You are here: Cetusan Idea | Minda Pimpinan | Ramadhan: Satu Program

Ramadhan: Satu Program

E-mail Print PDF
dihantar oleh Hamra
Rating: / 1
InferiorSuperior 

Sedari kecil, kita, ummat Melayu sudah diajar berpuasa. Hebatnya anak-anak kecil kita, puasa itu sudah menjadi lumrah hatta dalam kalangan budak-budak berumur 6 tahun! Masuknya bulan Ramadhan, atau kecil-kecil dahulu dikenali hanya sebagai "Bulan Puasa", menandakan hampirnya kita kepada musim "lapar-dahaga-penat".

Hampirnya juga kepada "Bulan Puasa" menandakan hampirnya kita kepada kemeriahan juadah berbuka puasa, bangun "super-awal" untuk sahur, kuih raya, hari raya dan duit raya!

Kalau di waktu kecil-kecil dahulu, gejala yang berlaku dalam kalangan kita adalah, mak ayah akan memberi galakan kita berpuasa di Bulan Ramadhan. "Upah" duit raya dijadikan umpan. Kata-kata seperti, "Adik kan lelaki, kena lah puasa penuh, baru lah kuat!" atau "Sehari adik puasa, mak upah seringgit." atau "kalau adik puasa penuh hari ni, abah belanja KFC untuk berbuka," turut dijadikan umpan.

Tapi itu dahulu, zaman kita kecil-kecil dahulu. Namun, adakah gejala ini masih lagi berlaku dalam kalangan kita yang sudah akil baligh dan dewasa ini?

Alah bisa tegal biasa. Makin berumur, kita tidak lagi memerlukan "umpan" sekecil duit raya dan "berbuka dengan KFC" untuk berpuasa. Tetapi, adakah kita mempunyai satu pandangan baru terhadap Bulan Ramadhan? Atau kita masih seperti kecil-kecil dahulu, Bulan Lapar-Dahaga-Penat?

BULAN PUASA vs BULAN RAMADHAN

Malangnya, puasa sudah menjadi satu tabiat dalam masyarakat kita. Akhirnya, Bulan Ramadhan Al-Mubarak sering dijadikan sekadar bulan lapar dahaga, dan bulan untuk bangun sahur dan menunggu waktu berbuka.

Menjadikan Bulan PUASA itu satu tabiat amatlah berbahaya, kerana ia bakal mengaburi keistimewaan Bulan RAMADHAN yang mulia dan penuh barakah itu. Sudah tentulah, pemberian nama Bulan Puasa itu adalah satu mis-nomer, kerana bulan Ramadhan bukanlah semudah menahan lapar dan dahaga, tetapi jauh lebih istimewa dari itu.

Kalau Bulan Ramadhan itu bukan sekadar tabiat, apakah itu Bulan Ramadhan?

BULAN RAMADHAN SATU PROGRAM, BUKAN TABIAT

Ya! Bulan Ramadhan adalah satu program.

Tapi, apa beza tabiat dan program?

Tabiat adalah perbuatan yang diulang-ulang menjadi satu kebiasaan, sehingga ianya dibuat secara separa sedar atau tak sedar.

Manakala program pula adalah aktiviti-aktiviti yang disusun dan tersusun. Mempunyai matlamat yang jelas, dan peserta program itu melakukan aktiviti tersebut secara sedar untuk mencapai matlamat.

Maka, jika dahulu, puasa adalah satu tabiat dan kebiasaan, tiada yang istimewa, sekarang, jadikan Ramadhan itu satu program.

KERTAS KERJA PROGRAM RAMADHAN

Mari kita teliti "Draf Kertas Kerja" Program Ramadhan kita.

Nama Program : Ramadhan Al-Mubaarak

Anjuran : Allah 'Azza wa Jalla

Sasaran : Muslimeen & Muslimaat, fokus untuk diri sendiri

Tarikh : 1-30 Ramadhan

Follow-up : Bermula 1 Syawal sehingga 1 Ramadhan tahun berikutnya

Tempat : Di mana-mana sahaja, lebih di Masjid, kurang di katil.

