PERUBATANonline v4.14

Switch to desktop Register Login

Ucapan Dasar Presiden PERUBATAN 2014/2015

logo perubatan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera.

Selamat datang (Ahlan wa sahlan wa Marhaban bikum) kepada semua rakan taulan seperjuangan perwakilan, serta para pemerhati yang sudi memeriahkan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-10 ini.

Pertamanya marilah sama-sama kita mengucapkan puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan kepada kita anugerah Islam yang sempurna yang kita imani, menjadi penyelamat kita untuk bertemu Tuhan Rabbul Jalil di hari yang tidak ada naungan melainkan naungan rahmat Allah SWT. Dengan iman dan Islam inilah kita mesti beristiqamah di atas jalan perjuangan yang dirintis oleh para Nabi dan Rasul A.S. sejak zaman-berzaman, berdepan dengan cabaran dan dugaan yang menguji iman kita sehinggalah kita bertemu dengan Allah SWT nanti. Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar ternyata yang Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu." [Muhammad: 31]

Para perwakilan yang dirahmati Allah,

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-10: Suarakan Solusi, Menuju Transformasi.

  1.        Kita berkumpul pada hari ini, dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali yang ke-10, dengan tema “Suarakan Solusi, Menuju Transformasi” adalah berpaksikan pada konsep musyawarah yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dalam erti kata lain, muafakat yang telah kita bina pada hari ini adalah sebagai satu ruang yang jelas bagi seluruh ahli memberi cadangan dan idea bagaimana memacu PERUBATAN ke arah yang lebih baik. Seterusnya idea ini bersama-sama dibawa oleh seluruh ahli dan pimpinan untuk diamalkan sepertimana konsep iman dan Amal yang telah Allah S.W.T gariskan di dalam al-Quran yang harus bergerak selari. Bukannya berasingan.

Hadirin hadirat sekalian,

CABARAN DALAM MEMIKUL AMANAH SEBAGAI PELAJAR SAINS KESIHATAN.

  1.         Hari demi hari memperlihatkan masa bergerak dengan lebih pantas. Pergerakan arus kemodenan ini memerlukan graduan di zaman kini wajib menjadi graduan yang mahir dan kompeten dalam bidang masing-masing. Agak khayal apabila dengan kebolehan yang sederhana, kita akan mendapat tempat di dalam dunia kini. Menjadi doktor, doktor gigi, pegawai farmasi kini bukanlah hanya cukup dengan kebolehan yang sederhana, akan tetapi wajib untuk kita semua menjadi graduan yang mahir, kompeten, proaktif dan bijak dalam menangani isu yang berkaitan dengan dunia perubatan. Ahli PERUBATAN harus berusaha dengan lebih gigih agar produk Mesir ini dapat menyahkan stigma-stigma yang telah timbul di beberapa hospital bahawa graduan Mesir kurang berkemahiran, manja dan tidak proaktif.

  2.         Walaupun kita sering dilabel sebagai graduan yang kurang kemahiran elektif, namun harus diingat bahawa kebolehan yang ada di bumi ini ialah pada ketinggian ilmunya dan kemurnian pada sahsiah peribadi. Seharusnya kita semua dapat menggunakan dua kebolehan ini untuk menjadi Pengamal Perubatan yang berperanan dengan etika dan nilai-nilai murni yang tinggi dalam masyarakat. Mahasiswa Mesir mampu menjadi contoh dan membawa perubahan dalam masyarakat apabila kita semua dibentuk sejak zaman mahasiswa lagi dengan pemurnian akidah yang jitu, penerapan nilai-nilai seorang mukmin yang mampan dan akademik yang mantap agar pulangnya kita berbakti, mampu menjadi pengamal perubatan yang soleh dan musleh.

