PERUBATANonline v5 RC1

Switch to desktop Register Login

Nadia Nabila Afandi

Kenyataan Rasmi : Hasil Usul Perlembagaan

Published in Kenyataan

logo perubatan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Segala puji hanya bagi Allah pemerintah alam semesta, Yang Maha Bijaksana, Maha Perkasa dan Maha Pengasih. Selawat dan salam semoga dicurahkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassallam serta keluarga dan sahabat Baginda. Rasa syukur juga dipanjatkan atas nikmat iman dan Islam yang dimiliki hari ini.

 

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ، وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat dan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka serta mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

(Surah Asy-Syura: 38)

 

Memasuki dekad kedua penubuhan, Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) dilihat semakin matang dalam mengendali sistem pengurusan dan pentadbirannya di segenap peringkat. Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi memastikan persatuan gergasi mahasiswa sains kesihatan di Perlembahan Nil ini kekal releven dengan matlamat penubuhannya sebagai sebuah persatuan kebajikan.

 

Seperti yang telah dimaklumi, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali ke-13 bertarikh 17 Mac 2017 yang lalu, lima usul telah dibahaskan oleh para perwakilan. Empat daripada lima usul tersebut telah menyentuh beberapa fasal dalam perlembagaan PERUBATAN. Tiga usul telah diluluskan dengan mendapat sokongan majoriti daripada perwakilan manakala satu usul telah ditarik semula oleh pengusul dan dijadikan cadangan kepada Lembaga Penasihat PERUBATAN.

 

Justeru, berikut ialah fasal-fasal yang terlibat:

 

1) Fasal 17, ceraian 2 (b): Dihazafkan.

2) Fasal 18, ceraian 3 (b) dan Fasal 28, ceraian 3 (b): Jawatankuasa Pilihan Raya ditukar kepada Lembaga Penasihat PERUBATAN.

3) Fasal 25, ceraian 6: Bilangan wakil Majlis Tertinggi PERUBATAN sebagai pemantau Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC).

 

Di samping itu, usul berkenaan kaedah pemilihan PERUBATAN yang dijadikan cadangan turut dikaji dan dibincangkan di peringkat Lembaga Penasihat PERUBATAN. Hasil penelitian, Lembaga Penasihat PERUBATAN Sesi 2017/2018 telah menggariskan kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN dan kaedah pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan.

 

Kaedah pemilihan Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN:

1) Pilihan raya di PERUBATAN Cawangan (mengikut cawangan)

2) Pilihan raya terbuka seluruh PERUBATAN Cawangan di Mesir (berpusat)

3) Pemilihan melalui Majlis Mesyuarat Pemilihan PERUBATAN (MMPP)

 

Kaedah pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan:

1) Pilihan raya di PERUBATAN Cawangan

2) Pemilihan melalui Majlis Mesyuarat Pemilihan PERUBATAN Cawangan (MMPC)

 

Maka dengan itu, Lembaga Penasihat PERUBATAN akan menilai dari semasa ke semasa kaedah terbaik untuk digunapakai sebagai kaedah pemilihan PERUBATAN berdasarkan penilaian-penilaian yang telah digariskan selari dengan peranan Lembaga Penasihat PERUBATAN yang telah termaktub dalam perlembagaan PERUBATAN.

 

PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam melahirkan profesional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten, sentiasa berusaha membentuk generasi yang matang dan kritis dalam mendepani masa depan ‘PERUBATAN Kelas Pertama’.

Sekian.

 

‘Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati’

‘at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah’

 

 

 co bar

Ketua Lembaga Penasihat,

Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN),

Sesi 2017/2018.

Kenyataan Rasmi | Sains Palsu & Penipuan Masyarakat

Published in Kenyataan

logo perubatan

 

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita masih diberi peluang untuk hidup, beramal, dan bertaubat kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad SAW serta keluarga baginda. Moga darah-darah perjuangan baginda serta sahabat-sahabat baginda mengalir dalam tubuh kita agar kita sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan menyampaikan dakwah Islam serta menegakkan syariat Allah SWT di muka bumi ini.

 

Pada akhir-akhir ini, rakyat Malaysia riuh dengan kes penangkapan doktor gigi palsu yang kian bertambah membuat rawatan ‘fake braces’ di tanah air kita. Lebih 45 kes yang telah dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586]. Terdapat juga mangsa-mangsa yang menghebahkan kisah-kisah penipuan yang pernah dialami di media massa, namun ada juga pihak-pihak yang tampil memberikan sokongan kepada golongan doktor-doktor gigi palsu ini.

 

Doktor Gigi Palsu Memberi ‘Rawatan’ Yang Memudaratkan

 

Isu ‘fake dentist’ dan ‘fake braces’ ini sudah timbul sejak akhir tahun lepas lagi. Walaupun ramai yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa, namun, satu fakta yang perlu difahami dengan baik ialah dalam akta, setiap pesalah dibenarkan untuk membuat rayuan dan jika didenda sejumlah bayaran tertentu, beliau juga mempunyai hak untuk itidak dipenjarakan dengan membayar denda atas budi bicara mahkamah. Inilah undang-undang yang digunapakai oleh negara kita sejak terbentuknya Akta Amalan Perubatan 1971 lagi. Mana-mana pihak samada individu atau organisasi juga mempunyai hak yang sama untuk membantu, bukan bermakna ingin bersekongkol dengan pesalah tetapi mungkin atas dasar kemanusiaan.

 

Menjadi kehangatan dipihak netizen apabila salah satu kes yang terbaru ini telah diolah oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menyalahkan pihak berkuasa seolah-olah beliau teraniaya. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beliau sendiri dan para penyokongnya menunjukkan tiada penyesalan atas kesalahan yang dilakukan. Pihak-pihak yang cuba menolong doktor palsu itu juga terpalit sama. Dengan kata lain, pesalah tidak memperlihatkan garis keinsafan atas kerja-kerjanya sebagai doktor palsu itu. Beliau juga telah membuat rayuan agar hukuman dikurangkan dari denda maksimum RM300,000 ke RM70,000. Ini memberi satu isyarat bahawa kes-kes sebegini hanya dipandang kecil dan dipermain-mainkan. Sedangkan seberapa ramai yang sudah dan akan menjadi mangsa kepada kegiatan seumpama ini pada masa hadapan.

 

Rawatan Al Fashdu (Berpetik)

 

Rawatan Al Fashdu dikatakan dapat membuang asid dan kolestrol dalam darah selari dengan hadis. Namun begitu, sumber hadis yang digunakan tidak diulas dengan baik dan setelah meneliti beberapa kitab secara terperinci, hukum menggunakan rawatan tersebut bersifat khilaf. Selain itu, kaedah rawatan tersebut juga tidak menepati ciri-ciri yang digariskan dalam beberapa kitab ulama yang membahaskan secara terpirinci mengenai rawatan tersebut. Contohnya dari segi syarat-syarat untuk melakukan rawatan tersebut, keadaan yang dibolehkan untuk melakukan rawatan tersebut, dan cara melakukan rawatan tersebut. Berikut merupakan antara hujah yang dibahaskan oleh Dr. Suhazeli bin Abdullah.

 

1) Ia dilakukan tanpa pengawasan ahli yang mahir.

2) Pesakit tidak disaring terlebih dahulu status kesihatan mereka, termasuklah tekanan darah, paras gula, status HIV atau penyakit-penyakit berjangkit lain.

Dalam kitab Al Mafatih Fi Syarh Al Masobih karangan Hazrat Mulla Ali al-Qari mengatakan:

 

فإن كان لامرأةٍ وجعٌ شديدٌ يقول الطبيب: لا بدُّ لها من الحِجامة أو الفَصد، أو بها جراحةٌ يُحتاج إلى مداواتها، جاز للحجَّامِ أن يَنظرَ إليها، حتى جاز النظرُ إلى فَرجِها.

Jika sekiranya seorang wanita mempunyai mengidap penyakit yang benar-benar menyakitkan, dan ahli perubatan memutuskan, wanita tersebut perlu berbekam atau berpetik atau perempuan tersebut mengalami kecederaan, maka haruslah tukang bekam melihat perempuan tersebut.

