PERUBATANonline v4.14

Switch to desktop Register Login

Ucaptama Presiden PERUBATAN 2014/2015

Rate this item
(0 votes)

logo perubatan

Alhamdulillah Wassyukrulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat & nikmat-Nya, dengan izin & kurnia-Nya, dengan iradah & inayah-Nya, serta dengan taufiq & hidayah-Nya, kita telah diberi peluang untuk sama-sama berada di dalam dewan yang serba indah ini bagi menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-11. Selawat & Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, tokoh agung yang telah membawa rahmat kepada sekalian alam, penghulu bagi ummat yang cukup bertuah ini; atas segala usaha gigih Baginda dalam menyebarkan risalah Islam sehingga ia sampai kepada kita pada hari ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan ummat Baginda yang mendapat syafaat daripada Baginda pada hari Akhirat kelak.

Yang berbahagia, saudara Muhammad Shahir bin Mohd Nadzir, Ketua Lembaga Penasihat PERUBATAN sesi 2014/2015, serta seluruh ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN sesi 2014/2015;

Yang dihormati, barisan ahli MAJLIS TERTINGGI PERUBATAN, Pengerusi PERUBATAN Cawangan AJKT PERUBATAN Cawangan;

Yang berusaha, saudara Muhammad Murshid bin Abdul Halim, Pengarah MAT PERUBATAN Kali Ke-11 serta seluruh eksekutif pelaksana MAT-11;

Seterusnya, hadirin hadirat, ikhwah akhawat, sidang perwakilan dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.

Buat pertamanya, saya ingin mengucapkan Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum dan selamat datang kepada seluruh perwakilan MAT-11 yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, idea dan wang genih bagi menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjadi sebahagian daripada penyambung mata rantai perjuangan PERUBATAN pada hari ini.

Harum sungguh bunga kemboja,
Bunga karangan cantik tersemat,
Janganlah membaca kulit sahaja,
Telitilah kandungan sehingga tamat

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَن ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. Ayat 28 surah al-Kahfi.

Sidang perwakilan siswa dan siswi sekalian.

Seawal tahun 1973 lagi bumi Mesir telah menerima kehadiran pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan. Rombongan pertama yang hadir merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Kemudian penghantaran di bawah tajaan JPA ini dihentikan pada awal dekad 80-an.

Kemudian sekitar tahun 2000, pihak penaja kembali meneruskan penghantaran pelajar-pelajar baru ke bumi Mesir lalu memberi ilham kepada para pelajar perubatan Malaysia yang sedia ada di Mesir untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa penaja yang dikenali sebagai Jawatankuasa Kecil Sambutan Pelajar-Pelajar Baru bagi memudahkan serta melicinkan urusan sambutan pelajar-pelajar baru ini.

Idea penubuhan jawatankuasa ini disokong sepenuhnya oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) pada ketika itu, Allahyarham Ustaz Wan bakar bin Wan Dagang. Jawatankuasa sementara ini telah dipengerusikan oleh saudara Ahmad Taqiuddin bin Zakaria dan dibantu oleh beberapa orang pelajar yang lain.

Dengan kekuatan seramai 14 orang, jawatankuasa kecil ini mula bermesyuarat bagi memilih individu-individu bagi mengisi portfolio yang ada. Jawatankuasa ini kemudiannya sebulat suara bersetuju untuk mengubah nama yang sedia ada kepada Jawatankuasa Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir atau dikenali sebagai JAKSAP. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh saudara Ahmad Taqiuddin bin Zakaria dan dibantu oleh timbalan beliau, saudari Farah Yasmin binti Mohd. Jais.

Bertitik tolak daripada penubuhan jawatankuasa inilah maka tertubuhnya Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir dengan ringkasannya PERUBATAN pada tahun 2003, yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan segala hal berkaitan pelajar pelajar perubatan yang kian bertambah bilangannya.

Alhamdulillah setelah memasuki tahun ke 13 ini, PERUBATAN telah melalui pelbagai kisah dan cabaran dalam menyampaikan baktinya kepada mahasiswa di tanah ini. Biar pun sejarah pernah mencatatkan perjalanan suka dan duka kita, namun semua ini merupakan putaran roda yang mematangkan lagi PERUBATAN itu sendiri. Sehingga pada hari ini kita sudah mempunyai 7 PERUBATAN Cawangan, yang mampu berkolabrasi dalam setiap gerak kerja yang memberikan impak positif kepada seluruh mahasiswa yang ada di bumi Mesir ini. Kesungguhan ahli di setiap PERUBATAN Cawangan, yang ikhlas dalam menyumbang merupakan aset paling istimewa yang pernah PERUBATAN miliki.

