PERUBATANonline v4.14

Switch to desktop Register Login

Ucapan Dasar Presiden PERUBATAN 2015/2016

Rate this item
(0 votes)

logo perubatan

PERUBATAN WADAH INTEGRASI

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

1.   Terima kasih saudara Pengerusi Sidang. Yang Berbahagia ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN, Ahli-ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN yang baharu juga yang lama dan seluruh pimpinan PERUBATAN Cawangan. Yang berusaha, saudara Muhammad Murshid bin Abdul Halim, Pengarah Jawatankuasa Mesyuarat Agung Tahunan (JMAT) Kali Ke-11 dan seluruh jawatankuasa pelaksana. Yang dikasihi sahabat-sahabat Perwakilan dan Pemerhati yang hadir dari seluruh pelusuk Mesir.

 LEBIH SEDEKAD PENUBUHAN, SEKILAS PANDANG

2.   Berkumpul kita pada hari ini di bumi Kaherah buat ke sekian kalinya. Satu tempat yang tidak asing lagi. Lebih sedekad yang lepas, PERUBATAN bermula dengan hanyalah sebuah Jawatankuasa Kecil Sambutan Pelajar-Pelajar Baharu. Dalam tempoh tersebut kita berkembang pesat, daripada Jawatankuasa Sambutan Pelajar-Pelajar Baharu, ditubuhkan Jawatankuasa Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir (JAKSAP). Jawatankuasa ini kemudiannya berubah menjadi Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir dan pada tempoh inilah nama PERUBATAN mula tercatat di bumi Mesir ini. Kebajikan menjadi asas dalam pergerakan PERUBATAN sewaktu itu. Tujuan kebajikan tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membantu seluruh sahabat-sahabat, rakan sebaya yang hadir menuntut ilmu di bumi Mesir. Tanpa mengira siapa pun empunya badan, dari mana datangnya si fulan, keluarga mana yang mendidiknya, kebajikan akan tetap sama sama kita hulurkan selari dengan Firman Allah:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ

Maksudnya: dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa (Surah al-Maidah: 2)

إِنَّ الْأَبْرَارَ لَفِي نَعِيم

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada dalam syurga yang penuh kenikmatan (Surah al-Infitar: 13)

Dan hadis Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah dia berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam telah bersabda: “Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat.”

3.   Tahun demi tahun PERUBATAN berkembang, kebajikan yang menjadi asas dalam pergerakan PERUBATAN diserikan lagi dengan program-program pembangunan ahli. Daripada sekecil-kecil aktiviti, seperti kelas tafaqquh fi ad din, sehinggalah ke program mega di Mesir dan Malaysia seperti Seminar PERUBATAN dan program khidmat masyarakat. Kesemuanya dengan niat untuk meningkatkan potensi yang ada dalam kalangan ahli keluarga kita, keluarga PERUBATAN.

4.   Lebih 10 tahun PERUBATAN bergerak, sesuai dengan waktu mesyuarat yang bertujuan untuk menyelaraskan kefahaman dalam gerak kerja, sudah tiba masa kita mengukuhkan kembali matlamat. Pada MAT-09 yang lepas, usul untuk menggubal Visi dan Misi PERUBATAN telah diluluskan. Tujuan visi adalah untuk memandu seluruh pimpinan, ahli, unit-unit mahupun jabatan, gerak kerja, program dan aktiviti PERUBATAN yang serba pelbagai ke arah satu tujuan. Selepas meneliti sejarah PERUBATAN, agenda-agenda PERUBATAN pada sesi yang lepas, suara-suara dari peringkat cawangan, maka pada MAT-11 ini, saya umumkan Visi PERUBATAN:

“PERUBATAN Sebagai Wadah Integrasi dalam Membentuk Profesional Sains Kesihatan yang Rabbani dan Kompeten”

5.   Wadah bermaksud medan untuk melakukan atau menyampaikan sesuatu. Integrasi bermaksud pelbagai perkara berpadu di bawah satu perkara dengan harmoni, begitulah PERUBATAN yang syumul mengumpulkan semua ahli merentas muhafazah, pelbagai biro dan jabatan di bawahnya. Kepelbagaian ini bertujuan untuk meraikan minat ahli. Mengasah bakat yang sedia ada. Yang lemah dibantu yang kuat. Yang kuat mengajar kepakaran kepada yang memerlukan. Akademik, Pembangunan Insan, Kesatuan, Profesionalisme, semuanya dipadukan bersama bagi melahirkan sebuah sinergi yang saling melengkapi antara satu sama lain.

Profesional Sains kesihatan merupakan insan yang terlibat dalam profesion sains kesihatan yakni Farmasi, Pergigian dan Perubatan.