Sidang perwakilan yang dikasihi,

AGENDA AKADEMIK: KECEMERLANGAN AKADEMIK AHLI FOKUS PERUBATAN

  1.         Firman Allah S.W.T pada surah az-Zumar, ayat 9 bermaksud: Apakah kamu hai orang musyrik yang lebih beruntung atau orang yang beribadat di waktu-waktu malam dengan sujud dan berdiri, sedang ia takut kepada (azab) akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakal lah yang dapat menerima pelajaran.

  2.         PERUBATAN pada sesi ini masih lagi membawa kesinambungan agenda Akademik seperti sebelum ini. Pemfokusan agenda akademik pada tahun ini adalah pada peningkatan kecemerlangan akademik ahli dengan menyediakan pelbagai program dan aktiviti untuk membantu ahli menghadapi peperiksaan dalam masa yang sama mengurangkan peratusan mereka yang gagal dengan menyediakan pelbagai bantuan yang dirasakan mampu supaya kejayaan dapat dirasakan oleh semua ahli.  Selain itu, fokus juga diberikan pada meningkatkan kemahiran klinikal ahli dan kemahiran komunikasi dalam Bahasa Inggeris serta Bahasa Arab klinikal memandangkan kemahiran tersebut sangat penting bagi seorang pelajar sains kesihatan yang menuntut di Mesir yang mana bakal menjadi salah satu daripada ciri-ciri yang unik yang terdapat pada graduan Mesir kelak. Ahli perlu menyedari bahawa penting untuk seorang graduan Mesir mempunyai akademik yang jitu dan penguasaan bahasa yang mantap yang mana boleh menjadi contoh juga bermanfaat kepada orang lain. Maka perlulah bagi pihak kami untuk terus menjayakan agenda akademik ini lantaran kerana peri pentingnya agenda ini terhadap ahli.

  3.         Pemerkasaan Unit Fiqh Perubatan antara elemen yang menjadi fokus terpenting pada sesi ini. Menyedari hakikat wujudnya stigma-stigma oleh sesetengah pusat kesihatan di Malaysia, maka PERUBATAN cuba menggerakkan beberapa elemen terpenting dalam PERUBATAN agar graduan Sains Kesihatan dari Mesir mempunyai nilai tambah yang menjadi kebanggaan semua. Mahir dalam ilmu Fikah Perubatan, mempunyai kemahiran ilmu asas yang mantap dan mempunyai nilai-nilai murni sebagai pengamal perubatan di dalam masyarakat kelak.

Para perwakilan yang dirahmati Allah S.W.T,

PROFESIONALISME: MEMBENTUK MAHASIWA-MAHASISWI PROFESIONAL YANG MEMILIKI MINDA KELAS PERTAMA.

  1.         Bertepatan dengan visi Agenda Profesionalisme, iaitu PERUBATAN sebagai medium untuk membentuk mahasiwa-mahasiswi profesional yang memiliki minda kelas pertama, maka PERUBATAN perlu mendahului dalam aspek pemikiran, penilaian serta tindakan yang berlandaskan ilmu dan syariat Islam dan mampu mendepani isu-isu global secara bijak dan holistik. Tambahan pula, mahasiswa Mesir bukan sahaja perlu menguasai bidang ilmu perubatan malah juga perlu menguasai ilmu-ilmu agama yang menjadi kewajipan bagi setiap mahasiswa Tanah Anbiya. Hal ini kerana, doktor yang dilahirkan di negara Timur Tengah dipandang lebih dari sudut ilmu agamanya. Maka seluruh ahli perlu dibentuk berdasarkan displin ilmu yang sebenar iaitu berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dan tidak mendahului akal semata-mata dalam membuat keputusan. Melalui agenda Profesionalisme ini juga, PERUBATAN sebagai persatuan yang menaungi semua mahasiswa jurusan Sains Kesihatan mensasarkan matlamat sebagai persatuan yang mampu melahirkan ahli yang bakal menjadi Doktor Muslim Profesional atau individu berkerjaya profesional dan berketerampilan. Bukan itu sahaja, usaha ini selaras dengan hasrat untuk memperlihatkan PERUBATAN sebagai sebuah persatuan yang mementingkan kualiti dan mencapai piawaian tertentu dalam segenap aspek. Mafhum Hadis Rasulullah S.A.W. yang menjadi panduan kepada pentingnya pembawaan Agenda Profesionalisme adalah, “Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang itu, yang apabila dia melakukan sesuatu, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh dan teliti)”. Maka, amat wajar untuk PERUBATAN terus teguh dalam melaksanakan Agenda Profesionalisme ini.