Sidang perwakilan siswa dan siswi sekalian.

Penubuhan Majlis Tertinggi PERUBATAN sudah memasuki tahun kedua usianya. Sistem yang dibawa pada era baru PERUBATAN ini menggariskan beberapa kepentingan dan objektif yang mahu dicapai. Sebagai sebuah entiti yang bertanggungjawab memandu PERUBATAN agar berpaksi pada dasarnya, pelbagai penambahbaikan dilakukan pada sesi ini. Setiap perbincangan berkaitan hal ehwal seluruh cawangan maka ia dapat diperhalusi dalam perbincangan bersama MTP. Aspek penyelarasan sama ada dari sudut gerak kerja, nama unit, penggunaan logo menjadi fokus pada sesi ini bagi mewujudkan rasa kebersamaan dalam satu keluarga PERUBATAN tanpa dipecahkan dengan sentimen entiti-entiti kecil atau bersifat cawangan.

Di sahara kita bersama
Bawa harapan nusa dan bangsa
Ummu dunia medan kita
PERUBATAN keluarga kita

Alhamdulillah pada sesi ini, cadangan dan harapan yang sering kali dilontarkan oleh ahli PERUBATAN sebelum ini, suatu cita-cita daripada PERUBATAN sendiri agar lagu PERUBATAN diwujudkan, akhirnya pada MAT kali ke 11 ini kita berjaya lancarkannya. Satu lagi helaian sejarah yang mewarnai perjalanan PERUBATAN berjaya dilakarkan. Tahniah dan terima kasih buat semua ahli dan terutamanya Krew Lagu PERUBATAN yang telah berjaya menghasilkan lagu ini.

Sebagai badan yang menjadi pimpinan tertinggi PERUBATAN, MTP sentiasa memberikan kerjasama terbaik bersama penaung PERUBATAN iaitu Education Malaysia Egypt (EME) demi kebaikan ahli PERUBATAN khususnya. Sejak awal sesi lagi, isu berkaitan akademik menjadi perbincangan bersama dua pihak. Isu fail pelajar atau gerak kerja yang dikenali sebagai Ops Pemutihan dan pendaftaran pelajar turut diutarakan demi memastikan keselesaan ahli dalam menjadi penuntut sains kesihatan di bumi anbiya ini. Kemudian MTP juga memberikan komitmen yang penuh dalam membantu pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan EME dalam menerima dan menyambut kedatangan pelajar baru ke bumi Mesir ini dengan menggunakan sistem pendaftaran atas talian yang telah diperkenalkan pada tahun lepas. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada barisan Pengerusi dan AJKT PERUBATAN Cawangan yang menjalinkan hubungan baik bersama pihak universiti masing-masing bagi melancarkan lagi hubungan antara PERUBATAN, Universiti dan pihak EME.

MTP juga pada sesi ini memberikan kerjasama yang baik bersama persatuan pelajar di beberapa buah negara sama ada dari Russia, India, dan Jordan. Pelbagai buah fikiran yang telah dilontarkan dalam setiap perbincangan bagi memastikan segala manfaat yang ada dapat dikongsikan bersama. Selain itu, di awal sesi ini, PERUBATAN bersama 11 persatuan pelajar di luar negara telah bersama-sama merancang untuk mengadakan persidangan bersama pelajar Malaysia di luar negara sebagai satu ruang untuk membincangkan dan mengulas tentang isu berkaitan polisi di Malaysia. Gerak kerja ini dilihat sebagai salah satu usaha bagi meletakkan kedudukan mahasiswa di bumi Mesir setanding dengan mahasiswa di negara lain.

Sidang perwakilan siswa dan siswi sekalian.

