“Abang! Mari turun makan.”
Suara ibu kedengaran dari sudut dapur. Mustafa bergegas turun. Ditinggal sebentar komputer riba. Otaknya masih kusut. Persoalan itu masih menyimpul di hujung akal. Tak terungkai.
“Ibu buat karipap ni?” Seraya menyuap sebiji karipap ke mulut.

Ibu sekadar menyangguk, tekun menyiang ikan haruan di sinki.
Mustafa begitu bersungguh menghadap sajian kudapan ibu kali ini. Lepas kempunan mahu menjamah masakan ibu. Hampir seminggu berkampung di desa atuk. Rindu benar abang pada masakan ibu, tapi segar sentuhan atuk tempoh hari tetap berbekas.
“Kenapa dengan anak ibu hari ni? Kelat benar senyumnya?” Lekas ibu menangkap gundah hati anak remajanya.
“Ibu, salahkah menonton ceritera di layar?”
"Abang ada tanya atuk?" Ibu tidak terburu-buru menjawab.
"Kata atuk, menonton ceritera itu membunuh, tapi setahu abang tiada siapa yang mati hanya disebabkan menonton. Malah meriah ketawa dengan lucuan, bening sendu keharuan, cacamerba perasaan jadi mainan. Bukankah itu menghidupkan lagi insan?"
Kata atuk lagi, ceritera itu menjadikan manusia dibelenggu.
"Tapi, kata kawan abang, dengan menonton ceritera kita menjadi terbuka. Terbuka dengan teknologi moden ciptaan manusia. Begitukah ibu?"
"Abang rasa?" Giliran ibu pula bertanya.
"Bagi abang, menonton cerita membawa akal melihat dan menilai peribadi dan persepsi manusia. Realiti umat dunia."
Abang bercerita tiada sela. Dia mahu ibu memahami apa rasa hatinya.
"Kawan abang juga sepakat, kita kolot kalau ketinggalan mengikuti perkembangan ceritera di layar. Jumud katanya. Itu realiti hidup manusia. Mahu terbuka, mahu menguasai dunia harus mengikuti cerita-cerita manusia."
"Katanya juga, kita menonton ceritera bukan sekadar mahu menonton jalan cerita, tapi mahu mengutip ibrah. Untuk bersedia menghadapi kehidupan dunia. Yang buruk kita butakan mata, tapi ceduk yang baik perkasakan minda."
"Tapi, kadangkala semua itu realiti yang tiruan." Giliran ibu pula membayar kalam.
"Jadi, apa yang aslinya ibu?"
"Bergaullah dengan insan. Mereka guru berjalan. Pagi petang siang malam. Hujan panas, kota desa, sekolah pejabat, kebun belantara, di mana saja mereka ada. Malah semula jadi pula. Tidak perlu tulisan skrip sendu atau bahagia. Semuanya asli tiada lakonan, malah lebih terkesan."
Ibu tenang menyulam jawapan. Biar abang belajar menilai dengan bijaksana, bukan melulu sesuka hati hendaknya.
"Pungut segala pengalaman mereka, itu pedoman terus dari tuhan. Pilih antara mereka jadi yang setia. Abang akan belajar hakikat hidup yang lebih saksama." Ibu menambah.
"Tapi ibu, menonton itu merehatkan minda. Sukakan hati yang lara. Membuang tekanan jiwa. Membakar semangat waja. Abang rasa tiada salahnya ibu!"
"Itu bukan rehat minda namanya, tapi 'tawanan'."
"Tawanan?" Abang kehairanan.
"Apa yang ditawan, siapa menawan siapa?" Abang mahu kepastian.
"Akal ditawan nafsu. Jiwa jadi taruhan. Iman jadi banduan. Silap-silap mengheret aqidah tergugah tidak terlawan."
"Separah itukah ibu? Mustahil!" Abang masih mahu kepastian.
"Kalau tiada bendungan, itulah akibatnya!"Ibu bertegas. Bagi ibu abanh perlu belajar membina pendirian. Menapis kemahuan dengan akal dan hukum tuhan.