Hala Tuju & Gol : Taqwa & Keampunan Allah sepanjang tahun

Fasa Program : Fasa 1 (Panas Badan) - Mendapat Rahmat dari Allah

Fasa 2 - Mendapat pengampunan dari ALlah

Fasa 3 (Klimaks) - Mengejar Lailatul Qadr dan pelepasan dari neraka Allah

Aktiviti :

  1. Puasa - bukan sahaja menahan dari lapar dan dahaga, juga menahan dari maksiat dan perkara lagho.
  2. Membaca Al-Quran - dinamakan juga Bulan Ramadhan, Bulan Al-Quran. Bulan diturunkan Al-Quran. Tidak cukup sekadar membaca, tetapi menghayati dan tadabbur.
  3. Solat Sunat Tarawih
  4. Pencarian Lailatul Qadr - di sepuluh malam terakhir.
  5. Qiyamullail
  6. Iktikaf
  7. Peningkatan amal soleh - Amalan fardhu digandakan pahala 70 kali ganda, dan amalan sunat diberikan pahal fardhu.
  8. Banyakkan berdoa - Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, mafhumnya: salah satu golongan yang mustajab doanya, mereka yang berpuasa sehingga dia berbuka.
  9. Zakat Fitrah - Penyucian harta dan jiwa

Kelebihan Program : Pahala berlipat kali ganda, rahmat dan keampunan dari Allah, pelepasan dari api neraka, kesihatan rohani dan jasmani.

Struktur Organisasi

Pengarah Program : Diri sendiri

AJK Pelaksana : Diri sendiri

Peserta : Diri sendiri

Key Performance Indicator

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat ke 183 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa.


Taqwa : Kesan taqwa → Iman → Akhlak → Muamalat sesama manusia → Kualiti hidup, kebahagiaan, ketenangan jiwa → Mutu kerja

Keampunan : Kesan keampunan Allah → Iman → Ketenangan jiwa → Keberkatan rezeki → Syurga Allah

Dan apa yang istimewanya program Ramadhan Al-Mubarak ini adalah, 'blueprint' atau rangka asas program ini sudah pun tersedia. Siapa yang sediakan? Allah telah sediakan blueprint Program Ramadhan kita, melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.. Kita hanya melaksanakannya sahaja.

Kan untung begitu?

KESIMPULAN

Sebagai seorang Muslim Mukmin, perlu kita terapkan dalam pemikiran kita, bahawa kita sentiasa inginkan keuntungan. Keuntungan apa? Keuntungan di Hari Akhirat kelak.

Ramadhan merupakan satu anugerah Allah kepada Ummat Islam. Ramadhan adalah satu program, bukan satu tabiat. Maka rancanglah Program Ramadhan Al-Mubarak anda sendiri. Laksanakanlah perancangan yang telah digariskan, dan rasailah hasil Program Ramadhan Al-Mubarak anda. InsyaAllah.

Selamat beramal dan selamat berjaya!

ibrahimyahaya

Info Penulis

Ahmad Ibrahim Yahaya, Timbalan Presiden I PERUBATAN sesi 2011/12, merupakan pelajar tahun 4 Universiti Kaherah bagi sesi akademik yang lalu. Beliau aktif menukilkan nasihat dan mencoret pandangan beliau di laman blogspotnya, A.I.Y


Banner



Jangan lupa sebarkan artikel ini kepada kenalan anda sekiranya ia bermanfaat:

Bacaan Lain Dari Kategori IniPopular Sepanjang Zaman

Comments  

 
# noornajihah 2011-08-02 15:43 mungkin ada ralat sikit...tp instead of ayat 138 surah Al-Baqarah,bukan ke ayat 183 ke?wallahualam.. Quote
 
 
# Hamra 2011-08-03 00:58 checked and edited. my bad, jazakillah kheir :) Quote
 
 
# noornajihah 2011-08-03 14:33 sama2:) Quote
 

Add comment

Comments from guests will be moderated. If you're PERUBATAN member, please Register to disable Captcha recognition and use full function of Comment. Thanks!


Security code
Refresh