Peranan kebajikan yang dibawa oleh PERUBATAN sejak awal penubuhannya terus digalas oleh generasi kini. Di awal sesi kita menyaksikan beberapa perkara yang menimpa sahabat-sahabat kita seperti kemalangan yang berlaku di Iskandariah dan Zagazig. Semangat kesatuan yang ada dalam kalangan ahli, melalui medium Taakhi Cawangan khususnya, pelbagai isu kebajikan dapat kita sama-sama atasi. Kutipan derma yang dilancarkan, Konsert Malam Amal PERUBATAN, aktiviti penerangan isu seperti Malam Ekspresi Kemanusiaan, jualan barangan dan produk PEACE, semua ini merupakan gerak kerja bersifat kebajikan yang dibawa oleh PERUBATAN demi memastikan isu yang berlaku sama ada isu yang berkaitan ahli PERUBATAN khususnya, mahasiswa Mesir secara amnya, atau pun penduduk Malaysia seperti mangsa banjir dan isu umat Islam yang melanda di Negara yang berkaitan dapat dikongsi bersama.

Biarpun kebajikan tidak dijadikan agenda tahunan PERUBATAN pada sesi ini, namun kita telah berjaya membuktikan, bahawa gerak kerja kebajikan bukan fokus tahunan, akan tetapi kebajikan itu sendiri mencerminkan perjalanan PERUBATAN dalam meniti usianya. Semangat, kesatuan dan kerjasama daripada seluruh ahli merupakan faktor terpenting dalam usaha menggerakkan PERUBATAN sebagai entiti yang memberi fokus kepada kebajikan mahasiswa di sini.

 Sidang perwakilan siswa dan siswi sekalian.

Cerana kesumba indah melati,
Cantik tersemat dambaan puteri,
Ilmu ditimba sepenuh hati,
Kekuatan umat minda bestari.

Dalam membawa agenda Akademik pada sesi ini, pelbagai rangka gerak kerja dan aktiviti sama ada berskala kecil dan besar telah disusun dan diselaraskan melalui Jabatan Akademik bagi mencapai tujuan ini. Agenda ini tidak akan tercapai sekiranya tiada kerjasama yang diberikan melalui PERUBATAN Cawangan. Perlaksanaan program yang bertujuan menambai baik kualiti mahasiswa sains kesihatan di Mesir telah dilaksanakan. Bagi sesi ini, pembaharuan program juga telah berlaku dengan perlaksanaan program khusus untuk pelajar pergigian iaitu ASNAN ‘14. Bertemakan “INCREDIBLE DENTAL JOURNEY” program yang bertempat di Kuala Terengganu ini membuktikan PERUBATAN menumpukan perhatian kepada semua jurusan secara samarata.

Dalam masa yang sama PERUBATAN juga sedang memberi fokus juga kepada permasalahan yang timbul dalam urusan akreditasi farmasi. Gerak kerja semasa yang diketuai oleh JCAD telah merangka dan melakukan pelbagai tindakan dan mendokumentasikan pelbagai butiran maklumat berkaitan isu ini. Alhamdulillah perkara ini telah dibawa oleh PERUBATAN ke peringkat Education Malaysia Egypt dan Lembaga Farmasi Malaysia (LFM) dengan harapan agar solusi dapat dicapai demi kemaslahatan graduan dan pelajar farmasi yang masih berada di bumi Mesir ini.

Bumi Mesir sebenarnya telah melahirkan graduan Sains Kesihatan yang kompeten di Tanah Air. Gerak kerja PERUBATAN yang telah berlaku pada sesi ini telah menemukan beberapa orang graduan sama ada graduan 70-an atau pada sekitar 2010 dan ternyata sebenarnya bumi Mesir mampu melahirkan professional yang hebat dalam dunia Sains Kesihatan di Tanah Air. Terdapat dalam kalangan graduan ini yang menjadi Ketua Pengarah Hospital, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan seumpama dengannya. Hakikatnya bumi Mesir merupakan kilang yang terbesar dalam melahirkan graduan sains kesihatan di Tanah air. Maka harapan dan cita-cita agenda akademik yang dibawa PERUBATAN bukan sahaja cemerlang akademik di alam mahasiswa ini akan tetapi mampu menatijahkan ilmuwan yang mampu memberi jasa pada tanah air terutamanya dalam aspek dunia sains kesihatan. Sebagai persatuan yang menaungi pelajar Sains Kesihatan di sini, kita telah mengadakan Seminar PERUBATAN BITARA yang meletakkan kerjaya masa hadapan sebagai asas dalam seminar pada tahun ini dengan memandu ahli PERUBATAN untuk merancang perjalanan kerjaya mereka kelak di Tanah Air. Pastinya seminar ini memberi input yang mantap kepada seluruh ahli yang menyertainya

Sidang perwakilan siswa dan siswi sekalian.

