
‘Kau mahu aku belikan sebotol Pepsi?’
Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil menghela nafas kelelahan. Walaupun berjalan pada musim sejuk kurang memenatkan berbanding musim panas, namun mengelilingi Qal’ah[1] Salahuddin Al-Ayubi yang terletak bersebelahan dengan Bukit Muqattam mencabar fizikal mudaku. Rasa sengal-sengal mula menular di bahagian belakangku hingga ke bahu. Inilah bahana jarang melakukan aktiviti lasak semenjak melangkah ke alam pendidikan tertiary ini.
‘Kenapa? Kau tak minum minuman bergas kerana menjaga badan? Aku tahulah kau bakal doktor…’ ujar Salwa mengusik sambil tertawa mengekek. Barisan giginya yang putih dan tersusun rapi terpamer. Anak mata biru gadis Mesir kacukan Turki itu bersinar-sinar kegirangan, cahayanya mampu menikam hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Cantik.
Aku tersenyum hambar dengan lelah yang masih bersisa.
‘Aku bukan menjaga badanku, walaupun memang benar minuman bergas tidak bagus untuk kesihatan. Tapi apa yang lebih penting, aku mahu menyelamatkan nyawa ikhwah akhawatku yang tidak berdosa di Gaza.’
Ketawa panjangnya mati di situ. Keningnya diangkat sedikit menyatakan kehairanan. Mimik mukanya menuntut penjelasan dariku.
‘Maksud kau? Aku tak nampak apa kaitannya sebotol Pepsi sejuk yang kau teguk untuk menghilangkan dahaga dengan rakyat Palestin. Apa yang kau cuba sampaikan padaku?’
Aku tarik nafas dalam-dalam seakan mengumpul kekuatan. Mataku yang tertancap pada tampang tubuh Salwa kualihkan kepada sebuah menara jam antik dihadiahkan oleh Louis Philip, Raja Perancis kepada Muhammad Ali pada tahun 1945 yang terletak di sebelah barat perkarangan Masjid Muhammad Ali Pasha. Menara antik setinggi 84 meter itu benar-benar halus buatannya, mempunyai nilai estetika tersendiri pengaruh dari Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang hanya mampu ditafsir oleh ahlinya sahaja. Kanak-kanak kecil berkejaran mesra memintas kami yang berjalan lesu setapak demi setapak mencari kerusi panjang untuk melabuhkan punggung.
‘Ada kau terbaca di mana-mana fatwa terbaru Dr. Yusuf al-Qardhawi?
Khali, Salwa tidak mengucap sepatah kata. Tanpa berlengah aku menyambung bicara.
‘Dengan keadaan umat kini, kita wajib memboikot produk mana-mana pihak yang menjana kekuatan ekonomi rejim Zionis. Kau tahu, bahawa setiap satu geneh[2] yang dibelanjakan untuk membeli barangan Amerika boleh membiayai harga sebutir peluru untuk menembusi dada adik-adik kita di Palestin.’ Ada getar di hujung suaraku. Dadaku berombak sedikit kencang mengenangkan nasib saudara seislamku di Gaza. Rumah mereka, sekolah mereka, pejabat kerajaan mereka dan hospital mereka dibom dan dimusnahkan tanpa amaran. Bantuan yang ingin disalurkan disekat di sempadan. Bekalan elektrik dihentikan, mana mahu diambil sumber api untuk mencerahkan dan sumber tenaga untuk memanaskan tubuh setelah dijamah kesejukan angin musim Syita’[3]?
Hatiku seakan disiat-siat di setiap celahan, bermula dari pangkalnya tatkala aku menatap wajah-wajah anak kecil yang berlumuran darah, terburai segala isi perut dan kepala sedangkan mereka baru mengenal dunia, mereka tidak bersalah tetapi menjadi korban kekejaman tentera Zionis. Apa yang lebih menjengkelkan laman hati ini, apabila terdapat sesetengah pihak media yang memberikan laporan berat sebelah mengenai isu ini. Maka penyelewengan maklumat berlaku, masyarakat dunia tidak dapat menilai peristiwa ini melalui kaca mata keadilan dan kemanusiaan. Dan lebih menyedihkan lagi, umat Islam yang lain seolah-olah tidak ambil cakna dengan perjuangan rakyat Palestin. Sibuk dengan urusan berkitaran hidup peribadi yang tiada hujungnya. Siapa mahu kisah nasib umat ini?
