PERUBATANonline v4.14

Switch to desktop Register Login

Perutusan Ramadan: رمضان شهر العمل وليس شهر الكسل

Rate this item
(0 votes)

logo perubatan

Bagi pihak Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh umat Islam. Bulan kita dijemput menjadi tetamu Allah SWT, menyahut seruan Allah SWT dengan firmanNya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah ayat 183)

Di bulan yang mulia ini, kita dihidangkan oleh Allah SWT dengan rezeki makanan rohani dan jasmani, yang menyuburkan kehidupan kita di alam dunia dan akhirat, bukan sahaja amalan puasa yang diwajibkan, bahkan pahala yang dilipat kali ganda, diampunkan segala dosa sekiranya puasa kita ditunaikan dengan sempurna, dihidangkan juga ibadah wajib yang tersedia ada dengan dilipat gandakan pahalanya, dan ibadat-ibadat sunat yang biasa dan yang dikhususkan dalam bulan Ramadan, seperti solat sunat Tarawih, semua ini adalah untuk membersihkan roh dan menguatkan rohani kita.

Kita juga dihidangkan makanan jasmani yang berbentuk sahur dan iftar, dan pada makanan ini mengandungi keberkatan yang tersendiri. Inilah ibadat yang sangat berharga, yang merupakan hadiah daripada Allah SWT yang wajib kita menerima dan menghargainya.

Kemuncak kepada ibadah ini sekiranya dilaksanakan sebaik-baiknya ialah apabila kita mencapai tujuan yang dinyatakan Allah SWT iaitu sifat Taqwa sehingga sifat ini membentuk peribadi kita, yang menjadi penentuan martabat dan harga diri manusia. Sesungguhnya Allah SWT tidak meletakkan harga diri manusia pada warna kulit, harta dan keturunan akan tetapi pada darjat ketaqwaan.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat ayat 13)

Ramadan adalah sebuah medan latih tubi Spiritual bagi mendidik dan melatih ummah khususnya dikalangan anak muda agar lahir generasi yang beriman dan bertaqwa.

Ibadat puasa meningkatkan ketaqwaan, dengan meninggalkan perkara-perkara yang halal pada satu tempoh tertentu, pastinya akan melatih kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang sememangnya haram selama-lamanya hingga akhirnya kita mampu dan sanggup melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh keimanan dan percaya kepada janji Allah SWT. Inilah yang menjadi natijah yang terpenting dalam lapangan latihan Ramadan ini.

Terlebih layak bagi kita semua, selaku mahasiswa Islam, yang masih sihat tubuh badan, usia masih muda seharusnya berusaha mengejar ketaqwaan ini sementara peluang ini hanya sekali dalam tempoh setahun.

Selain menjalani ibadah puasa di bulan mulia ini, setiap daripada kita mesti berikhtiar secara serius untuk meningkatkan prestasi pengabdian diri kepada Allah SWT dengan menambah koleksi ibadah khusus, justeru ia adalah asas kekuatan jiwa bagi seorang mahasiswa sebelum ia mendepani cabaran dan halangan sukar ketika berdepan dengan masyarakat kelak.

Pada bulan ini juga Allah SWT memilih berlaku beberapa peristiwa-peristiwa penting seperti al-Quran diturunkan kepada kita, yang menjadi kitab petunjuk, memisahkan antara perkara yang benar dan batil.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah ayat 185)

Oleh kerana berlakunya pertembungan antara hak dan batil, maka Allah SWT terus memilih Ramadan untuk berlakunya peperangan Badar. Berdepan dengan musuh-musuh Islam yang menegakkan kebatilan walaupun mereka tahu Rasulullah SAW membawa ajaran yang benar namun mereka menyanggahnya hingga memaksa berlakunya penentangan secara bersenjata. Mereka yang menentang itu terdiri daripada bangsa arab sendiri, maka berlaku peristiwa ini, yang menguji umat Islam ketika itu untuk berdepan dengan kaum kerabat mereka sendiri, bagi meninggikan agama Allah SWT melebihi kepentingan keluarga mereka hingga akhirnya mereka mendapat anugerah daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam hadis Qudsi:

يا أهل بدر اعملوا ما شئتم فقد غفرت لكم

“Hai ahli Badar, buat apa yang kamu mahu lakukan. Aku ampunkan dosa-dosa kamu”

Ramadan menyaksikan berlakunya pelbagai peristiwa kemenangan. Maka seharusnya kita perlulah mencari dan menghayati segala kelebihan yang dikurniakan Allah SWT sempena Ramadan al-Mubarak ini terutama penghayatan Ruuhul Jihad sehingga semangat Jihad Fi Sabilillah menjadi sebati dalam jiwa kita sebagai seorang pemuda yang menjadi perisai ummah.

Peluang menjalani kehidupan dalam suasana pengabdian diri kepada Allah SWT seperti di bulan mulia ini memudahkan kita mencapai prestasi tertinggi sebagai hamba yang taat dan bertaqwa. Mereka yang taat dan bertaqwa mempunyai kedudukan yang hampir dengan Allah SWT. Sementara kedudukannya yang hampir itu membuatkan doanya mustajab dan munajatnya maqbul.

Doa dan munajat yang mustajab serta maqbul ini adalah antara senjata yang paling berkesan untuk dibawa ke tengah medan kerja terutama apabila berdepan dengan masyarakat yang pelbagai ragam dan perangainya. Sementelah pula berdepan dengan musuh Islam disaat kita telah kehabisan daya dan upaya juga di saat kehilangan taktik dan teknik serta kehabisan strategi untuk diaplikasi.

Islam yang kita dukung hari ini sangat memerlukan pemuda yang hebat dan mantap spiritual disamping memiliki kekuatan peribadi dan ketinggian akhlak. Masyarakat memerlukan pemuda yang memiliki penghayatan yang sempurna terhadap tasawwur amal Islami.

Moga-moga Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik dalam hidup kita. Beramallah sehabis baik sebagai tanda syukur kerana telah sampai sekali lagi Ramadan kepada kita. Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak. Semoga kita direstui Allah SWT. Selamat berpuasa. Ramadan Kareem.

"Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati"
"at-Taqwa, as-Syifa, ar-Rahmah"

ARIF RUKAINI pres

MOHAMAD 'ARIF RUKAINI BIN MOHAMED SUFIAN
Presiden,
PERUBATAN 2014/2015

 

dihantar oleh HanisahNaspu

Add comment

Comments from guests will be moderated. If you're PERUBATAN member, please Register to disable Captcha recognition and use full function of Comment. Thanks!


Security code
Refresh

Hakcipta Terpelihara ©2007-2014 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version