 

Bermakna, sebelum sesorang pesakit itu dirawat, penelitian dan pemeriksaan wajib dilakukan, bukan semberono menggunakan sesuatu kaedah tanpa memikirkan natijah yang melibatkan nyawa manusia.

3) Peralatan terutamanya jarum yang digunakan tidak disteril (nyahkuman). Ianya menjadi sumber jangkitan kuman dan virus seperti HIV, hepatitis. Risikonya adalah tinggi. Kajian menunjukkan risiko jangkitan boleh mencapai 30%.

4) Persekitaran tidak kondusif, tiada ciri-ciri kebersihan, malah pengamal yang menjalankan prosedur tersebut tidak menggunakan sarung tangan. Darah beku dikaut dengan tangan begitu sahaja.

 

Batu Geliga Mak Lang

 

Batu geliga Mak Lang adalah batu yang sama yang telah digunakan untuk beratus-ratus orang. Ia dikatakan dapat menyembuhkan mata yang rabun dekat dan rabun jauh. Dari segi penerangan saintifiknya, batu tersebut akan memberi tekanan kepada kornea mata dalam sela masa tertentu. Dengan itu kornea akan dibentuk semula mengikut lengkung acuan permukaan batu geliga. Konsep yang hampir sama dengan lasik atau Ortho-K. Cumanya kaedah batu geliga Mak Lang hanya bersifat sementara. Lama kelamaan kornea akan kembali ke bentuk cengkung asal, kerana batu itu tidak selama-lamanya di situ sebagaimana Ortho-K.

 

Rawatan tersebut juga boleh merosakkan kornea mata yang lembut, nipis, dan sensitif. Berkemungkinan pesakit tersebut menjadi buta. Malah, ia juga tidak bersih dan berisiko untuk mendapat jangkitan kuman dan penyakit lain yang berbahaya.

 

Konsep Bermuamalat Mengikut Syariat Islam Yang Syumul

 

Dari ‘Abdullah, Nabi Muhammad SAW bersabda,

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا، وَالْمَكْرُ وَالْخِدَاعُ فِي النَّارِ.

“Barangsiapa yang menipu, maka ia tidak termasuk golongan kami. Orang yang berbuat makar dan pengelabuan, tempatnya di neraka.” 
(HR. Ibnu Hibban 2: 326. Hadits ini shahih sebagaimana kata Syaikh Al Albani dalam Ash Shahihah no. 1058)

 

Hadis tersebut jelas melarang peniaga menipu atau mengelabui pembeli dengan promosi-promosi yang melampau, contohnya, mendeskripsikan perkhidmatan atau barang-barang yang hendak dijual dengan menyembunyikan aib, cacat, atau kesan buruk penggunaan barang tersebut daripada pembeli. Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda :

 

المسلم أخوالمسلم, ولا يحل لمسلم اذا باع من اخيه بيعا

“Sesama muslim adalah saudara. Seseorang tidak boleh menjual barang yang ada cacatnya kepada saudaranya tetapi ia tidak menjelaskan cacat tersebut.
(HR. Ahmad dan Ibnu Majah)

 

Islam tidak pernah melarang untuk kita mencari duit dengan berniaga, malah, berniaga juga merupakan amalan Nabi Muhammad SAW sendiri. Namun, seharusnya kita mencontohi akhlak dan cara baginda berniaga, sehinggakan akhlak baginda sendiri telah memikat hati Siti Khadijah. Baginda sangat jujur dalam berniaga dan dipercayai oleh para pembeli.

 

Selain itu, Allah juga berfirman;

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian saling memakan harta sesama kalian dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kalian. Dan janganlah kalian membunuh diri kalian, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepada kalian”.

(an-Nisa’: 29)

 

Dalil-dalil di atas menunjukkan betapa Islam ini agama yang sempurna dan penuh dengan kebaikan serta keadilan. Hal ini menuntut kita sebagai seorang hamba Allah untuk mempraktikkan syariat Islam itu sendiri dalam semua perkara, temasuk bermuamalat dan berniaga. Malah, jika diteliti sumber-sumber kitab yang mengulas mengenai rawatan, terdapat juga syarat-syarat yang diletakkan untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan pesakit. Contohnya adalah faktor kebersihan, risiko jangkitan, dan sebagaianya.

 

Sentiasa Berwaspada Dan Kaji Isu Sekitar

 

PERUBATAN menyeru seluruh ahli PERUBATAN serta masyarakat Malaysia agar sentiasa berwaspada dalam menggunakan sebarang perkhidmatan sains kesihatan. Pastikan menerima rawatan daripada pengamal sains kesihatan yang diiktiraf dan terlatih. Sentiasa cakna dengan isu semasa yang berlaku di sekitar, dan kaji dahulu sebelum mempercayai dan menyebarkan promosi atau kenyataan yang dikeluarkan pihak tertentu tanpa memahami isu sebenar. Penting untuk sentiasa merujuk kepada pihak yang berautoriti dan dipercayai.

 

Jangan mudah terpengaruh apabila ternampak hujah yang menggunakan dalil sedangkan ia tidak diteliti dan dibahas dengan baik. Selain itu, jangan mudah teruja dengan keajaiban hasil yang cepat dan memuaskan, kerana kadang-kadang ia bersifat sementara sahaja malah ia akan lebih memudaratkan pesakit pada masa akan datang.

 

Rasulullah SAW bersabda;

 

لا يؤمن احدكم حتى يحب لاخيه ما يحب لنفسه

“Tidaklah beriman salah seorang di antara kamu kecuali apabila ia mencintai saudaranya sebagaimana mencintai dirinya sendiri”.

(HR Bukhari dan Muslim)

 

Walaupun isu-isu yang berlaku tidak melibatkan diri sendiri, namun sebagai seorang warganegara dan muslim yang baik, perlu cakna pada orang lain di sekeliling. Sebagai bakal graduan sains kesihatan, merupakan satu tanggungjawab kita untuk mendalami isu-isu begini dan menjadi agen penerang kepada masyarakat. Semoga ia dapat melatih dan membentuk diri kita untuk semakin meningkatkan takwa kepada Allah SWT di samping menjadi seorang muslim profesional sains kesihatan kelas pertama yang rabbani dan kompeten di Malaysia kelak.

 

Seeru ‘ala barakatillah.

 

#PERUBATANKelasPertama

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

 

DSC05855 copy copy

Hanis Nur Faiqqa binti Mohd Rastam,
Jabatan Penerbitan & Penerangan,
PERUBATAN 2017/2018.

UKHUWAH ICE ’17 BUKAN HANGAT-HANGAT TAHI AYAM

Published in Liputan
WhatsApp Image 2017 10 17 at 16.35.23
 
Kaherah, 13 Oktober 2017 – Buat yang kesekian kalinya, program sukan musim sejuk atau lebih dikenali dengan Interchapter Games 2017 (ICE ’17) telah berjaya dilaksanakan. Pada kali ini, keutuhan ukhuwah jelas terpancar apabila ketiga-tiga cawangan PERUBATAN di Kaherah menggembleng tenaga untuk bersama-sama menjayakan program tahunan yang berprestij ini.  Bukan itu sahaja, sambutan hangat dan menggalakkan juga dapat dirasakan apabila ketujuh-tujuh cawangan PERUBATAN mengambil bahagian dalam setiap acara yang dipertandingkan.
 
Sehubungan dengan itu, saudara Muhammad bin Aziz, selaku pengarah ICE ’17 telah menyuarakan kegembiraan beliau terhadap sambutan hangat yang diberikan. Tambah beliau dalam sesi temubual bersamanya, dengan penyertaan yang menggalakkan dan kesanggupan untuk menjadi tuan rumah, perkara ini sudah terang lagi bersuluh mempamerkan satu ikatan persaudaraan yang amat kukuh dalam kalangan pelajar sains kesihatan di bumi kinanah ini. “Di samping dapat mengukuhkan lagi tali silaturahim, program ini juga merupakan pemangkin kepada pembangunan jati diri yang kukuh”, tambah beliau lagi.
 