Salwa berkalih badannya membelakangiku dan menghadap ke arah Masjid Muhammad Ali Pasha semula. Masjid yang direka oleh seorang arkitek Turki bernama Youssef Boshna mirip benar dengan Hagia Sophia di Turki, sebuah gereja yang telah ditukar menjadi masjid. Mungkin binaan masjid itu yang mempunyai pengaruh Kerajaan Byzantine membuatkannya terasa dekat benar dengan asal-usul keluarga sebelah bapanya yang berasal dari Turki. Riak mukanya keruh, seakan sedang mencongak sesuatu di dalam kepala. Aku tidak mempedulikan kabus di wajahnya, lantas terus memuntahkan segala isi hatiku.
‘Ini yang aku mampu untuk menolong mereka, dengan menghalang pengaliran 5 geneh wang milikku daripada membeli peluru-peluru yang menjadikan adik-adik seakidahku daripada menjadi yatim, menyelamatkan ibu-ibu yang beriman dengan Tuhan, Nabi dan Kitab yang sama denganku daripada menjadi janda. Aku ingin menjadi kader yang turut sama mengutip batu-batu bersama-sama anak Palestin untuk dilontar ke arah tentera tidak berhati perut Zionis, aku bercita-cita untuk sekurang-kurangnya berada di sana menghulurkan sepasang tanganku untuk menyeka juraian air mata para isteri syuhada’. Tapi Allah tidak memilihku untuk berada di sana. Tapi itu tak bermakna aku hanya perlu menggeleng kepala sehingga lenguh sambil mulut ini terus mencerca tapi anggotaku diam cuma. Aku perlu berbuat sesuatu sehabis daya mengikut kemampuanku seperti dalam firman Allah :
“Dan persiapkan (diri kamu dalam) menghadapi mereka (dengan) apa (sahaja) yang kamu mampu dari (bentuk-bentuk) kekuatan, dan dari kuda-kuda yang disiap siaga. Dengan (kekuatan) itu kamu menakutkan musuh Allah dan musuh kamu”
(Al-Anfaal:60)
Aku sudah lemas mendengar resolusi-resolusi dan perbincangan di Persidangan Pemimpin-Pemimpin Negara yang telah diputuskan tetapi tiada amalinya. Telinga ini sudah tuli mendengar slogan-slogan yang dilaungkan untuk mengatasi pergolakan ini tetapi usaha untuk mencapainya tiada.’ Segala butir bicara aku rasakan kelat setiap kali dilontarkan. Salwa tekun mendengar penjelasanku.
‘Aku tak faham mengapa kau beriya-iya bercakap soal perjuangan. Kau Melayu bukan? Kampung halamanmu Malaysia yang letaknya di gugusan Kepulauan Melayu di Asia Tenggara, agak terasing dari Tanah Arab ini. Apa yang kau sibuk-sibukkan? Bukankah negara kau sudah aman damai, rakyatnya hidup makmur saling menolong walaupun tanah airmu didiami masyarakat majmuk berbilang kaum. Negara kau punya segala, dari sumber mentah timah dan petroleum sehinggalah litar Sepang bertaraf antarabangsa kebanggaan dunia, jadi mengapa perlu kau sesakkan ruang fikirmu berfikir mengenai negara orang lain?’ duga Salwa sambil membetulkan selendang dua lapisnya yang dilabuhkan hingga menutupi dadanya. Angin semilir yang bertiup di tengah bulan Januari mengibarkan hujung selendangnya menambah keayuan wajahnya. Sejuk sekali, tatkala angin itu mengelus manja dan menyeluruhi pipiku, badanku menggigil. Menyesal pula tidak memakai jaket yang lebih tebal sebelum keluar tadi. Aku memeluk tubuh, mataku disorotkan ke arah sekumpulan pelancong berkulit putih dan sepet matanya yang sibuk bergambar di setiap penjuru, mereka barangkali dari Jepun atau Korea.
Aku melepaskan keluhan berat sambil kotak hatiku menyusun bait kata. Hingar-bingar dan hiruk-pikuk pekan Sayeda Aiesya dengan bunyi hon dari kenderaan bertalu-talu sedikit sebanyak menggugat kosentrasiku pada perbualan kami. Kota Kaherah yang terkenal dengan keramahan dan keaktifannya, seakan-akan tidak pernah kenal erti sunyi dan rehat hatta malam telah pun melabuhkan tirainya.
| < Prev | Next > |
|---|






Comments
pelik gak sbb kat thezik ade 3 part...
RSS feed for comments to this post