Who's Online
Related
Menangani Maklumbalas Dengan Berkesan
Written by Muhammad Hafiz Adam Azlan Friday, 01 January 2010 00:00
Antara salah satu kemahiran yang perlu dipelajari adalah "Kemahiran Menangani Maklumbalas (Feedback) Daripada Manusia di Sekeliling".
Terdapat 3 Maklumbalas asas dalam kehidupan:
- Pujian
- Kritikan
- Kutukan
PUJIAN
Seperti dalam ilustrasi di atas, kita selalunya mengelak daripada menerima Pujian dengan mengeluarkan respon yang negatif. Sedangkan Pujian sifatnya adalah positif dan perlu diterima dengan baik.
Mengeluarkan respon negatif seolah-olah kita menerima hadiah, kemudian membuang hadiah tersebut ke dalam longkang. Kenapa tidak kita menerima Pujian tersebut, tersenyum dan mengucapkan "Terima kasih"?
Nota: Sila bezakan Pujian dan Mujaan.
KRITIKAN
Kritikan adalah sesuatu yang sangat penting. Walaupun ianya bersifat negatif, tapi Kritikan adalah sangat membina. Jika ditangani dengan baik, ia mampu meningkatkan prestasi diri, kerja atau program. Pujian mungkin membuatkan anda merasa bagus, tapi Kritikan bakal membuatkan anda menjadi lebih bagus.
Kadang-kadang kita sebagai AJK Pelaksana atau Exco lebih tahu dari Tukang Kritik, malah kadang-kadang Kritikan yang diberikan langsung tidak masuk akal. Maka selalunya kita akan memberikan respon yang negatif untuk mempertahankan diri kita dan menganggap Kritikan yang diberikan adalah salah sama sekali.
Tapi sebenarnya, respon yang terbaik adalah dengan mengucapkan "Terima Kasih" kerana sudi mengkritik, kemudian berfikir:
"Bagaimana kita boleh menjadikan Kritikan ini sebagai penambah baik dalam gerak kerja kita?"
Sebagai contoh, sekiranya ahli mengkritik bilangan peserta Seminar yang sedikit; cuma 200 orang, maka AJK Pelaksana perlu mencatat Kritikan ini untuk dibawa kepada Seminar seterusnya agar AJK Pelaksana pada tahun hadapan boleh bersiap sedia menyediakan tempat yang lebih luas agar tiada lagi Kritikan bilangan peserta yang sedikit.
KUTUKAN
Kutukan adalah sesuatu yang bersifat negatif, tapi ianya tidak membina dan selalunya bertujuan menjatuhkan seseorang.
Sekiranya anda menerima maklumbalas Kutukan, maka biarkan ia berlalu pergi umpama mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Adalah sia-sia menjadikan Kutukan sebagai penilai diri sendiri. Kadang-kadang Kutukan itu benar, tapi sia-sia untuk dipegang. Memang benar anda tidak comel, tapi ianya bukan alasan untuk tidak berkahwin.
*****
Malangnya ramai manusia terbalik. Biasanya mereka berpegang dengan Kutukan, tidak ingin menerima Kritikan dan membuang Pujian yang diterima.
Sebaliknya, jika anda belajar menerima dan menjadikan Pujian sebagai motivasi, menggunakan Kritikan untuk meningkatkan prestasi, dan membuang jauh Kutukan, anda boleh menjadi seorang yang cemerlang dalam apa jua pekerjaan.
Salam kecemerlangan daripada saya, sempena Tahun Baru 2010. Mari menjadikan tahun ini lebih cemerlang daripada tahun lepas.
=)
Sumber:
Diterjemah, diolah dan ditulis semula daripada Dr Anthony Fernando
Jangan lupa sebarkan artikel ini kepada kenalan anda sekiranya ia bermanfaat:
| < Prev | Next > |
|---|