  2.         PERUBATAN juga melihat pentingnya akan pembentukan personaliti ahli dan pimpinan dalam menerapkan nilai-nilai keteguhan jati diri serta imej profesional. Hal ini perlu dipandang serius agar mahasiswa-mahasiswi PERUBATAN dipandang sebagai golongan profesional dan beretika apabila mula berkhidmat di Malaysia kelak. PERUBATAN memandang serius akan Agenda Profesionalisme ini, dengan merangka pelbagai program mahupun kempen dalam menyuntik ciri-ciri kematangan intelektual dalam diri ahli. Melalui gerak kerja pentadbiran PERUBATAN, PERUBATAN juga perlu mempraktikkan pengurusan inovatif dengan membuka ruang yang luas kepada ahli untuk menyalurkan aduan dan masalah kepada pimpinan. Antara langkah yang diambil adalah memperhebatkan promosi e-aduan, menyediakan peti cadangan dan mewujudkan Unit Research and Development (R&D) yang berperanan untuk memantau dan membuat kajian kekuatan serta kelemahan sesuatu unit mahupun program yang dianjurkan. Selain itu, Agenda Profesionalisme diselaraskan dan bakal diterap dalam setiap peringkat organisasi pusat mahupun cawangan supaya pentadbiran dan pengurusan jabatan-jabatan serta biro-biro lebih tersusun, efektif dan berinovasi.

  3.         Memasuki tahun kedua penubuhan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP), Agenda Profesionalisme ini diperhebat lagi menerusi kerjasama antara Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dengan Pengerusi PERUBATAN Cawangan sebagai contoh melalui usaha turun padang bagi membawa suara ahli untuk dibincangkan secara lumat supaya kebajikan ahli PERUBATAN sentiasa terjaga.

Sidang perwakilan yang dihormati,

PEMBANGUNAN INSAN: AGENDA TERPENTING PROFESSIONAL RABBANI.

Firman Allah swt pada surah al-Ahzab ayat 21:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"

  1.         Proses pendidikan dalam sesebuah organisasi merupakan satu perkara yang sememangnya tidak dapat lari apabila kita memperkatakan tentang pembinaan kekuatan bagi setiap individu muslim ke arah membina kekuatan masyarakat muslim dalam kalangan mahasiswa. Bertepatan dengan anjuran Islam setiap kepimpinan itu perlulah berusaha sedaya upaya untuk menerapkan kefahaman Islam yang benar-benar selari dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.

  2.         Hasrat PERUBATAN untuk melahirkan ahli-ahli yang memenuhi kriteria seorang muslim yang benar-benar tunduk dan patuh kepada Allah SWT bukanlah suatu yang mudah untuk direalisasikan. Ia perlu kepada sistem pendidikan dan latihan yang berkesan dan sistematik. Malah, pembentukan modal insan yang berkualiti ini hanya dapat dibentuk dalam diri seorang mahasiswa melalui proses yang sempurna dan sangat menuntut kesabaran dan mujahadah yang tinggi serta memakan masa yang lama. PERUBATAN menyeru seluruh ahli untuk tidak mengambil mudah pada agenda ini. Agenda Pembangunan Insan ini perlu diperkasakan lagi bermula daripada PERUBATAN hinggalah pihak akar umbi iaitu ahli sendiri. Antara aspek penting yang digariskan adalah pemerkasaan sistem pendidikan dan latihan ahli, pengukuhan biah solehah dalam komuniti mahasiswa Mesir dan pemantapan ahli dari segi rohani dan sahsiah

  3.         Justeru, agenda Pembangunan Insan ini diteruskan bagi memastikan PERUBATAN benar-benar kukuh sebagai medium mendidik ahli dan pimpinan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah dari aspek ilmu agama, kerohanian dan sahsiah. Semoga kita semua benar-benar menjadi mahasiswa yang bermodal insan berkualiti, dan menjadi doktor muslim terbaik dunia dan akhirat.