Dalam satu temubual yang lain bersama-sama dengan saudari Siti Hajar binti Azhar selaku Timbalan Jabatan Sukan dan Aktiviti Luar (JSAL), beliau berkata “Sukan mampu melahirkan minda yang cerdas dan membentuk kecergasan jasmani yang baik. Ukhuwah juga terpelihara serta melahirkan semangat berpasukan yang tinggi.” Beliau menambah bahawa melalui aktiviti yang dilakukan dengan sikap kebersamaan yang tinggi, para peserta juga dapat belajar untuk berlapang dada dengan segala keputusan yang diperoleh.
 
“Pada hemat saya, program ICE ini mampu untuk memperluas lagi jaringan persahabatan yang sedia ada. Sukan mampu untuk melepaskan kita daripada belenggu tekanan sekaligus mengisi masa terluang dengan perkara yang bermanfaat. Sebagai seorang pelajar di negara orang, kita amat memerlukan sokongan dan dorongan moral daripada kenalan-kenalan kita kerana komuniti ini sahajalah ibarat keluarga yang paling hampir”, jelas saudari Engku Fatim Azzahra binti Syed Nor Zaim, mahasiswi Tahun Tiga Perubatan, PERUBATAN Cawangan Kaherah (PCK).
 
ICE '17 yang seterusnya bakal diadakan di cawangan Mansurah dan Iskandariah pada bulan November dan Disember. Semoga semangat bersukan dalam kalangan ahli dapat dipupuk dengan baik selain mampu mencungkil bakat-bakat yang ada dalam diri pelajar sains kesihatan. 
 
Muhammad Arifuddin bin Syahril.
Tahun Dua Pergigian,
PERUBATAN Cawangan al-Azhar (PCA).
 
#PERUBATANKelasPertama
 
"Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati"
"at-Taqwa, as-Syifa', ar-Rahmah"

logo perubatan

 

Alhamdulillah, segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah memberi kepada kita dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat yang telah menunjukkan teladan yang baik kepada umat manusia, menunjukkan jalan dakwah yang panjang buat para pendakwah. Tidak lupa juga nikmat kesihatan yang kita kecapi saban hari yang membolehkan kita meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu Allah.
 
Badan yang sihat mampu melahirkan manusia yang seimbang dari segi ilmu, akhlak serta dapat memikul tanggungjawab sebagai khalifah di bumi ini dengan baik dan sempurna. Apabila seorang muslim itu mempunyai badan yang sihat bermakna dia mempunyai kekuatan, kemampuan dan fikiran yang cergas untuk melaksanakan perintah Allah SWT.
 
Telah berkata Imam Hassan al-Banna, antara 10 muwasafat tarbiah yang perlu ada pada diri individu muslim adalah “Qawiyyal Jism” iaitu sihat tubuh badan yang merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah. Ini bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: 
 
‎الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ، خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ
Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT  daripada Mukmin yang lemah”. 
(Riwayat Muslim)
 
Untuk itu, kita perlu memahami bahawa memiliki tubuh badan yang sihat ialah satu sunnah dan tuntutan dalam agama dan bersukan amat penting dalam kehidupan kita agar menjadi seorang Mukmin yang sihat dan kuat.
 
Saban tahun, acara sukan merupakan acara tahunan yang akan dilaksanakan oleh PERUBATAN bagi meraikan minat dan bakat ahli-ahli PERUBATAN serta melahirkan ahli-ahli yang sihat tubuh badan dan aktif bersukan. Justeru itu, pada sesi kali ini, PERUBATAN telah bersetuju untuk mengadakan Interchapter Games (ICE) kali ketiga, bagi mencapai objektif agenda-agenda PERUBATAN khususnya agenda kesatuan.
 
Interchapter Games (ICE) merupakan program di bawah pantauan Jabatan Sukan & Aktiviti Luar (JSAL). Sukan dwi tahunan ini mempertandingkan beberapa sukan terpilih sahaja dan diadakan di Cawangan tertentu, dengan melibatkan kerjasama dari semua PERUBATAN Cawangan dalam menjayakan program ini. Berbeza dengan PERUBATAN Sports Day (PSD) yang melibatkan pelbagai sukan yang besar akan dipertandingkan dan diadakan di pelbagai Cawangan.
 
Dengan membawa tema “Ignite The Unity” Interchapter Games (ICE) pada sesi kali ini mengsasarkan aspek kesatuan diantara ahli PERUBATAN. “Kita Keluarga PERUBATAN, kita bersama untuk islam”.
 
Dengan itu, diperingkat Jabatan Sukan & Aktiviti Luar (JSAL) serta Biro Sukan & Aktiviti Luar (BSAL) pada setiap cawangan telah bersepakat untuk melakukan Interchapter Games (ICE) pada sesi kali ini di tiga Cawangan PERUBATAN yang tertentu berserta  berberapa sukan yang menjadi pilihan kami. Nafas baru ICE pada kali ini merupakan hasil muhasabah dan olahan daripada Interchapter games yang pernah dijalankan pada tahun – tahun sebelumnya yang pada kali ini melibatkan kesemua cawangan untuk menyertai sukan-sukan yang dipertandingkan.
 
Butiran program Interchapter Games (ICE) 2017 adalah seperti berikut:
 
 

Tarikh: Oktober 2017

 Anjuran: PERUBATAN Cawangan al-Azhar

Sukan dipertandingkan:

Ikhwah

Akhawat

Pingpong

Bowling

Bowling

 

Tarikh: November 2017

Anjuran: PERUBATAN Cawangan Mansurah

Sukan dipertandingkan:

Ikhwah

Akhawat

Futsal

Bola Jaring

Congkak

 

Tarikh: Disember 2017

Anjuran: PERUBATAN Cawangan Iskandariah

Sukan dipertandingkan:

 Ikhwah

Akhawat

Bola Tampar

Bola baling

Chess

 
Permainan yang dipilih untuk dipertandingkan adalah hasil perbincangan bersama Biro Sukan & Aktiviti Luar (BSAL) dari setiap PERUBATAN Cawangan setelah kami menimbang tara beberapa faktor dan kondisi dari setiap PERUBATAN Cawangan. Akhirnya, kami bersetuju untuk mengadakan pertandingan seperti yang dinyatakan di atas.
 
Sebarang masalah atau rujukan berkaitan ICE, boleh merujuk Ketua & Timbalan JSAL PERUBATAN atau Pengarah bagi ICE setiap cawangan yang dipertandingkan, cadangan anda juga dialu-alukan.
 
Ketua JSAL: Fathul Izzuddin bin Kungi Kuaya (‪+201129949248‬)
Timbalan JSAL: Siti Hajar binti Azhar (‪+201100048646‬)
 
Namun, ahli PERUBATAN juga boleh berhubung dengan BSAL Cawangan masing-masing jika terdapat sebarang masalah.
 
Oleh itu, amat diharapkan agar program ini mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT dan seterusnya dicatat sebagai amalan soleh yang diterima-Nya. Semoga Interchapter Games yang bakal diadakan berjalan lancar serta mendapat sambutan dan kerjasama daripada semua pihak sekaligus mencapai objektif-objektif yang telah digariskan dalam melahirkan mahasiswa perubatan yang cemerlang dunia dan gemilang di akhiratnya.
 
Sekian, Siiru ‘Ala Barakatillah!
 
#PERUBATANKelasPertama
 
"Ignite The Unity"
"Together Everyone Achieve More(T.E.A.M)"
 
“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”
 
 
fathul
 
Fathul Izzuddin bin Kungi Kuaya,
Ketua Jabatan Sukan & Aktiviti Luar,
PERUBATAN 2017/2018.

 logo perubatan

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak terhingga ini, dapat kita meneruskan kehidupan sebagai khalifah di bumi Allah ini. Selawat dan salam ke atas khatimul anbiya’, Nabi Muhammad SAW atas berkat perjuangan Baginda, kita dapat menikmati dua nikmat terbesar, nikmat iman dan juga nikmat Islam. Nikmat yang telah dikurniakan kepada kita serta wajar disyukuri dengan kekal istiqamah menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

 

Selang beberapa hari diakhir bulan islam iaitu bulan Zulhijjah yang mulia ini, Allah memaparkan peristiwa di hadapan mata sebagai ujian dan dalam masa yang sama sebagai pelajaran hidup kepada kita supaya menjadi umat yang berfikir. Allah telah memaparkan akan kisah kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah serta Penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17) yang sepatutnya bakal berlangsung pada awal Oktober depan di Kuala Lumpur telah mendapat tentangan oleh mereka yang mempunyai akidah yang kukuh yang sentiasa berjuang di atas landasan Islam yang sebenar.

