You are here: Cetusan Idea | Global | Catatan Revolusi & Bencana Alam Memugar Nilai Peradaban Yang Meranggas

Makluman

Kami telah berpindah ke PERUBATANonline v4!

Laman v3 ini secara rasminya telah diarkibkan sebagai bacaan rujukan sahaja.

 asdas

Catatan Revolusi & Bencana Alam Memugar Nilai Peradaban Yang Meranggas

E-mail Print PDF
dihantar oleh qubnani
User Rating: / 1
PoorBest 

Kemudi bahtera tahun 2011 membawa dunia meredah dua peristiwa besar dalam sejarah peradaban manusia. Ya. Revolusi kebangkitan rakyat Timur Tengah dan rakaman derita rakyat Jepun yang dibaham bencana alam.

Revolusi Mesir: Natijah Sebuah Sejarah

Catatan kaji selidik pihak Transparency International’s Corruption Perceptions Index telah meletakkan Mesir pada tangga 105 daripada 179 negara yang mengalami korupsi dalam pemerintahan. Hal ini menunjukkan, pentadbiran negara ini telah mengalami kepincangan sistem pentadbiran yang begitu parah. Kerosakan sistem negara Mesir yang berlaku tidak sahaja dilihat dari aspek korupsi pentadbiran negara yang membarah bahkan nilai budi dan tatasusila masyarakat rata-ratanya juga kian meranggas.

Tekanan yang dihadapi rakyat Mesir hampir 30 tahun umpama bom jangka yang akhirnya meledakkan kemarahan yang menatijahkan kejatuhan rejim Husni Mubarak serta transisi pentadbiran negara kepada pihak tentara. Mengambil rakyat Mesir sebagai model kebangkitan rakyat yang terbaru, menzahirkan pada dunia betapa kuasa dan suara rakyat bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng.

revolusi-mesir

Sejarah Revolusi: Formula Yang Berulang

Melewati peristiwa kebangkitan revolusi rakyat sekitar Timur Tengah yang berlaku baru-baru ini menuntut benak untuk kembali menelusuri sejarah peradaban manusia. Kejatuhan Ben Ali, Husni Mubarak serta pemimpin-pemimpin Timur Tengah seperti Libya dan Yaman yang nasib mereka sedang sengit dibicarakan di ‘mahkamah jalanan’ rakyat telah menambahkan lagi garis-garis pada wajah sejarah dunia.

Namun, jangan kita lupa, sesungguhnya pada kanvas sejarah Iran rupanya telah lama melakarkan revolusi rakyatnya mencarik kebobrokan pemimpin negara pada lewat tahun 1960-an dengan Revolusi Putih mereka. Jangan juga disembunyikan bahawa tahun 1979 menyaksikan Nacmettin Erbakan turut bangkit bersama rakyat merobek kejijikan pemerintahan di Turki. Mungkin juga perlu kita selak lembaran yang lebih terpencil, betapa Mac 1979 bumi Malta yang di tengah Laut Mediterranean sana turut menyaksikan peralihan kuasa pentadbirannya kepada dunia Arab. Memunggah semua takah-takah sejarah ini, tidak lain hanya untuk meletakkan satu deduksi bahawa formula catatan kesemua revolusi ini adalah sama. Mungkin catatan ini kelihatan seperti cuba mengagungkan keunggulan bangsa arab namun yang lebih penting, revolusi ini adalah kebangkitan yang terhasil daripada sinergi hakisan nilai peradaban manusia dan pencabulan hak manusiawi yang perlu diladeni.

Bencana Alam Jepun: Introspeksi Nilai Sebuah Tamadun Manusia

tsunami-japanJendela Mac 2011 kali ini membenarkan sekali lagi dunia menikmati pemandangan ‘petaka’ di negara yang dianggap sebagai ‘kiblat’ kemajuan teknologi dunia. Kenyamanan langit di beberapa bandar utama Jepun akhirnya hilang sekelip mata apabila gegaran berskala 8.9 bukan sahaja menyebabkan perubahan peta tanah Jepun bahkan mengubah titik paksi bumi hampir 10 sentimeter ke timur dunia.

Umumnya, Jepun dianggap antara negara maju di dunia apabila negara ini sepakat disenaraikan oleh tiga agensi besar dunia iaitu International Bank for Reconstruction and Development, International Monetary Fund (IMF) dan Central Intelligence Agency (CIA) yang sekaligus menjadikan negara ini berada dalam kelompok lapan negara termaju di dunia (lebih dikenali sebagai G-8).