Hendak belayar ke Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Agenda kesatuan, merupakan agenda dengan prioriti teratas yang telah diletakkan dalam PERUBATAN. Hal ini atas kesedaran bahawa, impian memastikan wujudnya kesatuan dalam kalangan warga Malaysia di Mesir, adalah akar umbi kepada penubuhan PERUBATAN sendiri. Sesi ini menyaksikan satu pembaharuan dalam mengukuhkan lagi jaringan kesatuan dalam kalangan ahli PERUBATAN dengan mewujudkan sistem Taakhi Cawangan. Sistem yang dibahagikan kepada 3 Zon ini sedikit sebanyak melebarkan lagi jaringan hubungan ukhuwah islamiah dalam kalangan ahli merentasi Cawangan. Sistem yang diwujudkan ini cuba diaplikasikan dalam setiap gerak kerja dan aktiviti PERUBATAN seperti PERUBATAN Sports Day, RISE, Unity Through Taakhi (UNITE) agar kewujudan sistem ini benar-benar dirasai dan dapat diteruskan untuk sesi yang mendatang.

Hakikatnya kewujudan sistem ini atas kesedaran bahawa bilangan graduan sains kesihatan semakin meningkat saban tahun. PERUBATAN melihat begitu pentingnya untuk mewujudkan hubungan antara sesama ahli sejak di alam mahasiswa lagi. Selain mengadakan perkongsian bersama Cawangan Taakhi, kesatuan dalam kalangan mahasiswa sains kesihatan melalui hubungan taakhi dilihat sebagai satu peluang sebelum ahli bergelar graduan. Tahniah buat ahli PERUBATAN yang telah memanfaatkan sistem ini dalam usaha berkenalan, bantu membantu dan ziarah menziarahi ahli di cawangan yang lain. Sistem sudah ada, tinggal lagi bagaimana ahli ingin memanfaatkan lagi hubungan bersama cawangan dalam mewujudkan jaringan yang lebih luas yang pastinya akan memberi manfaat dalam jangka masa pendek dan panjang.

Jikalau tuan mengangkat peti,
Tolong masukkan segala barang;
Jikalau anak-anak bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang 

Sidang perwakilan siswa dan siswi sekalian.

Seharusnya masa yang ada selama 5 hingga 6 tahun berada di bumi Mesir, ahli PERUBATAN perlu membina identiti mahasiswa dari timur tengah. Mempunyai jati diri tersendiri, terkehadapan dalam isu fikah perubatan misalnya, semua ini sebenarnya merupakan satu identiti cuba diusahakan oleh PERUBATAN dalam mencetak professional sains kesihatan yang Rabbani. Maka dari aspek ilmu tambahan, kewujudan Unit Fiqh Perubatan di setiap cawangan dilihat sebagai satu kejayaan awal dalam memastikan perjalanan unit fiqh perubatan di setiap cawangan dapat bergerak seimbang dan selari.

Penetapan hari Smart Circle bagi setiap cawangan juga merupakan batu asas dalam menyediakan peluang dan ruang kepada ahli untuk meletakkan fokus utama dalam kehidupan seharian iaitu menjalankan SC. Semestinya ia menjadi satu perkara yang serius apabila setiap perancang takwim cawangan menyediakan hari khusus bagi setiap ahli berkumpul dalam kelompok kecil bagi menjalankan SC masing-masing.

Kita akui bahawa masih terdapat kelemahan dalam memperkasakan fikah perubatan dan smart circle dalam kalangan ahli. Namun kita berharap dengan mewujudkan batu asas di setiap cawangan, maka sedikit sebanyak ia membantu pimpinan akan datang untuk memperkasakan lagi gerak kerja dalam menjayakan pembawaan pembangunan insan itu sendiri.

Selain itu, bagi merealisasikan visi “PERUBATAN sebagai medium untuk membentuk mahasiwa-mahasiswi profesional yang memiliki minda kelas pertama”, MTP melalui Agenda Profesionalisme juga telah memperbaiki mutu gerak kerja terutamanya yang melibatkan pengurusan dan hubungan bersama pihak luar. Sistem dokumentasi gerak kerja dan program, urusan rasmi bersama pihak berwajib, urusan surat menyurat telah diperbaiki sistemnya dalam memastikan ahli PERUBATAN yang bekerja dalam PERUBATAN dapat melaksanakan gerak kerja yang setaraf dengan piawaian yang telah digariskan bagi sesuatu perkara.