Hadirin dan hadirat sekalian,

AGENDA KESATUAN: PENGUKUHAN KESATUAN DALAM PERUBATAN

”Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.”

  1.         PERUBATAN bergerak sebagai satu-satunya persatuan yang menaungi seluruh mahasiswa bidang sains kesihatan di bumi Mesir ini lebih sedekad usianya. Tempoh sedekad ini mungkin masih muda jika dinilai dari sudut umurnya namun itu tidak menghalang PERUBATAN untuk menjadi sebuah persatuan yang matang hasil kerjasama jitu antara pihak pimpinan dan juga ahli secara bersama. 

  2.         Agenda Kesatuan merupakan agenda terpenting sepanjang zaman baik dari awal penubuhan sehinggalah lebih sedekad PERUBATAN bertapak di bumi Nabi Musa ini. Saban tahun, jumlah kehadiran mahasiswa baharu yang datang ke Perlembahan Nil meningkat dengan begitu mendadak sekali dari pelbagai latar belakang jurusan, tajaan, universiti, mahupun negeri asal. Perkara ini menjadi cabaran yang besar bagi penggerak-pengerak PERUBATAN dalam memastikan kesatuan yang kita bina hampir sedekad ini dapat dipelihara dan diteruskan dengan baik. 

  3.         Aspek kesatuan ini perlu dimainkan oleh semua peringkat baik dalam kalangan ahli, sesama pimpinan, ahli bersama pimpinan, antara cawangan, PERUBATAN dengan agensi kerajaan, serta PERUBATAN dengan pihak universiti-universiti di Mesir. Selain itu terdapat juga elemen-elemen penting yang perlu dimainkan ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) sebagai pimpinan tertinggi dalam PERUBATAN dalam menjayakan Agenda Kesatuan yang dibawa. Agenda ini diharapkan mampu menanam semangat kesatuan dalam jiwa setiap ahli PERUBATAN bagi mewujudkan suasana yang aman dan harmoni tanpa pertelingkahan dan perselisihan faham. Seterusnya memastikan kesatuan yang telah kita bina semakin kukuh dan kekal terpelihara selagi mana mahasiswa sains kesihatan wujud di bumi Mesir ini.

  4.         Isu kebajikan ahli PERUBATAN, baik kebajikan dari sudut mata wang, akademik, masalah peribadi, kemudian dengan suasana politik Mesir yang tidak menentu, menggugat keselamatan ahli PERUBATAN, semua ini memerlukan kepada seluruh ahli PERUBATAN, bermula daripada pelajar tahun pertama hinggalah ke tahun akhir untuk kita sama-sama sedar dan menyelesaikan permasalahan, agar masalah yang timbul ini, dapat kita sama-sama ringankan, seterusnya wujud rasa kebersamaan di bawah satu komuniti. Ahli perlu menyedari, PERUBATAN ini bukan milik pimpinan, bukan milik abang-abang dan kakak-kakak, bukan milik sesetengah cawangan, akan tetapi ia adalah milik seluruh ahli, biarpun berbeza negeri, berbeza tajaan, berbeza agensi, berbeza cawangan, hakikatnya, kita semua ialah ahli PERUBATAN.

Sidang perwakilan sekalian,

KEBAJIKAN TUNJANG UTAMA PERUBATAN.