Namun demikian, adakah ini nilai sebenar kemajuan sesebuah tamadun manusia? Jika inilah nilaiannya, maka saksikanlah fenomena alam kali ini barangkali bakal meranapkan sekali lagi tamadun penduduk Jepun sebagaimana yang pernah berlaku pada catatan pedih Hiroshima dan Nagasaki pada 1945 dahulu. Benar, masyarakat Jepun bingkas bangun menjadi komuniti yang begitu dihormati selepas peristiwa hitam ini. Namun begitu, di sebalik kemajuan material yang mereka kecapi, di sana terselit krisis nilai manusiawi yang begitu meruncing.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jepun mempunyai kes bunuh diri kedua terbesar di kalangan Kumpulan Lapan (G8) selepas Russia. Berdasarkan kajian pada tahun 2008 oleh pihak Agensi Polis Nasional, sebanyak 33,093 kes bunuh diri di Jepun pada 2007 yang merupakan rekod kedua terbesar selepas 34,427 kejadian pada 2003. Rata-ratanya, asbab utama kes berlaku adalah sebahagian besarnya kerana hutang, masalah keluarga, kemurungan dan isu kesihatan.

Tuntasnya, catatan fakta ini telah membuka lembaran muhasabah pada penduduk dunia bahawa betapa erti sebenar kemajuan negara tidak terletak pada kemajuan fizikal semata. Lantaran itu, kejadian bencana alam kali ini barangkali satu peringatan yang baik untuk seluruh masyarakat mengambil iktibar daripadanya.

Meniti Erti Peradaban Manusia dan Fenomena Alam

Kamus persuratan mencatatkan takrif peradaban manusia itu mencakupi nilai-nilai kemajuan intelek, jasmani dan rohani sesebuah masyarakat manusia. Manakala, pengertian manusia disifatkan sebagai makhluk yang berakal budi.

Bangsa Yunani menyebutkan manusia sebagai homo luden (makhluk yang suka bermain), homo fiber (makhluk pekerja), homo symbolicum(makhluk yang selalu menggunakan simbol) dan animal rational (haiwan yang berfikir). Mereneh istilah-istilah ini, maka dapatlah diperhatikan bahawa manusia secara semula jadi dinobatkan sebagai makhluk yang memiliki identiti rahsia dan tersendiri yang pastinya dipengaruhi oleh sistem tertentu yang membentuk jati diri mereka.

Islam pula memperihalkan eksistensi dan jati diri manusia secara lumat pda nilai erti hidup sebelum dan sesudah mati. Manusia dinisbahkan sebagai sebaik-baik ciptaan pada catatan lembaran Al-Quran [95:4-6]. Di sana turut disentuh juga perihal tugasan manusia untuk pengabdian diri kepada penciptanya [51:56] dan disempurnakan pula dengan fungsi khalifah [2:30] yang wujud seganding dengan penciptaan manusia.

Sesungguhnya, kehadiran manusia dan fungsinya di atas muka bumi ini dianggap tidak sempurna jika tidak di depankan dengan hamparan fenomena alam semesta.

"Dialah Tuhan yang menciptakan apa yang di bumi seluruhnya untuk kepentingan kamu…"
(Al-Baqarah 2:29)

Dalil tersebut menunjukkan, kewujudan alam bukan sahaja menjadi salah satu keperluan kelansungan hidup manusia, malah turut menjadi dimensi berfikir bagi mereka yang mengambil ibrah dari kejadian seantero alam. Tidak dapat tidak, hubungan manusia dan alam akhirnya membawa kepada bukti kekuasaan yang menciptakan keduanya iaitu Allah SWT.

Namun, sebagai umat nasut yang bertuhan maka diletakkan padanya hak-hak yang perlu ditunaikan bagi menyantuni tujuan penciptaannya. Pelaksanaan tuntutan hak-hak inilah yang menarik manusia ke ruangan adab atau etika-etika yang mengharmonikan hubungan manusia dengan tuhannya, insan di sekelilingnya serta alam yang meliputinya.

Ibrah Peristiwa: Mengekstrak Konsep Adab

Kedua-dua peristiwa besar yang disebut sebelum ini menjalin erat persoalan adab manusia dalam menyantuni penciptaan mereka serta pembalasan Allah SWT kepada golongan yang membelakangkan titah perintahNya.

Iman yang membumi dalam diri seorang muslim hakikatnya perlu menerima dan yakin bahwa alam sejagat perlu tunduk patuh pada ketetapan-ketetapan tuhan buat mereka. Cukuplah peristiwa tersebut, untuk kita kembali menghalusi nilai-nilai adab manusiawi untuk kembali meluruskan langkah perjalanan hidup sebagai seorang hamba. Syed Naquib Al-Attas memberi pandangan betapa semua permasalahan manusia hari ini adalah berpunca daripada masalah kehilangan adab dalam menjalani sistem hidup.