 

Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.


Pada 14 September 2017 bersamaan 23 Zulhijjah 1438H, negara digemparkan dengan peristiwa yang mengorbankan 23 insan penjaga al-Quran yang berpunca daripada kebakaran. Kebakaran yang dipercayai bermula jam 5.10 pagi dari tingkat atas bangunan telah mengorbankan 21 pelajar yang berumur antara 6 hingga 16 tahun serta dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang berumur 25 hingga 26 tahun. Selain itu, lebih kurang 20 pelajar lagi terselamat dalam kebakaran tersebut hasil tindakan mereka yang terjun dari tingkat dua bangunan sebaik menyedari api yang marak telah menyebabkan sebahagian daripada mereka mengalami kecederaan kritikal.

 

Kebakaran yang berlaku di Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu dipercayai bermula dari bahagian pintu yang terletak di bahagian tengah asrama. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Abu Obaidah Mohamad berkata, kejadian itu dipercayai bermula dari pintu asrama berdasarkan keadaan mayat mangsa yang dipercayai cuba mengelak daripada api. Beliau juga berkata, ada kemungkinan punca kebakaran akibat lintar pintas kerana ada kotak suis elektrik di sebelah pintu berkenaan.


Tetapi hasil siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ada unsur-unsur khianat dari pihak tertentu kerana dapat mengesan sesuatu yang mencurigakan daripada kebakaran tersebut. Hasilnya, daripada kepantasan dan kecekapan siasatan pihak PDRM serta dengan bantuan CCTV Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta pihak-pihak yang lain, PDRM berjaya memberkas tujuh remaja yang disahkan terlibat dengan kebakaran tersebut. Daripada tujuh yang ditangkap, enam daripadanya didapati positif dadah (syabu).

 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat dan balas dendam diantara tujuh remaja terbabit terhadap Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bemulanya daripada perbuatan ejek-mengejek di antara pelajar tahfiz itu dan pihak luar. Akhirnya menjurus kepada perbuatan khianat dan balas dendam, tetapi siasatan sedang dijalankan bagi mendapatkan motif sebenar kejadian. Tujuh suspek yang berusia di antara 11 hingga 18 tahun disiasat mengikut Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 302 kerana membunuh dan Seksyen 435 iaitu melakukan khianat dengan api.

 

Penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17)


Sekali lagi di saat memasuki bulan baru Islam, negara kita dikejutkan dengan berita penganjuran satu program yang dilihat secara sengaja cuba mencabar sensitiviti agama di negara kita. Better Beer Festival 2017 (BBF17) atau digelar sebagai Pesta Arak merupakan program acara tahunan sejak tahun 2012, yang disebut sebagai “The Biggest Celebration of the Craft Beer Revolution in Malaysia” anjuran sebuah syarikat pengedar bir. 
Better Beer Festival dirancang bakal diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di Solaris Damansara, Kuala Lumpur dengan menampilkan 250 jenama arak berbeza daripada 43 syarikat arak dan dikatakan akan menarik sasaran seramai 6,000 orang pengunjung sekali gus mensasarkan penganjuran yang terbesar pada kali ini. Walaupun menggunakan tiket atas nama pelancongan dan hanya untuk orang bukan Islam, Beer Festival 2017 telah mendapat kecaman daripada pelbagai pihak terutamanya mereka yang majoriti beragama islam di negara kita.

 

Alhamdulillah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan penganjuran Better Beer Festival 2017 dan telah mendapat pujian daripada masyarakat Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam. Walaupun DBKL mendapat kecaman daripada beberapa individu, DBKL tetap mendapat sokongan daripada mereka yang menentang Festival tersebut.

 

Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Mendidik kita akan konsep Tabayyun

 

(أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ)
(وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ)

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

(al-Ankabut : 2-3)

Dalam ayat ini, Allah SWT menerangkan akan peranan ujian, di mana untuk mendidik dan menguji golongan yang beriman, iaitu orang-orang yang benar dalam pengakuan imannya, juga orang-orang yang dusta dalam pengakuan imannya Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT yang menggambarkan kita sebagai umat pertengahan.

 

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ 
"Dan demikianlah, telah kami jadikan kamu suatu umat yang di tengah, supaya kamu menjadi saksi-saksi atas manusia dan Rasul menjadi saksi ke atas kamu."

(al-Baqarah: ayat 143)

 

Di sebalik kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Allah menyaksikan kita akan bagaimana timbulnya suatu fitnah terhadap sikap terburu-buru manusia. Seringkali, maklumat yang di¬sampaikan tidak mempunyai kaji selidik yang kukuh, di mana tanpa tidak sedar telah mengandungi fitnah kepada sesuatu pihak. Ini menjadi parah apabila fitnah ini di¬sebarkan sehingga menjadi tular dalam kalangan masyarakat. Hal ini seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

 

(هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَىٰ مَنْ تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ)
(تَنَزَّلُ عَلَىٰ كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ)
(يُلْقُونَ السَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ)

“Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa. Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.” 
(asy-Syu’ara: ayat 221-223)

 


Menyampaikan dusta dan fitnah ialah sifat yang bersemadi dalam diri syaitan yang dimurkai Allah SWT. Masyarakat perlu me¬ngelakkan daripada bersifat sedemikian. Dusta dan fitnah kepada orang lain membawa kesan yang buruk seperti memutuskan silaturahim dan membunuh reputasi baik pihak yang difitnah. Bahkan, sekiranya dusta ditularkan kepada masyarakat sudah tentu akan menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

Kerana itu Allah meminta kita untuk kaji selidik sesuatu kisah sebelum menyatakan sesuatu pendirian bagi mengelakkan diri terjerumus terhadap sesuatu fitnah. Seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT:

 

(يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.’’
(al-Hujurat : ayat 6)

 

Dasar Akidah Yang Kukuh (Antara Arak Dan Islam).

 

Allah telah menegaskan tentang pengharaman arak dalam surah al-maidah yang merupakan antara perbuatan keji daripada perbuatan syaitan:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأنْصَابُ وَالأزْلامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ (٠
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi dan pemujaan berhala dan mangundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-maidah: ayat 90)

 

Semestinya Islam mengharamkan arak yang merupakan ibu segala kejijikan daripada menular budaya meminumnya dalam masyarakat. Dalam hal ini Rasulullah SAW memperingatkan manusia tentang keburukan arak:

 

اجتنبوا الخمر فإنَّها مفتاح كلِّ شر
Maksudnya: "Jauhilah oleh kamu semua akan arak kerana sesungguhnya ia adalah kunci segala kejahatan". (Riwayat Baihaqi).

 

Sekalipun pesta arak yang bakal berlangsung ini hanya terbuka kepada golongan yang tidak beragama Islam sahaja, ianya juga tetap menyalahi nilai-nilai agama apatah lagi jika ianya dipestakan secara besar-besaran. Hal ini akan mengundang budaya negatif dalam masyarakat apabila adanya promosi terbuka melalui pesta yang boleh menyebabkan pengambilan arak secara terbuka dan berleluasa di negara kita.

Sebagai muslim yang beriman yang telah melahirkan lafas syahadah seharusnya kita perlu mempunyai dasar akidah yang kukuh dengan mentaati segala perintah Allah dan rasulNya serta meninggalkan larangan-Nya.

Dan Allah SWT juga berfirman:

 

فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk”.
(al-A’raf: ayat 158)

 

Setiap kebaikan adalah dengan mengikutinya, dan berhukum dengan syari’at dan sunnahnya, dan setiap kejahatan adalah menyelisihi petunjuknya, dan berpaling dari sunnahnya SAW.

 

Ahli PERUBATAN Perlu Cakna Isu Sekitar

 

PERUBATAN sentiasa menjadikan agama Islam dan syariat sebagai panduan dalam persatuan bergerak sebagai persatuan mahasiswa. Berdasarkan dalil-dalil nas yang telah dinyatakan, PERUBATAN menyokong penuh dengan penolakan penganjuran Festival Arak tersebut.