Suasana dapur khali seketika. Diam abang mencingcang lumat semua kalam ibu. Biar dia betul-betul hadam.
"Oh, begitu. Jadi ada rugi untungnya ibu. Jadi boleh atau tak ibu?"
"Kalau hendak sedap jamahan, apa yang ibu perlu buat dengan ikan haruan ni?" Soal ibu. Ibu tahu ikan haruan kegemaran abang.
"Pasti ibu siangkan ikan. Buang perut yang busuk. Buang insang yang jengkel. Dibasuh hanyir lendir. Direncam dengan garam, biar nyah hanyir kusam. Digoreng biar separa garing."
"Bahan rencahnya?" Makin rancak perbualan dua beranak itu mengisi waktu dhuha.
"Ditumis bawang biar semerbak harumnya. Halia, biji sawi dan jintan semestinya diapit bersama. Masam cuka bahan utamanya. Cili padi jadi sahabatnya. Garam pula pelengkap rasa."
"Ibu, apa jawapan untuk soalan abang tadi?" Abang masih menuntut jawapan. Dia mahu yang tepat, tiada biasan.
"Resepi masak cuka ikan haruan itulah jawapannya."
"Maksud ibu?"
"Jamahan makanan yang enak perlu sempurna asas rencah buatannya. Serasi rempah ratus pengapitnya. Sederhana api masakannya. Tepat agakan ukuran bahan-bahannya. Hidangan bukan untuk sekadar untuk sedap dijamah lidah, kenyang dikantung perut, tapi perlu juga jadi rawatan penyakit tubuh."
" Begitu juga dengan menonton ceritera di layar. Apa yang dijamah mata, seperti yang dijamah dan dikunyah mulut. Hidangan ceritera sepatutnya menjadi penawar tubuh dan jiwa. Bukan sekadar tontonan biasa." Lancar ibu menyusun kata.
"Semua indera tubuh membentuk jiwa. Buruk jamahan indera, buruk juga yang melekat pada jiwa. Makin hodoh juga apa yang menggumpal di akal kita."
"Maka, jika mahu menjamah, setelah melihat apa yang disajinya, jangan lupa lihat juga siapa penyajinya, cara penyediaannya."
Mustafa masih memasang telinga. Dia tidak mahu tercicir walau satu intipati kalam ibu. Kalam atuk tempoh hari juga perlu dihadam bersama.
"Semua itu perlu dipertimbangkan. Kalau makanan perut mahu yang lazat dan terbaik, mengapa tidak makanan minda dan jiwa tidak dijulang sama tingginya. Malah sepatutnya perlu lebih teliti pemilihannya." Ibu cuba menyibak mana yang kelam. Biar Mustafa tidak lemas tenggelam.
"Ianya jadi keperluan atau kehendak, Itu abang perlu nilaikan. Boleh atau tidak, biar iman dan akal yang sihat yang menghakiminya, abang."
Abang mengangguk-angguk. Hirupan kopi pekat ibu menyedapkan lagi jamahannya. Aroma kopi menusuk hidung. Menyegarkan. Sesegar mindanya dengan sajian ilmu daripada ibu hari ini.
"Terima kasih ibu, sedap kudapan ibu hari ini. Kenyang perut dan akal abang."
Mustafa tersenyum. Lapang kepalanya. Kudapan ibu membuka laluan. Resepi masak cuka ikan haruan beri jawapan. Lantas teringat Haris yang masih menantinya.
Lekas-lekas komputer ribanya dihadap semula.
Bertamu lagi di medan maya. Jemarinya pula tekun mengungkap kalam.
"Haris. Aku dah jumpa jawapan."
"Apa jawapannya?"
"Esok di sekolah, aku beritahu."
"Baik, esok di tempat biasa, aku mahu kau bongkarkan semua."
Info Penulis
Hani Izzati Yaakub merupakan pelajar perubatan Universiti al-Azhar. Aktif di blog beliau, Tinta Qubnani.
| < Prev | Next > |
|---|