  1.         Pada sesi ini, kebajikan tidak lagi dijadikan sebagai salah satu agenda kerana aspek kebajikan ini akan tetap menjadi fokus utama PERUBATAN. Kebajikan akan terus dilaksanakan dan tidak akan diabaikan. Aspek Kebajikan ini akan disemaikan dalam semua gerak kerja PERUBATAN secara menyeluruh supaya PERUBATAN akan terus menjadi satu persatuan yang benar-benar menjaga kebajikan ahli bertepatan dengan objektif PERUBATAN iaitu menjaga dan memperkasa kebajikan ahli. PERUBATAN berkebajikan dan menjadi medium ahli berkebajikan, itulah konsep kebajikan yang ingin dibawa. Aspek kebajikan ini bukan hanya dijayakan oleh pimpinan tetapi memerlukan sokongan yang kuat daripada seluruh peringkat ahli supaya aspek kebajikan yang ingin disemaikan ini tidak akan dilupakan. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 148 yang bermaksud, “Berlumba-lumbalah kamu dalam bekerja membuat kebaikan”.

  2.         Pemerkasaan entiti-entiti yang ada seperti Tabung Kasih Sayang, Health Academy, PERUBATAN For Peace & Care (PEACE), 7 biro disetiap cawangan, semua ini perlu diperkasakan agar kebajikan ke atas segenap aspek, baik aspek kewangan, aspek gerak kerja, aspek akademik, isu umat Islam, terus kekal terjaga dan seterusnya mencapai apa yang dimaksudkan dengan persatuan berkebajikan. Oleh itu, marilah kita sama-sama memainkan peranan sebagai PERUBATAN yang menitik beratkan kebajikan supaya aspek ini terus segar walaupun ianya tidak dijadikan sebagai agenda.

Sidang perwakilan, ahli PERUBATAN yang dirahmati,

TUJUH ARAHAN.

  1.         Semua pihak dalam Jabatan Majlis Tertinggi PERUBATAN, Biro di setiap Cawangan, dan ahli mesti mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema “Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam ahli keseluruhannya dan difahami bahawa dasar mahasiswa yang berilmu dan beramal ini dibawa oleh PERUBATAN untuk dijayakan. Hasrat untuk melahirkan kefahaman dalam kalangan mahasiswa yang mempunyai ilmu, kemudian diterjemahkan dalam setiap gerak kerja dan akhirnya mewujudkan kesatuan dalam kalangan ahli perlu dijayakan bersama. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Mesyuarat Agung Tahunan semata-mata.

  2.         PERUBATAN Frontliner Council (PROF) juga perlu lebih dinamik dalam gerak kerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, benar-benar berperanan dalam memusatkan tenaga dalam kalangan ahli, dan menjalankan program di kalangan ahli PROF atau ahli yang tidak mendaftar sebagai ahli PROF. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah. Kukuhkan organisasi PERUBATAN dengan berbagai ilmu pengurusan, kepimpinan perlu dibajai dengan latihan untuk membentuk diri seterusnya mengikhlaskan niat gerak kerja. Usaha yang berterusan untuk mengaktifkan PROF, dan modul-modul pembinaan diri ahli di berbagai peringkat mestilah diperkukuhkan dengan menjadikannya sebagai salah satu sasaran tahunan.

  3.         7 Cawangan yang merupakan adik-beradik dalam satu komuniti, ada yang sulung dan ada yang bongsu. Ahli perlu sedar entiti 7 Cawangan ini merupakan kekuatan dalam pengukuhan PERUBATAN. Ahli di setiap cawangan telah bersama-sama dalam mengukuhkan cawangan masing-masing. Maka perkukuhkan juga adik beradik kita di cawangan lain. Ambillah kelebihan-kelebihan yang wujud di sesetengah cawangan. Bantulah adik beradik yang mempunyai kelompongan dalam beberapa aspek. Seluruh unit, biro, dan jabatan perlu melaksanakan gerak kerja, memperkemaskan organisasi, mengisi takwim, dan mempertingkatkan mutu kerja ke arah mengukuhkan PERUBATAN Cawangan dan PERUBATAN secara keseluruhannya. Maka dengan ini saya mengumumkan, Sistem Taakhi Cawangan yang akan berkuat-kuasa serta merta bagi seluruh cawangan bersama-sama menjayakannya.