Dan di kesempatan ini, PERUBATAN menyeru kepada semua ahlinya untuk mendoakan kebaikan kepada mangsa-mangsa yang telah terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz tersebut. 
PERUBATAN juga menyeru kepada ahli supaya mengambil iktibar akan peristiwa yang dialami dan sentiasa cakna dengan isu-isu yang dialami terutamanya isu yang berkaitan dengan umat islam.

Ini seperti yang dinyatakan didalam hadis Rasulullah SAW:

 

من أصبح وهمه الدنيا فليس من الله في شيء ومن لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Ertinya: “Barangsiapa yang berpagi-pagi dan fokus keutamaan dalam dirinya perihal dunia semata-mata, tiadalah Allah punyai apa-apa urusan untuknya, dan barangsiapa yang tidak mengambil tahu berkenaan urusan kaum Muslimin yang lain, tidaklah mereka dalam kalangan mereka (Muslim).” 
(Riwayat at-Tabrani). 

 


Daripada hadis yang disebutkan, antara perkara yang dinasihatkan Baginda Rasullulah SAW ialah dengan kita mengambil tahu dan cakna dengan urusan mahupun permasalahan umat Islam di sekeliling kita. Kegagalan kita memainkan peranan dalam membantu umat Islam merupakan kerugian yang besar kepada kita semua.

Semoga Allah meredai segala amal perbuatan kita.

Seeru ‘ala barakatillah.

 

#PERUBATANKelasPertama

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“at-Taqwa, as-Syifa’, ar-Rahmah”

 

 

 

fathul

Fathul Izzuddin bin Kungi Kuaya,
Ketua Jabatan Pembangunan Insan / Jabatan Sukan & Aktiviti Luar,
PERUBATAN 2017/2018.

logo perubatan

Assalamualakum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahirrahmanirrahim.  

الله  أكبر,الله  أكبر,الله  أكبر

Alhamdulillah. Takbir dan tahmid kita rafakkan kehadrat Allah SWT yang maha memiliki segala yang melata di bumi dan di arasy, daripada sebesar-besar kerajaan sehingga ke sekecil-kecil debuan bertiupan. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Muhammad SAW kerana hasil usahanya maka umat manusia diterangi dengan cahaya tauhid dan iman.

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT sekalian,

Bersempena dengan Hari Raya Aidiladha ini, saya menyeru kita semua untuk sama-sama menghayati firman Allah SWT dari ayat ke-102 Surah as-Saaffat:

فلَمََّا بلَغََ مَعَهُ أ لسَّعۡىَ قَالَ يـَٰبُنَََّ إِىنِّٓ أَرَىٰ ىفِ أ لمَۡناَى م أَىنِّٓ  أَذۡبََُكَ فٱَ نظُرۡ مَاذَإ ترََىٰۚ  قاَلَ يـَٰٱٓبَ ىتَ

أ فۡعَلۡ مَا تؤُۡمَرُۖ  سَ تَ ىجدُىنّٓ إِن شَاءَٓ أ للََُّّ ىمنَ أ لصَّـٰى ىبرينَ  

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersamasama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar.

Haji dan korban merupakan ibadah yang menjadi tuntutan kepada semua umat Islam. Ibadah yang bertitik tolak daripada kisah keluarga Nabi Ibrahim AS ini sememangnya menjadi tumpuan umat Islam setiap tahun pada bulan Zulhijjah bagi meraikannya. 

Kisah yang dirakamkan dalam ayat di atas merupakan suatu manifestasi ketaatan tahap tertinggi yang telah ditunjukkan oleh Saidina Ibrahim dan anaknya Saidina Ismail AS. Bagaimana seorang ayah sanggup untuk menyembelih anak kandungnya sendiri dan bagaimana seorang anak reda untuk disembelih semata-mata bagi memenuhi dan mentaati perintah Allah SWT. Inilah makna ketaatan tanpa batasan.

Mukminin mukminat yang dirahmati Allah,

Umum mengetahui makna korban. Malah, lebih ramai yang mampu untuk melaksanakan ibadah korban ini saban tahun. Namun, adakah semua dari kita memahami apakah matlamat yang dimahukan daripada ibadah korban tersebut? Firman Allah SWT:  

 لنَ ينَاَلَ أ للَََّّ لحُُومُهاَ وَلََ ىدمَاؤُٓهَا وَلـَٰ ىكن ينَاَلُُُ أ لتقَّۡوَىٰ ىمنكُۚۡ

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.”

(al-Hajj: 30)

Iman adalah suatu yang tersimpan di dalam jiwa. Namun kewujudan iman di dalam sanubari seseorang itu akan dimanifestasikan melalui amalan yang dilakukan oleh seorang individu tersebut. Jika baik amalannya, maka baiklah juga imannya dan juga begitulah sebaliknya. Ibadah korban sepatutnya menjadi suatu simbol ketaatan kita kepada Allah SWT. Daging dan darah yang mengalir tersebut bukanlah semata-mata untuk dimakan dan dilihat, bahkan ia juga adalah untuk diambil ibrah akan ketaatan tanpa batasan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Ibrahim AS bersama anaknya yang mulia. 

Taatnya kita kepada perintah Allah Azza Wa Jalla mestilah tidak berbelah bahagi dan tiada batasan. Malah setiap perintah Allah dari aspek kehidupan berindividu hinggalah kepada pemerintahan negara mestilah kita laksana walau terdapat halangan. Maka, inilah yang akan terbit daripada iman yang mana akan sampai taqwanya kepada Allah SWT.

Ahli-ahli PERUBATAN yang dikasihi sekalian.

 PERUBATAN pada setiap tahun berhasil untuk melaksanakan majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha (SAADAH). Bertemakan “Rasul Qudwah Tadhiyyah”, maka kita berharap agar seluruh ahli PERUBATAN berusaha untuk meneladani ibrah ketaatan tanpa batasan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Ibrahim dan juga sekalian rasul yang lain.

 Bersempena dengan hari kebangsaan yang berlangsung seiringan dengan Aidiladha ini juga, saya menyeru diri saya dan diri sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kembali kepada keluasan dan kemerdekaan yang ditawarkan oleh Islam. Ketahuilah, syariat Allah adalah penyelesaian sebenar bagi menghadapi ‘penjajahan’ konflik yang melanda manusia secara keseluruhan.

 Akhir kalam, semoga kita menjadi sebahagian manusia yang mentaati perintah Allah SWT dan berusaha menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Saya juga mewakili PERUBATAN sesi 2017/2018 mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha dan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke-60 kepada seluruh ahli PERUBATAN yang disayangi. Sekian.

 

Barakallahu Fikum. Seeru ‘Ala Barakatillah.

Saudaramu,

shahir PO

Ahmad Shahir bin Ahmad Jalaludin

Presiden,

PERUBATAN Sesi 2017/2018 

Negaraku Sehati Sejiwa

Published in Artikel

Ku dengar janjimu, bayu Kinabalu

Ku dengar sumpahmu, Rajang yang membiru

Bersatu denganku, tegap Titiwangsa

 

Turunnya Union Jack dan berkibarnya Jalur Gemilang. Berkibar dengan penuh gemilang. Terhelanya nafas lega, terlerai air mata dan bergemanya laungan keramat ‘Merdeka!’.

 

“Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.”

(as-Saff : 13)

 

Nikmat kemerdekaan sungguh besar nilainya. Meskipun Malaysia terdiri daripada suku kaum yang berbilang bangsa, tidak terzahir langsung jurang perbezaan bangsa ini. Begitulah besarnya sumbangan para pejuang kemerdekaan dahulu yang bersungguh-sungguh menuntut kemerdekaan buat sebuah negara bernama Malaysia. Pejuang kemerdekaan juga bukan hanya terdiri daripada satu bangsa sahaja, malah di belakang Tunku Abdul Rahman berdirinya negarawan seperti Tun V.T Sambanthan dan Tun Ong Yoke Lin.

