
Bismillahirrahmaanirraheem
Alhamdulillahi wassolaatu wassalaamu 'ala Rasulillah.
Alhamdulillah, bagi sebahagian ahli PERUBATAN, peperiksaan tengah tahun atau akhir semester telah pun tamat. Bagi sebahagian yang lain, masih belum bermula. Bagi kakak dan abang-abang 'super-senior' tahun akhir pula, segala-galanya berkaitan 'pelajar medik' sudah pun selesai, hanya menunggu graduasi dan waktu pulang ke tanah air meneruskan perjuangan. Tahniah diucapkan.
Tamatnya semester pertama bagi tahun ini menandakan bermulanya cuti musim sejuk. Pastinya, ramai yang sudah bertebaran ke segenap pelusuk dunia menjelajah mengutip pengalaman. Tidak kurang juga yang pulang ke bumi Malaysia. Tapi, ramai lagi mereka yang tidak ke mana-mana atau tidak tahu hendak ke mana sepanjang cuti dua minggu ini.
Ingat pesan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
Dua perkara yang kebanyakan manusia melalaikannya, (iaitu) waktu sihat dan masa lapang.
Untuk itu, PERUBATAN telah merancang pelbagai aktiviti bermanfaat untuk para ahli. Anda semua tidak perlu risau jika tidak ke mana-mana dalam cuti kali ini. Walau tidak ke mana, masa tetap boleh bahkan perlu dimanfaatkan sebaiknya.
IsyaAllah, berikut merupakan program-program PERUBATAN sepanjang dua minggu cuti ini:
- Jaulah Sinai (LEXUS) : Bermula dari 27 Januari sehingga 31 Januari
- Jaulah Bahriya (BEST) : Bermula dari 30 januari sehingga 1 Februari
- PERUBATAN Winter Carnival (PWtC) 2012
Kelainan yang kita bawa pada tahun ini adalah pada konsep program berbentuk karnival yang terdiri daripada Hari Keluarga, Seminar Perubatan Islam, dan Hari Terbuka.
PERUBATAN menjemput anda semua untuk 'berkampung' selama 4 hari, bermula dengan Hari Keluarga pada 3 Januari 2012 bertempat di Padang Kuliah Perubatan Al-Azhar (Hayyu Sadis) bagi lelaki, dan Nadi Abbasiyyah (berdekatan DMAK) bagi perempuan. Kami menjemput semua ahli memeriahkan Hari Keluarga ini, bersama-sama bersukan, bermain outdoor & indoor games, dan berukhuwwah, kerana kita adalah sekeluarga!
Hari kedua dan ketiga, 4 dan 5 Februari, merupakan Hari Seminar PERUBATAN Kali ke-4. Seminar kali ini merupakan kesinambungan 3 seminar yang PERUBATAN telah anjurkan sebelum ini, kali ini, bertemakan Perubatan Islam. Hadiah buat para ahli, kali ini kita menampilkan 3 orang doktor pakar lagi berpengalaman dari tanah air, dibawakan khas untuk bertemu anak-anak di bumi Mesir ini.
Hari terakhir pula, iaitu 6 Februari, buat pertama kalinya PERUBATAN menganjurkan program terbuka untuk seluruh komuniti Malaysia di bumi Mesir, pelajar atau bukan pelajar, bidang Sains Kesihatan mahupun Pengajian Agama, dari Kaherah mahupun segenap muhafazah di bumi Mesir. Hari Terbuka ini adalah TERBUKA untuk semua!
InsyaAllah, kita akan mengadakan pemeriksaan kesihatan besar-besaran, termasuk pemeriksaan pergigian, booth-booth kesihatan, siri ceramah-ceramah kesihatan pelbagai topik sepanjang hari, bazar, dan akhir sekali ditutup dengan sebuah forum mahasiswa pada malam harinya dengan menampilkan tokoh-tokoh 3 penjuru, dari mahasiswa Perubatan, dari mahasiswa Pengajian Agama, dan dari tokoh profesional tanah air.
Hari Terbuka bakal berlangsung di Dataran Hayyu Asyir dengan kerjasama Rumah-rumah Negeri sekitarnya, iaitu Selangor, Kedah, Terengganu dan Pahang, insyaAllah.
Roadshow PERUBATAN
Dua hari selepas PWtC, para doktor pakar yang kita bawakan khas dari Malaysia, bakal 'turun padang' menemui para ahli di empat Cawangan; Zagazig, Tanta, Mansurah dan Iskandariah.
Jadualnya adalah seperti berikut;
- 7 Februari - Tanta & Zagazig
- 8 Februari - Mansurah & Iskandariah
Syamail Muhammadiyyah
Memandangkan WEB tidak dapat dijalankan kerana Syeikh Rohimuddin pulang ke Indonesia, BPI tampil dengan menganjurkan Daurah Kitab yang bakal mengetengahkan tajuk yang amat sesuai dalam bulan ini iaitu tentang junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, Syamail Muhammadiyyah.
Program daurah selama 2 hari ini bakal menampilkan penceramah yang tidak asing lagi di bumi Mesir ini, Ustaz Nazrul Nasir, diadakan pada 7 & 8 Februari, khusus untuk warga Kaherah sahaja.
PERUBATAN menjemput semua ahli untuk menyertai segala aktiviti yang bakal dianjurkan.
Jom kita meriahkan cuti musim sejuk kita dengan program jaulah, ukhuwwah, ilmiah, dan rohani dengan semangat cintakan Rasulullah SAW.
Nantikan iklan-iklan dan makluman terkini program dari semasa ke semasa melalui laman web Perubatan Online atau facebook mediaPERUBATAN.
Jangan lupa temujanji kita ya. Jumpa di sana!
At-Taqwa, Asy-Syifa', Ar-Rahmah
Ilmuan Berbakti Teguh Sehati

Ahmad Ibrahim Bin Yahaya
Timbalan Presiden 1
merangkap
Ketua Panitia Perancang
PERUBATAN 2011/2012
| < Prev | Next > |
|---|