  4.         Mentor Council merupakan penggerak kepada Jantung PERUBATAN iaitu Smart Circle (SC). Ia perlu bertindak pantas menjadi penggerak kepada seluruh unit, biro dan jabatan di bawah PERUBATAN melalui medium SC. Medium SC perlu bertindak pantas bagi membicarakan isu-isu di sekitaran dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, ijmak dan qias. Perbincangan berkaitan isu semasa, manhaj yang disusun perlu dalam pelbagai rupa dan bentuk yang bersesuaian dengan ahli SC agar ahli PERUBATAN bergerak dengan lebih dinamik dan bertenaga khususnya dalam menterjemahkan Islam bagi menangani masalah semasa, juga membantu meluaskan pemahaman Islam kepada masyarakat ketika pulangnya ke tanah air. Medium SC perlu dikembang luaskan agar graduan Sains Kesihatan di Mesir dapat menangani ketidakfahaman dalam masyarakat kita khusus berkaitan Islam dan menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk sepanjang zaman khususnya berkaitan bidang masing-masing. Oleh itu saya mengarahkan agar ketujuh-tujuh cawangan mewujudkan hari khusus pada setiap minggu untuk menggerakkan SC agar hari tersebut dapat dimanfaatkan oleh seluruh ahli untuk terlibat sama dalam menjayakan SC.

  5.         Pimpinan di peringkat cawangan mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia melatih pelapis baharu dalam kalangan ahli yang lain agar bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mereka yang pernah menjadi pemimpin di setiap peringkat mampu melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia yang masih sarat dengan berbagai pemikiran yang berlawanan dengan Islam. Inovasi baharu gerak kerja dan dakwah perlu diterokai. Pimpinan perlu mendepani isu semasa nasional, tempatan dan antarabangsa khususnya berkaitan bidang sains kesihatan. Program-program bersifat thaqafah seperti kelas tafaqquh, daurah kitab, seminar perlu diperkasakan agar manfaat ilmu tersebut bukan sahaja disimpan didada masing-masing, akan tetapi dipraktikkan kepada ahli yang lain sebelum kalian semua turun ke medan yang sebenar.

  6.         Ahli di cawangan, baik ahli atau pimpinan, perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas dan dipantau oleh ahli MTP. Mesyuarat yang tidak produktif dan hanya mengisi syarat program perlu dielakkan. Gunakanlah kesemua medium perkumpulan baik mesyuarat kecil, atau program batch, seterusnya ke program-program bersifat mega untuk menjayakan keempat-empat agenda yang telah digariskan khususnya agenda yang membentuk peribadi ahli sendiri. Pemerkasaan latihan-latihan dalam bengkel-bengkel atau kelas tutorial untuk akademik atau kemahiran asas ahli, perlu digiatkan. Ahli di setiap peringkat perlulah melaksanakan amanah dengan sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak, kerana peranan mereka inilah yang mewajahkan PERUBATAN itu sendiri. Prestasi ahli perlu dipantau oleh pimpinan cawangan dan dibantu sekiranya terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugasan mereka baik sebagai mahasiswa sains kesihatan ataupun ahli PERUBATAN.

  7.         Ahli-ahli PERUBATAN secara keseluruhannya perlulah mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat, berada dalam suasana sentiasa dahagakan ilmu, dan seterusnya terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, mesyuarat, program latihan dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing. Kewajipan-kewajipan asas sebagai mahasiswa di Mesir perlu ditunaikan. Kehadiran ke kelas, melibatkan diri dalam usaha memperkasakan ilmu sains kesihatan perlu dipertingkatkan. Sifat-sifat mungkar perlu dijauhkan. Amalan ponteng, meniru di dalam peperiksaan, seharusnya sudah tiada dalam diri ahli. Memalukan sekiranya graduan Mesir dilabel dengan sifat-sifat sebegini memaksa pimpinan mengadakan kempen-kempen atau aktiviti yang sepatutnya tidak dilakukan seperti kempen ke kelas dan sebagainya. Apa guna kita hebat berhujah, mantap dari segi gerak kerja namun kewajipan asas ini tidak mampu kita tunaikan. 

