You are here: Cerna Minda | Sains | Sains dan Kebenaran Al-Quran

Makluman

Kami telah berpindah ke PERUBATANonline v4!

Laman v3 ini secara rasminya telah diarkibkan sebagai bacaan rujukan sahaja.

 asdas

Sains dan Kebenaran Al-Quran

E-mail Print PDF
dihantar oleh hafizadam
User Rating: / 5
PoorBest 

Islam adalah agama yang sempurna, merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai syumuliyah dalam Islam. Sebagaimana firman Allah,

”Pada hari ini aku sempurnakan agamamu untuk kamu dan aku sempurnakan nikmatku ke atas kamu dan aku redhai Islam menjadi agamamu." (Al-Maidah : 3)

Ajaran Islam yang syumul ini adalah bersumberkan kepada dua perkara iaitu Al-Quran dan sunnah seperti mana yang telah dinyatakan dalam hadis baginda Rasulullah s. a. w,

Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitab Allah dan sunnahku.

Dengan adanya sumber yang tidak mampu dipertikaikan ini, Islam telah membawa satu bentuk perubahan kepada seisi alam melalui syariat atau peraturan yang ditetapkan melalui kedua sumber tersebut.

quran

Adalah menjadi kewajipan untuk kita mematuhi syariat atau peraturan yang telah ditetapkan dalam Islam demi mencapai kejayaan sebenar dunia dan akhirat. Pelaksanaan syariat tersebut mestilah hadir bersama iman yang kukuh sementelah iman adalah penentu sesuatu amalan itu diterima oleh Allah atau ditolak. Maka, penting bagi kita untuk sentiasa menguatkan iman antaranya dengan mendalami ilmu dan mengukuhkan kefahaman melalui ayat-ayat Al-Quran. Penguasaan ayat-ayat Al-Quran ini bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang untuk membaca Al-Quran dengan baik. Langkah seterusnya adalah untuk memahami ayat-ayat Al-Quran dengan pemahaman yang betul selanjutnya adalah dengan berusaha untuk mendapatkan penghayatan yang mantap terhadap isi kandungan Al-Quran. Mereka yang membaca, memahami dan menghayati seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan akan dijanjikan dengan kesejahteraan dan kecemerlangan seperti mana firman Allah yang bermaksud,

”Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang aqwam dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” (Al-Israk : 9)

Aqwam yang dimaksudkan dalam ayat ini bermaksud jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat menurut Imam Qartubi dalam al-Jamik li Ahkamil Quran.

Menurut apa yang disebutkan dalam Hans Wehr: A Dictionary Of Modern Written Arabic, ayat dalam bahasa Arab membawa dua maksud; pertama adalah ayat-ayat Al-Quran dan kedua ialah tanda atau bukti. Penguasaan dalam ayat-ayat Al-Quran mestilah disusuli dengan menguasai atau memahami tanda dan bukti yang tersembunyi di alam semesta yang menjadi bukti kekuasaan dan keagungan Allah. Hal ini menuntut umat Islam untuk menggunakan akal fikiran yang tajam untuk mengkaji bukti dan tanda-tanda ini. Allah meninggikan darjat bagi mereka yang mengkaji alam ini dengan gelaran ulul albab seperti mana dalam surah Ali Imran ayat 90 hingga 91. Ayat ini menjadi satu rangsangan bagi umat Islam untuk menjadi saintis atau pakar sains yang sentiasa mengingati Allah, bukannya ateis. Malah, Islam menuntut agar saintis yang dilahirkan mestilah mengkaji alam dengan menggunakan minda saintifik iaitu minda yang kuat berfikir, kritikal, mampu menganalisa data dan fakta, serta mampu membuat andaian serta konklusi terhadap apa yang dikaji tanpa menerima sebarang laporan atau pandangan secara bulat-bulat tanpa bukti dan dalil yang kukuh. Sikap ini bertepatan sepertimana yang diajar dalam Al-Quran dalam surah al-Israk ayat 36,

”Janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.” (Al-Israk : 36)

Islam amat mengambil berat akan peri pentingnya bukti dan dalil. Oleh sebab itulah, Islam tidak pernah memaksa sesiapa yang bukan beragama Islam untuk memeluk Islam sebaliknya mereka diberikan hujah yang rasional pada pemikiran mereka untuk memperlihatkan kepalsuan pegangan mereka sekaligus membenarkan Islam. Sebagai contoh, dalam surah al-Haj ayat 73Allah menggunakan hujah dan dalil yang dapat diterima akal bagi menjelaskan kesesatan amalan penyembahan patung berhala. Allah turut menggunakan pendekatan yang sama tatkala berbicara mengenai alam ghaib, antaranya kebangkitan semula selepas mati. Dalam surah Fatir ayat 9 yang bermaksud,