 

Dari Semenanjung merentasi Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak, kepelbagaian rumpun budaya, bangsa dan agama ini sememangnya unik dan menarik pada pandangan dunia. Di Malaysia sahaja, terdapat lebih 80 jenis suku kaum dengan 137 buah bahasa yang dituturkan dalam rutin harian rakyat Malaysia seluruhnya. Negara mana lagi yang tidak bertuah kerana dianugerahkan lagi dengan khazanah alam yang begitu luar biasa ciptaannya? Biru dan gagahnya berdiri Gunung Kinabalu. Panjang dan kayanya Sungai Rajang. Hijau dan segarnya Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang Semenanjung Malaysia.

 

Maha Bijaksana Allah yang menciptakan manusia dengan kepelbagaian rupa insan dan penciptaan alam.  Perbezaan ini hakikatnya tidak pernah sia-sia malah begitu besar rahsia Allah Yang Maha Mencipta.

 

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah penciptaan langit dan bumi dan kepelbagaian bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”

(ar-Rum : 22)

 

Segala puji bagi Allah, Malaysia mendakap kemerdekaan buat tahun ke 60. Liku-liku cabaran di peringkat  global mahupun dalaman yang dihadapi dari tahun ke tahun dihadapi dengan begitu berani dan penuh strategi. Pelbagai pengiktirafan dan sanjungan dunia terus Malaysia perolehi. Maka hal yang demikian, selari dengan tema Hari Kebangsaan 2017, ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ membawa semangat kesatuan dan kesepakatan dalam mendalami nikmat kemerdekaan tanah air. Negara adalah tanah tempat tumpah darah dan menjadi milik semua rakyat Malaysia. Wajarnya, perlu dijaga dan dipertahankan kedaulatannya dengan penuh jitu dan bersemangat bagai wira. Namun, hal ini adalah mustahil andai satu individu sahaja yang memainkan peranannya. Justeru ‘Sehati Sejiwa’ ini ditekankan bagi mendedahkan rakyat Malaysia betapa kemerdekaan ini perlu dipelihara sepenuh hati dan dipertahankan dengan sepenuh jiwa dan raga.

 

Pergolakan yang berlaku di beberapa penjuru dunia sudah cukup memberi iktibar kepada rakyat Malaysia bahawa nilai kemerdekaan ini sebenarnya mudah rapuh dan punah sekiranya api-api persengketaan dibakar dan asas negara tersangatlah lemah. Sebagaimana peristiwa pada zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana si Kitol yang menjadi ‘tali barut’ penjajah kerana membocorkan rahsia yang akhirnya telah melemahkan sistem keselamatan lalu memberi ancaman terhadap kota Melaka.

 

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan musuhKu dan musuhmu sebagai teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah….”

(Al-Mumtahanah : 1)

 

Surah ini diturunkan sewaktu peristiwa pembukaan Kota Mekah di mana Hatib telah membocorkan rahsia kepada puak musyrikin Quraisy. Beliau berharap dengan membocorkan rahsia tersebut mampu menarik simpati orang Quraisy terhadap dirinya, sehingga mereka merasa berhutang budi terhadap Hatib. Dengan keadaan ini, beliau berharap agar orang Quraisy akan melindungi anak dan isterinya di Mekah. Meskipun demikian, perbuatan ini dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan.

 

Tegasnya di sini, rakyat Malaysia haruslah sepenuh hati dan tanpa ragu memikul amanah untuk menjaga kedaulatan dan kemerdekaan negara yang dicintai. Maka sewajibnya amanah bernegara ini kekal dijaga dengan penuh tanggungjawab dan tidak sekali-kali dikhianati kerana tanpa negara punahlah bangsa, punah bangsa runtuhlah jiwa."

 

Di Malaysia inilah lahirnya tunas cinta yang menyemarakkan kesatuan seluruh warganya. Segala cabaran yang mendatang kita perlu terus tempuhi. Jangan pernah ada yang leka ataupun lupa, teruslah dan tetaplah berjuang. Curahkan sepenuhnya jasa, tenaga dan budi kita sebagai rakyat Malaysia hingga akhirnya.

 M copy

Sumber: MediaPERUBATAN

 

Kita lihat betapa peritnya bangsa Palestin meraih kemerdekaan, bukan sekadar kemerdekaan negara, malah untuk membebaskan Masjid ketiga tersuci umat Islam iaitu Masjid Al-aqsa daripada cengkaman musuh yang membenci Islam.

 

Berdasarkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terdapat 196 negara yang diiktiraf. Namun, masih terdapat beberapa negara yang masih belum merdeka dan berdaulat seperti Kosovo dan negara yang masih berlumuran darah seperti Palestin.

 

Nilai kemerdekaan bukan hanya terletak atas seorang individu dan sebuah negara sahaja. Malah ia melibatkan saudara seagama kita yang bertungkus lumus menjaga maruah Islam di Palestin dan Myanmar. Sebagai umat Islam, terhimpitnya Palestin yang terletaknya Masjid Al-aqsa bermakna umat islam belum merdeka secara keseluruhan. Tidak adillah kita melaung dan menikmati kemerdekaan namun saban hari saudara seagama kita berlari melempar batu kerikil ke arah kereta kebal gergasi bagi membentengi dan menyelamatkan kampung halaman dan keluarga mereka. Tidak adil juga apabila kita disini hidup bermewah-mewah dalam keadaan saudara Rohingya kita dibakar hidup-hidup di Myanmar sana.

 

Maka, sejauh manakah umat Islam pada hari ini merdeka? Marilah kita bersama-sama menjadi umat Islam yang merdeka secara keseluruhannya. Kemerdekaan negara yang begitu besar nilainya ini perlu diperkukuhkan dengan aura Islam yang sejati kerana Islam menurut perlembagaan Malaysia adalah agama rasmi negara ini. Islam menuntut kebebasan dan keamanan walau di mana jua kita berada. Maka, dengan terpancarnya aura Islam sejati, urusan ini tidak akan pernah menjadi susah malah tidak akan pernah mustahil. Rahsianya hanyalah umat islam perlulah benar-benar mempraktikkan ajaran islam secara menyeluruh.

 

 

Negaraku Sehati Sejiwa, Islamku Sehati Sejiwa.

 

 

 

MUHAMMAD AMIRUDDIN BIN MAHIAN@NORDIN,

TAHUN 4, KULIAH PERUBATAN,

PERUBATAN CAWANGAN AL-AZHAR.

KENYATAAN RASMI : SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2017

Published in Kenyataan

ISLAM SOLUSI KEMERDEKAAN HAKIKI

logo perubatan

 

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, tuhan yang menciptakan segala sesuatu yang berada di langit, di bumi dan yang juga di antara keduanya. Selawat dan salam buat junjungan agung baginda Nabi Muhammad SAW, utusan terakhir daripada sekalian rasul kerana dengan berkat perjuangan baginda, agama yang hebat ini telah sampai kepada kita selaku umat manusia akhir zaman.

 

Dalam menghayati kemerdekaan negara kita yang tercinta ini, marilah bersama kita hayati satu firman Allah SWT dalam ayat 257 dari Surah al-Baqarah:

 

ٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ‌ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّـٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَـٰتِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلنَّارِ‌ۖ هُمۡ فِيہَا خَـٰلِدُونَ

Maksudnya: “Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.”

 

ISLAM & KEBEBASAN

 

                Islam adalah agama pembebasan. Ia telah hadir sebagai penyelamat dalam mengeluarkan manusia daripada belenggu kekufuran kepada kebebasan cahaya keimanan. Seperti mana yang pernah dituturkan oleh Saidina Rabi’ ibn Amr dalam satu dialognya yang terkenal;

 

“Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla telah menghantar kami untuk mengeluarkan kamu daripada penghambaan sesama makhluk kepada penghambaan buat pencipta makhluk dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat serta daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam. Allah Azza Wa Jalla telah menghantar kami untuk membebaskan kamu daripada penghambaan sesama kamu.”