Rabbani membawa erti ketuhanan. Hujung kehidupan manusia ialah kematian. Tujuan kehidupan manusia ialah pengabdian diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Kompeten bermaksud cekap dan mahir dengan bidang yang diceburi.

Secara tuntas, di saat graduasi, pada akhir waktu kita menamatkan hayat selaku ahli PERUBATAN, PERUBATAN mampu melahirkan seorang Profesional Sains Kesihatan yang menundukkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan betul-betul pakar dalam bidangnya.

Bagi menyokong visi di atas, 4 Misi telah digariskan.

MISI KESATUAN: MEMPERERAT UKHUWAH ISLAMIAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT PERUBATAN


Jika kita singkap tabir sirah Anbia’ Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam menyatukan Muhajirin dan Ansar. Ini menjadi bukti bahawa elemen kesatuan adalah tunjang utama pembentukan sebuah organisasi.

PERUBATAN diasaskan dengan persahabatan dan persahabatanlah yang perlu kita pelihara, kita jalinkan dan eratkan bersama. Bermula dari sekecil-kecil peringkat batch sehinggalah merentas cawangan.

Sistem taakhi, Program PERUBATAN dan jawatankuasa program menjadi wasilah bagi memupuk persahabatan dalam kalangan ahli. Maka gunakanlah peluang ini sebaiknya. Janganlah apabila pergi program, menjadi jawatankuasa, sekadar pergi, sekadar bekerja, tetapi berkenal-kenalanlah dan jalinkan hubungan persahabatan bersama kita. Persahabatan yang ikhlas ialah manifestasi kemanisan iman.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

 Maksudnya: Daripada Anas bin Malik daripada Nabi Sallallahu ‘Alahi Wasallam, Baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapat kemanisan iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada selainnya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”.

MISI PROFESIONALISME: MENERAPKAN NILAI PROFESIONALISME DAN BERINTEGRITI DALAM MAHASISWA PERUBATAN

Di peringkat organisasi, meskipun sudah banyak nilai profesionalisme telah kita terapkan, PERUBATAN perlu istiqamah dalam menjadi lebih sistematik, berkualiti dan inovatif. Birokrasi dan organisasi mestilah memudahkan dalam masa yang sama kekal efektif dan efisien dalam aspek masa, komunikasi dan tenaga kerja. PERUBATAN tidak boleh statik di takuk yang sama. Kita mestilah kreatif dan inovatif tanpa sekali-kali meninggalkan perkara asas dan dasar dalam PERUBATAN iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias serta Visi dan Misi PERUBATAN.

Di peringkat individu, ‘ubudiyah, masuliyah dan itqan. Ini satu nilai yang perlu kita perlu kita mulakan dalam seluruh aspek gerak kerja kita. 

‘Ubudiyah, tujuan bergerak dan bekerja ialah semata-mata kerana Allah. Dan perlu kita pelihara hak Allah setiap masa. Jagalah solat dan lazimi zikrullah setiap masa.

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad), Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah semata-mata.

Masuliyah bermaksud akauntibiliti. Setiap daripada kita mestilah mempunyai common sense sewaktu bekerja. Jadilah pemegang amanah yang baik. Sepertimana Saidina Huzaifah al-Yamani yang tidak pernah membongkar rahsia Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam dan juga Saidina Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi pemegang amanah umat sehingga digelar al-Aminul Ummah.

Itqan, bermaksud bersungguh sungguh dalam tugas. Sedaya upaya kita membuat setiap urusan sehabis baik sehingga selesai.

MISI AKADEMIK: MEMBENTUK MAHASISWA PERUBATAN BERDAYA SAING KE ARAH MELAHIRKAN PENGAMAL SAINS KESIHATAN YANG KOMPETEN

Para perwakilan yang dikasihi sekalian, faktor kecemerlangan akademik ahli, kemahiran klinikal, dan pemerkasaan ilmu pengetahuan adalah penting dalam membentuk seorang pengamal Sains Kesihatan yang kompeten.

Suka untuk saya ingatkan, di samping mengejar markah dalam peperiksaan. Ada dalam kalangan kita tersungkur dalam perjalanan tersebut.

Ramai dalam kalangan kita sudah berusaha sehabis baik, tetapi kejayaan masih belum kunjung tiba.

Nasihat saya jangan lupa, Allah menyukai hamba-Nya yang berusaha bersungguh-sungguh. Setiap saat kita mujahadah, Allah akan mengambil usaha kita di sisi-Nya. Tempoh kesabaran kita dihitung oleh Allah supaya terhapus dosa-dosa kita. Sahabat-sahabat berusahalah sehabis baik. Sebagaimana bersungguh-sungguh dan istiqamah Nabi Nuh alaihisalam dalam menyeru umatnya lebih 900 tahun tanpa henti. Kejayaan dan rezeki datang daripada Allah ta’ala.