”Allah jualah yang menghantarkan angin dan angin itu menggerakkan awan, kemudian kami halakan awan itu kepada negeri yang mati (kawasan kering kontang) dan kami hidupkan bumi itu sesudah matinya (dengan menurunkan hujan). Demikianlah juga kebangkitan manusia (iaitu kehidupan selepas mati).” (Fatir : 9)

Lihat sahaja bagaimana Allah mengaitkan fenomena alam bagi menjelaskan mengenai kehidupan selepas mati. Ayat ini mampu mengetuk minda kita untuk berfikir mengikut apa yang dapat diperhatikan dalam mencari kebenaran. Malah, ayat-ayat ini menuntut kita untuk mengambil berat akan pencarian bukti dan dalil dalam memantapkan keyakinan kita dalam sesuatu perkara. Justeru, minda saintifik tidak seharusnya mempercayai perkara tahyul dan khurafat yang tidak masuk akal.

big bangAl-Quran yang merupakan sumber rujukan utama umat Islam sebenarnya mampu melahirkan umat yang memiliki minda yang cerdas dan saintifik. Hal ini kerana, Al-Quran telah mengungkapkan pelbagai bukti dan dalil mengenai alam, manusia dan kehidupan yang membolehkan umat Islam mengkajinya bagi mendapatkan kefahaman yang betul mengenai sesuatu perkara. Misalnya, dalam surah al-Anbiya' ayat 30 yang membawa maksud,

”Apakah orang kafir tidak mengetahui langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah sesuatu yang padu (ratqa) kemudian kami pisahkan antara keduanya (fataq).” (Al-Anbiya' : 30)

Ayat ini membolehkan umat Islam mengetahui asal usul proses kejadian alam lama dahulu sebelum lahirnya teori Big Bang sebagaimana pandangan yang diutarakan oleh ulama tabiin, Imam Said Bin Jubair yang mengatakan, ”Langit dan bumi sebelum ini melekat antara satu sama lain. Apabila langit ditinggikan dan dengan itu zahirlah bumi maka berlakulah pemisahan dan itulah yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini”. Perkara ini terbukti benar dengan adanya kajian terkini mengenai Big Bang, teori yang menjadi pegangan umum para saintis mengenai permulaan alam semesta pada hari ini.

Selain itu, berpandukan ayat Al-Quran, ulama Islam dapat mengetahui mengenai proses kejadian bayi yang melalui pelbagai tahap. Misalnya sahabat Nabi, Abdullah Bin Abbas  berkata, ”Air lelaki bertemu dengan air perempuan kemudian ia bergabung dan bercantum dan selepas itu ia berubah daripada satu tahap ke satu tahap yang lain dan daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lain dan daripada satu warna kepada satu warna yang lain”. Pandangan beliau ini sama sepertimana Imam IkrimahMujahidal-Hasandan Rabie’ bin Anas, seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Tafsir Al-Quran al-Azim. Mereka menjadikan ayat-ayat Al-Quran sebagai asas dalam kajian mereka antaranya sepertimana dalam ayat 12-14 , surah al-Mukminun.

Penemuan sains terkini membicarakan pusingan hidrologi dunia (hydrologic or water cycle) yang menunjukkan kadar hujan yang turun adalah sama bagi setiap tahun iaitu anggaran sebanyak 513 trilion ton setiap tahun tanpa berlaku perubahan. Hal ini dinyatakan dalam Wikipedia Encyclopedia bersumberkan kepada NASA dan United States Geological Survey. Sedangkan hal ini telah pun diungkapkan lama dahulu oleh para sahabat berdasarkan firman Allah, antaranya ayat 11 dalam surah az-Zukhruf,

”Dialah yang menurunkan air dari langit mengikut kadar lalu kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati.” (Az-Zukhruf : 11)

water cycleSahabat Nabi iaitu Abdullah Bin Abbas Bin Abdullah Bin Masud mengatakan, ”Hujan yang turun pada suatu tahun tidak akan melebihi kadar hujan yang turun pada tahun-tahun yang lain”. Kenyataan beliau ini dilaporkan oleh Ibn Kathir.

