Ucapan takziah saya panjatkan terhadap kematian arwah Nurul Iman binti Abdul Alim, mahasiswi tahun 3 Universiti Iskandariah atas pemergiaannya baru-baru ini ke alam yang kekal abadi, iaitu akhirat. Moga-moga Allah cucuri rahmat atas permergiaannya ini.
Saya menyeru, agar seluruh mahasiswa/mahasiswi PERUBATAN melihat kematian arwah baru-baru ini dari sudut yang pelbagai. Allah memberi khabar kematian ini untuk kita simpulkan dalam beberapa tujuan yang seharusnya kita koreksi.

Allah itu Maha Kasih Sayang
Allah itu Maha Penyayang dengan hambanya. Masakan tidak, diberi peringatan kepada kita berkenaan kematian dari bentuk yang pelbagai dan berulang-ulang. Tidak cukup dengan kisah kematian kaum-kaum yang ingkar kepada Allah dalam bentuk kematian yang tidak enak untuk kita dengar di dalam Al-Quran, ditambah lagi dengan contoh dan realiti yang berlaku di suasana sekitar kita.
Kadang-kadang kita terdengar sahabat kita punyai saudara mara yang ditimpa musibah dengan kematian. Mungkin datuk mereka, mungkin nenek mereka atau siapa-siapa yang tiada ikatan dengan kita. Mungkin kita anggap remeh, kerana sekadar sahabat kita yang menimpa kematian itu.
Kita mungkin masih tidak sedar, buat endah tidak endah dan tidak ambil iktibar. Paling habis, mungkin ambil berat kita ini hanya sekadar menghulur derma bagi ringankan beban.
Tapi antara sedar dan tidak sedar, itulah tanda Allah Yang Maha Penyayang yang sentiasa beri peringatan kepada kita.
Wal iayazubbilah, tiba-tiba, mungkin kita terdengar pula satu hari nanti sahabat kita yang terdekat, malahan mungkin ahli satu rumah meninggal dunia. Apa reaksi kita?
Aik, tadi baru jumpa kat bilik, la ni dah takda?
Tadi senyum elok ja depan komputer, sekarang ni dah pergi.
Seharusnya kita ingat, jangan kita tertipu dengan badan yang sihat, sebab Allah tak pernah letak syarat mati itu sakit. Dan jangan kita tertipu dengan umur yang muda, sebab Allah tak pernah sebut syarat mati itu tua.
Seharusnya kita andaikan, checklist yang ada pada Malaikat Maut pada hari ini mungkin adalah giliran jemputan kepada sahabat kita untuk lebih awal untuk bertemu tuhan. Dan pernahkah kita terfikir, mungkin dalam checklist tersebut, kita adalah giliran seterusnya?
Soalnya, bersedia atau tidak?
Bijaknya Kita Pada Mengenal End Of the End
Apabila kita mengingati mati, kita akan sedar, sesungguhnya setiap langkah kita, setiap nafas kita, setiap kelipan mata kita, setiap degupan jantung kita harus disandarkan dengan kematian. Pernahkah kita cuba walau sekali, untuk kita letakkan dalam setiap amal perbuatan kita itu disandarkan dengan KEMATIAN?
Cuba timbulkan persoalan ini dalam hati.
Seandainya aku pergi buat maksiat sekarang ini, aku sediakah andai aku tiba-tiba mati?
Seandainya aku sedang bersuka ria bercampur gaul lelaki wanita sekarang ini, aku sediakah andai aku tiba-tiba mati?
Seandainya aku sedang leka main game, berFB, tengok movie sekarang ini, aku sediakah untuk mati?
Mana pergi amal ibadatku? Mana pergi ketaatanku? Mana pergi amalan farduku sebagai bekal?
Maka dari situ, kita akan kenal dan nilai setiap tindakan kita adalah satu, iaitu BERMATLAMAT DAN BERTUJUAN dengan apa yang hanya diredahai Allah sebagai tujuan hidup, dan membuang anasir luar yang tidak diperlukan untuk menjadi seorang yang TERBAIK dalam pertemuan dengan Tuhan.
Itulah perkenalan kita dengan END of The End, iaitu AKHIRAT.
Matlamat Apa?
Sebagai hamba, sebagai khalifah Allah di muka bumi, dan sebagai pengajak dan penyeru kepada kebaikan. Semua ini di atas satu tujuan, iaitu memohon redha Allah dan memperoleh rahmat agar beroleh syurga di akhirat kelak insyaAllah seperti yang disebut berulang kali di dalam ayat Al-Quran.
Tetapi di peringkat kita sebagai mahasiswa PERUBATAN, ingin saya sarankan dalam bentuk yang lebih praktikal iaitu:
- Belajar dan menuntut ilmu itu niat kerana Allah untuk membuahkan kesungguhan dan mujahadah yang berkekalan
- Bergerak dalam kesatuan PERUBATAN kerana muslim itu teguh dalam satu tembok kesatuan yang utuh dalam membawa agenda kefahaman Islam kepada seluruh ahli. Pada masa yang sama, kita meraikan semua golongan dalam PERUBATAN dalam tuntutan syariat yang Allah tetapkan
- Amar Makruf dan Nahi Mungkar supaya ahli PERUBATAN dalam landasan kebaikan dan jauh dari kejahatan.
Kita yakin, seandainya ahli PERUBATAN faham konsep kematian, ahli PERUBATAN adalah mahasiswa/i yang bijak kerana kalian mampu mengarahkan tindakan kalian dalam apa yang Allah mahukan dan redhai, di dalam wadah PERUBATAN yang kita sayangi.
InsyaAllah, kita harapkan agar hasrat dan semangat menuntut ilmu yang diterbitkan oleh arwah untuk tidak terpadam dengan permergiannya. Kita andaikan bahawasanya kitalah penyambung hasrat arwah dalam perjuangan membawa kefahaman pengajian yang kita dokong, agar terlaksana cita-cita arwah dan kita semua, untuk bergelar doktor muslim yang mengenal hadaf dan tujuan akhirat, dan semestinya ITULAH DOKTOR YANG TERBIJAK.
Nukilan,
Syafiq bin Hamdani
Ketua Biro Penerbitan & Penerangan PERUBATAN
Info Penulis
Syafiq Hamdani merupakan mahasiswa Universiti Kaherah. Beliau telah memegang jawatan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan sejak sesi 2008/2009/2010 kemudian diteruskan dalam sesi 2010/2011.
| < Prev | Next > |
|---|