 

                Sejarah jelas membuktikan, Islam telah berjaya membebaskan manusia daripada belenggu kekufuran dan penghambaan sesama makhluk. Jika suatu ketika dahulu, wanita dianggap sebagai manusia kelas kedua, lalu Islam hadir dan mengangkat taraf wanita sesuai dengan penciptaannya yang penuh dengan kasih dan sayang. Jika suatu masa dahulu, ilmu kaji alam dianggap musuh kepada agama yang menatijahkan kemunduran ilmu manusia, maka Islam hadir dan membebaskan manusia kepada cahaya keilmuan yang mekar. Ditambah pula dengan paksi akidah dan syariat Allah SWT, Islam hadir dan membebaskan manusia daripada penjajahan taghut kepada kemerdekaan rabbani.

 

PERANAN KITA

 

                Kemerdekaan tanah air kita Malaysia yang tercinta merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai. Namun, sebagai warganegara dan muslim yang beriman, yang terlebih penting adalah bagaimana untuk mengekalkan dan mengisi kemerdekaan itu agar kekal diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, matlamat Baldatun Toyyibtun Wa Rabbun Ghafur (negara sejahtera dan diampuni tuhan) perlulah kita jadikan fokus agar negara Malaysia bukan sahaja hebat di dunia malah hebat juga diakhirat. Kefahaman terhadap sejarah Islam dan tanah air juga perlu ditiupkan dalam jiwa anak-anak muda disamping kesedaran untuk berkhidmat untuk negara supaya menjadi asas kepada keteguhan peribadi pemuda muslim dalam menghadapi serangan pemikiran akhir zaman. Sifat ananiyah dan pentingkan diri sendiri perlulah diperangi kerana sifat inilah yang telah menjatuhkan peradaban-peradaban yang terdahulu.

 

                Harapannya adalah, kita selaku pemuda dan pemudi Islam perlulah menyedari bahawa Islam adalah medium sebenar bagi mencapai matlamat kemerdekaan yang hakiki. Tidak guna jika merdeka dari pandangan fizikal tetapi terjajah dari kaca mata minda dan rohani. Jadilah anak muda yang hebat agar terlahirnya ummah kelas pertama yang gemilang. Akhir sekali, semoga kita diberi kekuatan untuk mengisi kemerdekaan ini dengan acuan Islam dan semoga negara Malaysia menjadi negara yang sejahtera dan diberkati Allah Azza Wa Jalla.

 

Sekian. Siiru Ala Barakatillah.

 

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah”

 

 

shahir PO

Ahmad Shahir Bin Ahmad Jalaludin

Presiden,

PERUBATAN Sesi 2017/2018.

Nyawa Kesembilan

Published in Artikel

20120626 092306

 

Nyawa Kesembilan

 

Nyawa kesembilan ialah peluang terakhir.

Tetapi hari ini seseorang telah berjaya membuktikan bahawa ianya bukanlah yang terakhir.

 

Membesar dan mendewasa dengan sebuah keyakinan untuk menjadi Tuan Doktor ialah sebuah pencapaian terhebat yang pernah diraih oleh anak Adam membawa kakinya berpijak di sini; di tanah yang dikelilingi dinding-dinding tinggi yang diberi nama hospital. Tempat penyaksian doa dan air mata paling ikhlas yang pernah keluar daripada batang tubuh seorang manusia.

 

Nyawa pertamanya hancur menjadi debu tatkala dia dikhabarkan bahawa merdeka itu apabila saat tamatnya peperiksaan akhir fakulti perubatan di alma mater namun ternyata ianya tidak. Kerisauan dan keraguan tentang masa hadapan semakin hebat menghantui diri, ditambah dengan stigma graduan Timur Tengah ialah graduan kelas bawahan membunuh dirinya dalam senyap.

 

Bukankah merdeka itu sepatutnya melahirkan rasa bahagia?

 

Saat diberitahu bahawa tempoh pengambilan doktor pelatih mungkin akan mengambil masa setahun atau lebih telah membunuh nyawa keduanya. Secara logiknya, dari mana mahu menjana kewangan andai tidak bekerja? Mungkin benar, manusia boleh hidup tanpa makan selama 7 hari tetapi bagaimana dengan 358 hari yang berbaki? Komputer riba dicapai dan laman sesawang pencarian kerja ditaip dengan hati yang penuh dengan pengharapan namun sayang, tiada satu pun emelnya yang berbalas. Dan nyawanya kini tinggal 6, “tetapi aku masih punya Tuhan.” , hati kecilnya berbisik, meyakinkan bahawa yang menghidupkan manusia itu bukanlah gaji, kerajaan, mahupun pemerintah, melainkan Dia yang Maha Kuasa.

 

Setelah genap 365 hari selepas tamat peperiksaan di fakulti perubatan, akhirnya dia telah merdeka daripada sebuah penantian yang menyeksakan untuk memakai tanda nama ‘Dr.’ .  2 helai surat panggilan ke PTM direnung dengan penuh teruja, “Alhamdulillah merdeka juga aku akhirnya.” Bisik hati kecilnya.

 

Dia melangkah gagah pagi itu memakai kot putih berbekalkan 6 nyawa yang berbaki namun melangkah pulang dengan hanya 5 nyawa tersisa dek kerana diherdik senior doktor, diperlekehkan oleh rakan sejawat, dan dihina oleh keluarga pesakit. Layakkah aku untuk menjadi seorang ‘Tuan Doktor’? satu suara kecil dari dalam kepalanya terus-terusan bergema hingga dirasakan setiap inci neuron otaknya seakan mahu putus.

 

Bukankah merdeka itu sepatutnya melahirkan rasa bahagia?

 

Dia hampir kehilangan nyawa kelima namun diselamatkan oleh seorang Tua berkemeja biru yang datang menghampirinya yang sedang menggigil bersama kertas segi empat tepat yang panjang berwarna merah seraya berkata, “The trick to understand and grab the DDX for the reading of this ECG is like this…….” Dia kesat air mata yang mengalir lemah sambil cuba menangkap suara si Tua itu yang diselangi oleh bunyi mesin ECG.

 

Nyawa kelima yang cuba dipertahankannya hilang jua tatkala pesakit yang tidak pernah gagal dilawatinya setiap hari kembali ke pangkuan Ilahi. Dia merasakan sudah diberi perawatan yang terbaik, tidak cukup dengan itu, doa beserta air mata yang dia kira ikhlas juga tidak putus dipanjatkan. Pesakitnya itu ialah seseorang yang dia panggil Mama selama 25 tahun.

 

“Ah, inikah makna merdeka yang dimomokkan selama ini?” suara itu masih terus terusan bergema mematikan separuh daripada berbilion neuron yang hidup di tempurung kepalanya.

 

Hari berganti hari, dan nyawanya hanya tinggal 1 bersama tempoh housemanship yang terpaksa dipanjangkan.

 

Hidup dengan hanya 1 nyawa berbaki merupakan suatu perkara, dan pilihan untuk terus menjalani kehidupan ataupun menamatkannya sahaja merupakan suatu perkara yang lain.

 

Dia berdiri rapat ke dinding bersama sepucuk surat yang sudah lunyai di dalam genggamannya. Lututnya menggeletar sedikit setelah bersandar selama 2 jam di dinding kuning cair itu. Nafasnya dihela perlahan, buat kesekian kalinya dia mengenggam kuat sampul putih tersebut dan akhirnya tangannya membuat keputusan untuk mengetuk pintu bilik tersebut dan langkah lemah dihayunnya.

 

Langkah longlainya terhenti apabila melihat tuan punya suara yang menyuruhnya masuk sebentar tadi. “Si Tua berkemeja biru...” Nyata, ingatannya masih kuat. Lututnya menggeletar seolah ligamennya sudah putus dan tidak mampu menampung berat badannya lagi apabila surat yang diletakkan di atas meja terus dicampakkan ke dalam tong sampah tanpa dibaca terlebih dahulu.

 

“Saya kehilangan ayah saya di atas meja pembedahan di mana saya adalah operating surgeon ketika itu dan saya kehilangan anak perempuan saya sewaktu tahun pertama menjadi doktor pelatih. Hingga saat ini saya tidak dapat memaafkan diri sendiri apabila anak saya yang lain lebih memilih pengasuh daripada ayahnya sendiri.” Si Tua itu memulakan bicara bersama senyum hangat penuh kasih sayang.