Kepincangan sistem hidup manusia dari sudut pentadbiran sesebuah negara sehinggalah kepada sistem pembinaan dan pengurusan karakter individu akhirnya dipusatkan kepada punca dasar masalah iaitu bertitik tolak daripada masalah ilmu di mana berlaku kekeliruan dan kesilapan persepi dalam memahami ilmu. Kekeliruan ini akhirnya menghasilkan apa yang dijelaskan oleh Prof. Syed Naquib sebagai masalah kehilangan adab sebagai "kegagalan seseorang dalam mengenali dan memahami ilmu sehingga meletakkan sesuatu perkara tersebut di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghasilkan ketidak adilan kepada diri dan masyarakat."

Jelaslah di sini, bahawa pembinaan identiti diri individu manusia yang kukuh harus dijalin dua elemen penting iaitu ilmu dan adab. Ilmu menjadi saluran mencerahkan kegelapan jahiliah dan kemunduran. Manakala, adab menjadi pelengkap kemudi ilmu seseorang mencapai kesempurnaan amalan dan kepercayaan.

Solusi Permasalahan Umat

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
(Surah ar-Ruum, 30: 41)

one-ummahSesungguhnya, pedoman Al-Quran telah mengingatkan bahawa kerosakan di muka bumi itu berpunca daripada kebiadaban manusia itu sendiri dalam menyantuni nikmat yang dikurniakan Allah SWT buat mereka.

Maka, tiada lain jalan pintas penyelesaian, selain manusia kembali kepada fitrah hamba iaitu melakukan ketaatan dengan memugar kembali nilai-nilai hamba pada setiap inci kehidupan.

Menyedari status sebagai pelajar , maka laksanakan amanah untuk menjadi seorang mubtadi yang penuh rasa tanggungjawab pada horizon ilmu yang diceburi. Jangan cemari kesucian anda sebagai insan yang telah diangkat darjat begitu tinggi dalam agama.

Saksikanlah di medan ilmu juga Allah SWT memuliakan kita dengan sebaik-baiknya. Gelaran-gelaran umpama "al-Raasikhun fil Ilm" (Ali Imran: 7), "Ulul al-Ilmi" (Ali Imran: 18), "Ulul al Bab" (Ali Imran: 190), "al-Basir" dan "as-Sami'" (Hud: 24), "al-'Alimun" (al-'Ankabut: 43), "al-Ulama" (Fatir: 28), "al-Ahya'" (Fatir: 35) sudah cukup menjadi inspirasi buat kita untuk tidak mengkhianati tugas kita di medan ini.

Pendeknya, pada takhta seorang pelajar, cabang ilmu yang diceburi sekarang merupakan harta abstrak titipan Allah SWT kepada kita sebagai tiket untuk membawa kemajuan tamadun manusia kelak yang bergerak pada landasan fungsi sebenar manusia diciptakan. Oleh itu, jika bukan kita sebagai pendokong amanah ilmu yang memelihara tatasusila serta etika sebenar hidup muslim, maka kepada siapa lagi harus amanah ini diletakkan?

Tuntasnya, solusi permasalahan umat hari ini bermula daripada kita. Ayuh! Binalah kearifan ilmu pada puncak yang tertinggi, jalinkan bersamanya kemuliaan akhlak Islami. Kelak, di persada dunia dan pentas akhirat pasti terpateri catatan kegemilangan generasi Khairu Ummat!

KAMUS DEWAN EDISI KEEMPAT
memugar: 1. memperbaiki atau memperelok semula, membaharui, memulihkan: indahnya konon kota negeri, sekaliannya baru dipugari
meranggas: 1. gugur daunnya: pohon-pohon yg sedang subur menghijau tiba-tiba layu ~; 2. luruh bulu (buahnya): ayam ~

Info Penulis

Hani 'Izzati Yaakub merupakan pelajar perubatan Universiti al-Azhar. Beliau memegang jawatan Timbalan Pengarah PERUBATAN Frontliners Council (PROF) 2011. Aktif menulis di blog beliau, Tinta Qubnani. Artikel ini telah disiarkan dalam The Zikr bertarikh 27 Mac 2011.


Banner



Jangan lupa sebarkan artikel ini kepada kenalan anda sekiranya ia bermanfaat:

You cant comments here. Please Login or Register.

Berita Hangat

Artikel Popular

Komen Terbaru