Benar bahawa Al-Quran bukanlah buku sains semata-mata sebaliknya panduan dalam menentukan mana yang hak dan mana yang batil tetapi terdapat banyak ayat-ayat di dalamnya yang  mengungkapkan mengenai fenomena sains. Hal ini memancing umat Islam untuk terus mengkaji alam berdasarkan ayat-ayat tersebut sehingga mampu melahirkan ramai tokoh –tokoh saintis Islam yang cemerlang antara tahun 750 hingga 1100 Masihi antaranya Jabir bin Hayyan, al-Razi, al-Kindi, al-Khawarizmi, Abul Qasim dan ramai lagi. Kesemua mereka berjaya membentuk minda saintifik lagi progresif yang dituntut dalam Islam. Dalam pengkajian sains, para saintis adalah bebas namun tidak dapat dinafikan bahawa akal manusia yang lemah itu adalah terbatas maka wahyu yang diturunkan Allah seharusnya dijadikan sumber rujukan tertinggi. Dengan kata lain, sains seharusnya tunduk kepada Al-Quran, berpandukan prinsip-prinsip dan syariat yang telah ditetapkan. Oleh itu, sains dalam Islam merupakan sains berkonsepkan tauhid yang mengakui keterbatasan akal manusia dalam sesetengah perkara. Tidak seperti saintis barat yang tidak mempercayai kuasa ghaib. Malah, mereka menolak pendapat atau kenyataan yang mengatakan bahawa asal usul kehidupan ada kaitannya dengan kuasa ghaib. Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud,

”Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.” (Al-Jathiyah : 20)

Sains tanpa rujukan daripada Al-Quran mendorong manusia untuk membuat pelbagai kesimpulan yang menyeleweng dan menuju kesesatan malah terbabas daripada jalan kebenaran.

Sains yang berpandukan kepada ajaran Islam mempunyai matlamat dan tujuannya yang sendiri. Matlamat jangka pendek adalah untuk memahami dan mengetahui hakikat kejadian manusia dan alam serta memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Matlamat jangka panjang pula ialah untuk menghayati kebesaran dan keagungan Allah sebagai pencipta setiap sesuatu . Semakin zaman mengorak langkah dan ilmu kepakaran sains dan teknologi semakin berkembang, semakin jelas terbukti kebenaran terhadap ayat-ayat Al-Quran yang selama ini menjadi rahsia. Lihat sahaja, berapa banyak fenomena alam yang dapat dikaitkan dengan ayat Al-Quran yang begitu selari dengan penemuan yang dikaji. Bukan itu sahaja, sains yang menyediakan ilmu dan fakta terbaru sebenarnya membantu kita dalam memahami ayat-ayat Al-Quran bagi memantapkan lagi keyakinan kita. Benarlah Al-Quran dan sains tidak dapat dipisahkan sementelah antara satunya ada hubung kaitnya. Tidak mustahil bagi mereka yang tidak beragama Islam mengakui kebenaran Al-Quran sekaligus memeluk agama suci ini apabila mereka membuka mata terhadap keselarian penemuan sains dan ayat Al-Quran. Malah, walaupun Al-Quran sudah diturunkan beribu-ribu tahun lamanya, masih tiada sesiapa yang mampu membuktikan kepalsuan Al-Quran dan tidak akan ada yang mampu. Antaranya adalah,  professor Tejatat Tejasen yang pernah menjadi dekan di Fakulti Perubatan di Universiti Chiang Mai.  

Secara konklusinya, umat Islam seharusnya berusaha untuk menguasai kedua-duanya, baik Al-Quran mahupun ilmu sains kerana perkaitan antara keduanya membantu kita dalam mengenal pencipta kita di samping mengakui keagunganNya. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna kita mengetepikan sunnah kerana baik Al-Quran mahupun sunnah tidak dapat dipisahkan dan akan terus menjadi sumber rujukan dalam Islam. Malah, sekiranya kita mampu menggabungkan antara ilmu naqli (revealed knowledge) yang berkaitan dengan Al-Quran dan sunnah bersama dengan ilmu aqli (acquired knowledge) yang melingkari mengenai ilmu sains, pasti tuntutan dakwah akan menjadi lebih berkesan dan meyakinkan apatah lagi sasaran dakwah tersebut merupakan yang bijak pandai. Maka, marilah kita bersama-sama dalam mendalami ilmu mengenai Al-Quran dan ilmu sains.

Sumber:Quran Saintifik by Dr Danial Zainal Abidin

Info Penulis

Nur Atikah Muda merupakan mahasiswi perubatan tahun 2 Universiti Kaherah. Artikel ini ditulis sempena Q-Week anjuran Biro Pembangunan Insan.


Banner



Jangan lupa sebarkan artikel ini kepada kenalan anda sekiranya ia bermanfaat:

You cant comments here. Please Login or Register.

Berita Hangat

Artikel Popular

Komen Terbaru