Penutup.

KEPADA REDHA ALLAH KITA TUJU.

  1.         Slogan “bekerja dengan PERUBATAN, bekerja untuk Islam” bukan lagi satu omongan kosong, ia merupakan satu realiti yang harus kita semua sedari. PERUBATAN bukan semata-mata sebuah persatuan yang bersifat teknikal yang hanya melatih para ahlinya untuk menjadi cemerlang dalam aspek keduniaan semata-mata, malah, segala perkara yang kita lakukan tatkala bekerja bersama PERUBATAN, ini adalah satu bentuk latihan awal buat kita semua selaku pendokong Islam. Para ahli telah diberi peluang untuk menggunakan pelbagai medium yang ada dalam PERUBATAN, seperti akademik, multimedia, sukan, ekonomi, kebajikan dan lain-lain lagi bagi melakukan anjakan paradigma demi memastikan Dakwah Islamiah iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

  2.         Marilah sama-sama kita perteguhkan kesatuan, perkukuhkan saf perjuangan, murnikan fikrah, dan mantapkan keyakinan kita kepada janji Allah S.W.T. bagi sesiapa yang berjuang di jalan Nya berbeza dengan yang tidak berjuang, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

    "Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak berjuang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang-orang yang berjihad dijalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar."

  3.         Bagi pihak seluruh kepimpinan PERUBATAN, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih di atas khidmat seluruh Ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN, Ahli Jawatankuasa Tertinggi PERUBATAN Cawangan dan kepimpinan di setiap peringkat sama ada jabatan, biro, jawatankuasa program yang telah menjalankan amanah sepanjang sesi 2013-2014 ini. Kami barisan pimpinan yang baharu mengharapkan doa daripada kalian agar kami benar-benar menjadi pimpinan yang membawa PERUBATAN atas dasar Islam dan dipermudahkan dalam segala gerak kerja yang akan datang. Semoga segala usaha kalian mendapat ganjaran pahala dan rahmat Allah S.W.T serta keampunan-Nya jua. Terima kasih juga kepada seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-10 ini. Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah S.W.T.

Sekian, Seeru ‘Ala Barakatillah!

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,

Walillahilhamd.

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”

“at-Taqwa, as-Syifa', ar-Rahmah”

1743703 804832682879091 1745661630 a

 Mohammad 'Arif Rukaini bin Mohamed Sufian

Presiden,

PERUBATAN 2014/2015.

Ditulis dalam Kenyataan

logo perubatan 

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji ke atas Tuhan sekalian alam, yang mengizinkan kita untuk terus hidup dan menghirup udara segar pada hari ini. Marilah sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW yang memungkinkan kita dikurniakan syafaat di hari akhirat kelak.

Pada 3 April 2013 yang lalu, YAB Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 telah pun mengumumkan pembubaran parlimen Malaysia, seterusnya memberi laluan kepada pilihanraya umum dijalankan. Justeru, selaku warganegara Malaysia yang berada di luar negara dalam tempoh kempen serta pilihanraya ini, kami merasa bertanggungjawab dalam sama-sama memeriahkan bahang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) ini bagi memilih pemimpin tertinggi negara.

Antara tarikh-tarikh penting yang telah diumumkan sempena PRU-13 adalah seperti berikut:

Tarikh Keluar Writ             : 11 April 2013 (Khamis)

Tarikh Notis Pilihan Raya   : 12 April 2013 (Jumaat)

Tarikh Penamaan Calon    : 20 April 2013 (Sabtu)

Tarikh Pengundian Awal   : 30 April 2013 (Selasa)

Tarikh Mengundi              : 05 Mei 2013 (Ahad)

Di dalam Al-Quran ada beberapa ayat yang menyebut tentang kepentingan melibatkan diri dalam memastikan pemimpin yang dilantik memenuhi syarat dan kelayakan yang telah digariskan oleh Islam. Juga terdapat saranan dan penerangan dari baginda Nabi Muhammad SAW tentang peri pentingnya peranan golongan pemuda dalam mencorak masa depan pentadbiran sesebuah negara.