 

Dia tenung muka tua itu silih berganti dengan tanda nama yang terletak elok di atas meja bertarah “Pengarah Hospital.”

 

“Hidup ialah sebuah perjuangan, people come and go. They were gone but we are still here. The ones left behind need to pick up the pieces. All we can do now is honor their memory by living the best way we know how. There’s no point fighting someone else when the war is inside you.” Si Tua berkemeja biru menyambung lagi, “Setiap kegagalan yang kita alami itu sebenarnya membuka pintu dan ruang bagi sebuah kemerdekaan yang lain. Merdekakanlah diri awak daripada sebuah rasa sedih dan kecewa yang sentiasa merantai diri. Kita semua bermula pada suatu titik yang sama.”

 

Dia kesat perlahan air mata yang mengalir. “Merdekakah aku?” suara itu bergema buat kesekian kalinya.

 

“Surat perletakan jawatan awak ini saya tidak terima, dan saya mengharapkan suatu hari nanti awak datang kembali bersama application letter for master study.” Si Tua itu senyum lembut sambil membetulkan tag Cardiothracic Surgeon yang sedikit senget di tempatnya.

 

Dia balas senyuman itu bersama semangat baru dan makna baru buat sebuah kemerdekaan dan akhirnya, dia berhenti mengira berapa banyak lagi nyawanya yang masih tinggal.

 

Selamat memerdekakan diri dari apa jua rasa yang merantai diri selama ini!

 

Tamat.

 

 

Oleh,

Nadia Nabila Afandi.

17 Zulkaedah 1438h.

logo perubatan

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

وَالۡبُدۡنَ جَعَلۡنٰهَا لَـكُمۡ مِّنۡ شَعَآئِرِ اللّٰهِ لَـكُمۡ فِيۡهَا خَيۡرٌ​

​ۖ فَاذۡكُرُوا اسۡمَ اللّٰهِ عَلَيۡهَا صَوَآفَّ​ ۚ فَاِذَا وَجَبَتۡ جُنُوۡبُهَا فَكُلُوۡا مِنۡهَا وَاَطۡعِمُوا الۡقَانِعَ وَالۡمُعۡتَـرَّ ​ؕ كَذٰلِكَ سَخَّرۡنٰهَا لَـكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُوۡنَ‏ 

 لَنۡ يَّنَالَ اللّٰهَ لُحُـوۡمُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلٰـكِنۡ يَّنَالُهُ التَّقۡوٰى مِنۡكُمۡ​ؕ كَذٰلِكَ سَخَّرَهَا لَـكُمۡ لِتُكَبِّرُوا اللّٰهَ عَلٰى مَا هَدٰٮكُمۡ​ؕ وَبَشِّرِ الۡمُحۡسِنِيۡنَ‏ 

 

“Dan unta-unta itu Kami jadikan untukmu bahagian daripada syiar-syiar agama Allah, kamu banyak memperoleh kebaikan padanya. Maka sebutlah nama Allah (ketika kami akan menyembelihnya) dalam keadaan berdiri. Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah sebahagiannya dan berilah makan kepada orang yang merasa cukup dengan apa yang ada padanya (tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami tundukkan (unta-unta itu) untukmu, agar kamu bersyukur. Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan kamu. Demikianlah Dia menundukkannya untukmu agar kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang Dia berikan kepadamu Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” [Surah al-Hajj: 36-37]

 

Segala puji dan puja hanya kepada Allah Tuhan sekalian alam, serta selawat dan salam dicurahkan kepada baginda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasalam yang berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah sehingga pada hari kebangkitan. Alhamdulillah, Allah SWT masih mengekalkan dua nikmat yang terbesar dalam hidup kita iaitu nikmat Iman dan Islam. Dan antara nikmat yang besar juga adalah kita masih sempat bertemu dengan hari-hari kebesaran Islam iaitu Hari Raya Aidiladha.


Kisah sembelihan Nabi Ismail yang berlaku pada zaman Nabi Allah Ibrahim pada suatu ketika dahulu merupakan simbolik kepada tadhiyyah atau pengorbanan yang menjiwai dada mereka. Mimpi Nabi Ibrahim yang mengisahkan baginda menyembelih anak kesayangannya sendiri dibenarkan oleh Nabi Ismail, lalu mereka bersetuju untuk meneruskan upacara tersebut tanpa sebarang dalih. Berkat kerana iman dan ketaatan mereka yang kuat dan jitu kepada Tuhan yang menciptakan mereka, akhirnya Allah gantikan anak kesayangan baginda Nabi Ismail kepada seekor kibash atau biri-biri (menurut suatu riwayat), dan kemudian hiduplah Nabi Ismail bersama bapanya dengan membawa ajaran Ilahi.


Begitu juga dengan baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang berjuang dengan jiwa dan raganya untuk menegakkan kalimah Allah di zaman jahiliah. Masyarakat Arab yang ketika itu gersang dengan ilmu tentang hakikat ketuhanan, jahil tentang kehidupan selepas mati; akhirnya mampu diubah dengan berkat pengorbanan yang ditunjukkan oleh baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam dan seluruh para sahabat 'alaihimussalam. Maka, pengorbanan inilah yang sepatutnya diteruskan oleh generasi Muslim pada hari ini. Berjuang menuntut ilmu, menyebarkan dakwah Islam yang sebenar di atas muka bumi serta bekerja ikhlas dan menunjukkan ketaatan hanya kerana Allah SWT. Setiap titis peluh yang gugur di atas jalan ketaatan yang syumul pasti tidak akan disia-siakan oleh Tuhan Azza wajalla.


Saban tahun, PERUBATAN sebagai wadah Integrasi untuk membentuk professional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten, mengajak ahlinya untuk sama-sama menjayakan visi PERUBATAN ini dengan jiwa yang besar. Melahirkan sifat pengorbanan dan ketaatan sabagai hamba Allah dalam diri dan membuat amal kebaikan di dunia di atas tiket menjadi ahli sains kesihatan pada suatu masa nanti. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: “Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa menghitung dirinya, dan beramal untuk kehidupan setelah mati, serta orang yang tidak cerdik adalah orang yang sentiasa mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan (untuk bertemu) Allah.” [Hadis Sahih]

 

Saban tahun juga, PERUBATAN mengambil inisiatif untuk mengadakan program Sambutan Hari Raya Aidiladha (SAADAH) yang bertujuan menanamkan sifat pengorbanan dalam diri mahasiswa sains kesihatan dibumi mesir ini. Pelbagai aktiviti bermanfaat yang telah dianjurkan oleh PERUBATAN seperti, kelas tafakuh khas, malam gema takbir, solat Raya Aidiladha, sembelihan binatang korban dan jamuan Hari Raya Aidiladha  yang di mana akan dilaksanakan di peringkat keseluruhan PERUBATAN Cawangan.

 

Dengan membawa tema “ Rasulullah Qudwah Tadhiyyah ” Sambutan Hari Raya Aidiladha (SAADAH) dibawah Pantauan Jabatan Pembangunan Insan (JPI) pada tahun ini menjadikan batu loncatan kepada mahasiswa sains kesihatan dibumi mesir ini untuk mendapat nilai pengorbanan dan ketaatan yang sebenar-benarnya disisi Allah SWT.


Justeru, semoga kedatangan Aidiladha yang akan hadir dalam masa terdekat ini ini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh semua ahli PERUBATAN, serta kita mengikut jalan pengorbanan yang diwariskan oleh Rasulullah serta seluruh para sahabatnya, para tabiin, dan seluruh yang mengikuti mereka hingga ke hari kiamat.


Siiru ala Barakatillah. Sekian, Assalamualaikum.

PERUBATAN sebagai wadah integrasi dalam membentuk profesional sains kesihatan yang rabbani dan kompeten.

 

#PERUBATANKelasPertama

"Rasulullah Qudwah Tadhiyyah"

 

"Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati"

"at-Taqwa, as-Syifa, ar-Rahmah"

 

 

 

fathul

Fathul Izzuddin bin Kungi Kuaya,

Ketua Jabatan Pembangunan Insan,

PERUBATAN 2017/2018.

Hakcipta Terpelihara ©2007-2015 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version