MTP bersama AJKT juga dilatih dalam memberi pendapat dan mengulas isu yang berlaku terutamanya isu sekitar Mesir. MTP pernah menyuarakan pendapat dalam isu setempat kepada pihak berwajib dalam saluran yang betul dan professional demi memastikan mesej yang ingin dibawa itu sampai dan perkara ini diterima dengan baik.

Penutup.

Menjadi orang yang beriman merupakan satu kewajipan sebagai seorang muslim. Tuntutan untuk beriman akan menatijahkan ganjaran di hari akhirat kelak. Orang mukmin itu bekerja bukan sekadar kerja biasa, mereka akan tekad melakukan gerak kerja dengan terbaik dan sempurna. Mereka memikirkan kesannya dalam jangka masa panjang sama ada pada masa hadapan atau di akhirat kelak.

Slogan “bekerja dengan PERUBATAN, bekerja untuk Islam” bukan lagi satu omongan kosong, ia merupakan satu realiti yang harus kita semua sedari. PERUBATAN bukan semata-mata sebuah persatuan yang bersifat teknikal yang hanya melatih para ahlinya untuk menjadi cemerlang dalam aspek keduniaan semata-mata, malah, segala perkara yang kita lakukan tatkala bekerja bersama PERUBATAN ini adalah satu bentuk tarbiah buat kita semua selaku pendokong Islam. Para ahli telah diberi peluang untuk menggunakan pelbagai medium yang ada dalam PERUBATAN seperti akademik, multimedia, sukan, ekonomi, kebajikan dan lain-lain lagi bagi melakukan anjakan paradigma demi memastikan Dakwah Islamiah iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Selain meletakkan matlamat menuju redha Allah, impian PERUBATAN untuk melahirkan ahli yang mempunyai nilai tambah yang akan dicurahkan di tanah air merupakan suatu cita-cita yang perlu dilaksanakan. Professional sains kesihatan yang mempunyai jati diri tersendiri ketika berbakti. Mereka ini yang pernah dilatih dalam PERUBATAN untuk menjadi aset penting di tanah air. Impian ini bukanlah boleh dicapai dalam tempoh setahun dua. Ia memakan belasan bahkan puluhan tahun lamanya.

وَقُلِ اعْمَلُواْ فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): bekerjalah kamu! Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. Ayat 105 surah at-Taubah.

Buat akhirnya, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PERUBATAN ingin memohon jutaan kemaafan daripada semua ahli PERUBATAN seluruh Mesir atas segala kesilapan yang telah kami lakukan sepanjang berada di posisi ini. Kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah menyokong dan mendokong gerak kerja PERUBATAN selama ini sama ada secara langsung, separa langsung ataupun di belakang tabir. Sesungguhnya, sokongan kalian semua merupakan tonggak dan tunjang kepada kesinampbungan PERUBATAN pada masa hadapan. Semoga segala komitmen, penat lelah dan jerit perih yang dihadapi oleh kalian sepanjang melaksanakan gerak kerja Islam melalui wasilah PERUBATAN ini akan diambilkira oleh Allah S.W.T sebagai satu bentuk amal soleh yang boleh dijadikan saham sebagai bekalan kepada kita di akhirat kelak seandainya kita ikhlas dalam melaksanakannya.

Sebelum saya mengundur diri, sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada seluruh barisan MTP dan AJKT PERUBATAN sesi 2014/2015 atas sumbangan kalian yang cukup membanggakan. Juga tidak dilupakan kepada semua bakal pimpinan PERUBATAN sesi 2015/2016, semoga kalian terus thabat berada di atas landasan ini untuk terus menggalas amanah bagi memacu PERUBATAN ke arah yang lebih terkehadapan.

Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini;
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Sekian, Seeru ‘Ala Barakatillah! Selamat bersidang!

PERUBATAN BITARA, ILMUWAN BERJASA

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

ARIF RUKAINI pres

Muhammad 'Arif Rukaini bin Muhamad Sufian
Presiden,
PERUBATAN 2014/2015

 

dihantar oleh AinNabila

Add comment

Comments from guests will be moderated. If you're PERUBATAN member, please Register to disable Captcha recognition and use full function of Comment. Thanks!


Security code
Refresh

Hakcipta Terpelihara ©2007-2014 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version