PERUBATANonline v5 RC1

Switch to desktop Register Login

Pusaka Dewi Pertiwi Untuk Anaknya, Sang Bangsa

Rate this item
(0 votes)

 

 

Anakku,

Pada hari itu,

Gerhana dusta kan hadir tanpa purnama,

Mendung sengketa di angkasa hitam cuma,

Guruh kerakusan rancak tanpa irama,

Itulah sumpahan monsun,

Monsun tamadun lagaknya taufan,

Hadirnya di hujung tahun damai,

Kerna dengki padamu, anakku, Sang Bangsa.

 

Belum lagi hujannya turun,

Tapi tercungap sudah dadamu,

Telahkah ia menitis ke dalam mata,

Menjadi air tangis duka,

Membasahi raga yang luka,

Di empangan emosi ia bertakung,

Retaknya sabar tidak tertampung,

Marah, kecewa mengalir deras,

Melimpahlah mereka ke sungai berdarah,

Menjahanamkan ladang dan kebunan merdeka,

Rosaklah semaian perpaduan berabad,

Bah binasa kan melanda,

Menghanyutkanmu anakku ke bumi orang,

Menjadi kuli di lombong arang.

 

Anakku,

Tika hiba dalam pelukan riba,

Matamu kan kabur berkaca,

Kau kan buta dalam celik,

Sebagaimana hitamnya langit monsun,

Menggelapkan mata hatimu,

Merontalah! Carilah ranting-ranting toleransi,

Yang asalnya batang yang sama,

Tapi bertemu tidak sesekali,

Nyalakanlah! Hidupkanlah!

Unggun perpaduan yang lama malap,

Maraknya menerangi gelap.

 

Anakku,

Pabila tiba hari kau sudah penat,

Di hamparan terbujur tenat,

Kembalilah, biar ibu memelukmu,

Senyumlah dan bahagialah,

Pusaramu kan mekar menjadi legasi,

Memayungi cucu kecil dari monsun mendatang.

 

Oleh,

Shiina Mashiro

Universiti Ain Shams 2016

 

p/s:

1. Untuk memudahkan penghayatan sajak ini, bayangkan anda sedang menghadapi musim monsun/tengkujuh di Pantai Timur. Sedikit pencerahan, musim tengkujuh dianggap sebagai satu yang menyusahkan kerana nelayan xleh ke laut, berlakunya byk ribut dan bah(banjir) etc

2. Ada byk rahsia dalam sajak ini. Untuk pemahaman bersama, sy akn tunjukkan salah satu rahsia dalam sajak ni. Perhatikan rangkap pertama, ada 3 paradoks disitu (mana ada gerhana tnpa purnama, mna da angkasa yg hanya hitam, mna da guruh tanpa irama... unexpected kan he3). Ok, rahsia kedua,'bah' yg digunakan merujuk kpd kedua2 'bah' yang bertujuan utk menguatkan lagi ayat, dan juga 'banjir' dlm loghat. Rahsia lain cari sendiri, baru feel :p

3. Satu lg, untuk memudahkan faham, kenalilah siapa Dewi Pertiwi :)

4. Enjoy ^^ (penulis prefer utk baca dalam nada seorang ibu bercakap kepada anaknya yg sdg tidur, sambil tangannya menghayun buaian)

 

**Sajak ini telah memenangi tempat pertama sempena Sayembara Penulisan Kemerdekaan yang bertemakan "Sehati Sejiwa" anjuran Jabatan Penerbitan & Penerangan dengan kerjasama Jabatan Akademik PERUBATAN sesi 2016/2017

sayembara

Leave a comment



Anti-spam: complete the taskJoomla CAPTCHA

Hakcipta Terpelihara ©2007-2015 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version