Di peringkat PERUBATAN Cawangan sentiasa komited dalam usaha untuk meningkatkan pencapaian akademik ahli. Kelas-kelas tutorial, Batch Discussion, program-program motivasi sentiasa dijalankan bagi memastikan pencapaian akademik ahli meningkat.

Sebagi satu fokus, kemahiran klinikal ahli perlu diperkemaskan. Melalui PERUBATAN Health Academy (HA) hasrat tersebut boleh terlaksana. Setiap ahli boleh menyertai program-program yang berunsur kemahiran klinikal tanpa membelakangkan Syariah Islamiah untuk mempersiapkan diri untuk menempuhi dunia pekerjaan yang sebenar.

Saya menyeru sahabat-sahabat, untuk sama sama kita brainstorm dan mencurah idea, bagaimana untuk kita bersama-sama untuk meningkatkan ruang dan peluang dalam menambah baik kemahiran klinikal.

MISI PEMBANGUNAN INSAN: PERUBATAN SEBAGAI MEDAN PENGHAYATAN ISLAM

PERUBATAN terus konsisten dan tetap menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan tertinggi bagi memastikan kelangsungan pergerakan PERUBATAN sebagai persatuan Islam bermatlamatkan mardhatillah. Bagi mencapai mardhatillah, kita perlulah tunduk dan patuh kepada Allah dengan melaksanakan setiap apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya seperti yang digariskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Bertepatan dengan firman Allah SWT pada Surah al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Oleh itu, proses pentarbiahan sememangnya tidak dapat lari apabila kita ingin mewujudkan individu muslim ke arah membina kekuatan masyarakat muslim dalam kalangan mahasiswa. Bertepatan dengan anjuran Islam setiap kepimpinan itu perlulah berusaha sedaya upaya untuk menerapkan kefahaman Islam yang benar-benar selari dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam kepada pengikutnya.

Ia menuntut kesabaran dan mujahadah yang tinggi serta memakan masa yang lama. Saya menyeru kepada semua PERUBATAN Cawangan tidak mengambil mudah dan perlu memberi penekanan khusus kepada sistem pentarbiahan ahli bagi sama-sama menjayakan Misi Pembangungan Insan. Sistem pentarbiahan ahli perlu diterapkan dalam setiap gerak kerja PERUBATAN dengan memperkasa Mentor Council (MC) yang menjadi jantung tarbiah PERUBATAN. Lantaran itu, semua posisi perlu memainkan peranan dalam memperkasakan Smart Circle (SC) sama ada dari peringkat pimpinan, para mentor dan sehinggalah ke peringkat akar umbi iaitu ahli sendiri. Selain itu, sistem pentarbiahan ahli juga turut diberi penekanan dan diterap  melalui Unit Fikah Perubatan (UFP), Health Academy (HA), Jawatankuasa Keselamatan & Sosial Islam (JAKSI), Unit Bait Muslim (UBM) dan PERUBATAN For Peace and Care (PEACE) sebagai sinergi kepada sistem pentarbiahan dalam PERUBATAN dan akhirnya melahirkan ahli yang muttaqin dan wujudnya biah solehah.

Sebagai tambahan, saya menyeru untuk semua ahli PERUBATAN di peringkat pimpinan mahupun ahli meneroka bidang Fikah Perubatan. Satu disiplin ilmu yang berhajat kepada ilmu Fikah dan ilmu Perubatan yang amat diperlukan apabila menceburi medan pekerjaan sebenar. Juga Health Academy (HA), perlulah memainkan peranan dalam mendidik ahli PERUBATAN supaya jelas matlamat untuk menjadi seorang pengamal Sains Kesihatan yang taat dengan perintah Allah.

INFIRU BERANGKATLAH!

Sebelum saya akhiri ucapan hari ini saya ingin mengingatkan kembali kalian untuk:

  1. Jagalah solat. Utamakannya dalam setiap urusan dan solatlah di awal waktu.
  2. Lazimilah bacaan al-Quran, jangan ditinggalkan walaupun sehari.
  3. Istiqamah dalam menuntut ilmu.
  4. Carilah kemanisan dalam hidup bermasyarakat dalam wasilah PERUBATAN.

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Berangkatlah kamu dalam keadaan merasa ringan atau berat mahupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”. (Surah at-Taubah: ayat 41)

Seeru ‘Ala Barakatillah.

“at-Taqwa, as-Syifa', ar-Rahmah”

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

 iqbal

HANIZ IQBAL BIN HAZAIDI
Presiden,
PERUBATAN 2015/2016.

dihantar oleh AinNabila

Add comment

Comments from guests will be moderated. If you're PERUBATAN member, please Register to disable Captcha recognition and use full function of Comment. Thanks!


Security code
Refresh

Hakcipta Terpelihara ©2007-2014 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version