Abbasiyah, 31 Julai – Majlis solat jenazah telah diadakan di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK) untuk saudari Fatin Fasihah binti Hanafi, mahasiswi tahun 2 perubatan Universiti Kaherah yang telah kembali ke rahmatullah setelah koma 20 hari di unit rawatan rapi Hospital Kasr el-Ainy.
Majlis serba ringkas yang bermula selepas selesai solat terawih secara berjemaah itu dibanjiri para pelajar terdiri dari jurusan perubatan dan agama sehingga memenuhi surau DMAK. Turut hadir ialah bapa Allahyarham Fatin sendiri, En Hanafi bin Muhammad; TYT Duta Dato’ Dr Fakhrudin bin Abdul Mukti; Pengarah JPMK, Assoc. Prof Dr. Hj. Su’aidi bin Dato’ Hj. Safei; Setiausaha Pertama JPA, En Hazam bin Hajanan dan beberapa pegawai lain dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Barisan kepimpinan PERUBATAN turut tidak ketinggalan untuk bersama-sama dalam majlis tersebut.

Arwah dilaporkan telah meninggal dunia sekitar jam 10 malam 30 Julai tetapi telah berlaku masalah komunikasi sehingga menyebabkan ahli keluarga dimaklumkan pada petang 31 Julai iaitu selepas 12 jam arwah meninggal. Perbincangan antara keluarga arwah diwakili pihak kedutaan Malaysia dengan pihak hospital sedang dijalankan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Majlis berjalan dengan lancar dan sejurus selepas disembahyangkan, jenazah terus dibawa ke tanah perkuburan di Hayyu Asyir diatas permintaan keluarga Allahyarham agar dipercepatkan urusan pengebumian.
| < Prev | Next > |
|---|







