul
Fathul Izzuddin bin Kungi Kuaya,
Ketua Jabatan Pembangunan Insan/Jabatan Sukan & Aktiviti Luar,
PERUBATAN 2017/208.
 
 ameq
Muhammad Amiruddin bin Suhaini,
Ketua Jabatan Akademik,
PERUBATAN 2017/2018.

Leave a comment



Anti-spam: complete the taskJoomla CAPTCHA

Hakcipta Terpelihara ©2007-2015 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version