Di dalam Al-Quran juga terdapat panduan dalam memilih pemimpin. Allah berfirman dalam Surah al-Qasas ayat 26 yang berbunyi;

“Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, “Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercayai”

Justeru, sempena PRU-13 ini, PERUBATAN menyeru kepada seluruh warganegara Malaysia, khususnya yang layak mengundi supaya sama-sama memainkan peranan kita selaku rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab untuk terlibat secara langsung dalam proses pemilihan pemimpin negara pada kali ini.

Akhirnya berikut disertakan beberapa pautan yang berkaitan PRU-13 sebagai panduan dan rujukan.

  1. Portal Rasmi PRU-13 (SPR)
  2. Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (KBMK)

Sekian, terima kasih.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

"Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati"

"At-Taqwa, Asy-Syifa', Ar-Rahmah"

rahim

Abd Rahim Bin Samad
Presiden,
PERUBATAN 2013/2014

Ditulis dalam Kenyataan

Kaherah, 14 Mac –Ratusan pelajar membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah malam  semalam untuk menghantar dua orang bekas pemimpinIMG-20130315-WA0000 tertinggi PERUBATAN ,saudara Muhammad Husaini bin Salleh dan saudara Syafiq bin Hamdani pulang ke Malaysia. Presiden PERUBATAN saudara Abdul Rahim bin Samad juga turut meluangkan masa bersama-sama mengucapkan selamat jalan kepada mereka.

"Kepulanganmu dinanti, pemergianmu ditangisi. Ini sudah cukup membuktikan bahawa warga Malaysia di Mesir amnya dan warga PERUBATAN khususnya merasai kehilangan sejumlah besar penyumbang utama dalam menggerakkan usaha dakwah melalui PERUBATAN. Merekalah antara golongan yang tidak serik memberi sehingga ke saat akhir kewujudan mereka di bumi Mesir ini."

"Kami secara jujurnya menangisi dan pasti merindui sentuhan-sentuhan keramat mereka dalam menggerakkan PERUBATAN sebagai salah satu wasilah dakwah dan tarbiah di sini. Akhirnya kami berharap agar khidmat bakti kalian terus dicurah melalui profession kedoktoran ini dalam membentuk ummah ke arah yang lebih gemilang, insyaAllah," kata saudara Abdul Rahim bin Samad apabila ditanya mengenai perasaan beliau ketika mengiringi mereka ke lapangan terbang.

Saudara Muhammad Husaini adalah mantan Presiden PERUBATAN sesi 2010/2011 manakala saudara Syafiq bin Hamdani merupakan mantan Presiden PERUBATAN sesi 2011/2012. Mereka berdua telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kaherah secara rasmi pada 14 Februari yang lalu.

IMG-20130315-WA0001

Turut serta dalam penerbangan malam tersebut adalah saudari Nurmadihah binti Kamalul Sahar, mantan Timbalan Presiden PERUBATAN sesi 2009/2010 dan Natrah binti Ahmad Kamil, mantan Timbalan Presiden PERUBATAN 2010/2011 serta sejumlah graduan yang lain.

Ditulis dalam Liputan

Ucapan Dasar Presiden PERUBATAN 2013/2014

logo perubatan

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Berbekalkan nikmat Iman dan Islam, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. atas limpah dan kurnia serta inayahNya dapat lagi kita meminjam kehidupan ini untuk terus setia dan tetapkan aqidah menjadi hambaNya dalam menuju syurga abadi. Selawat dan Salam diucapkan buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. atas pengorbanan dan contoh yang telah ditunjukkan oleh Baginda, kita mampu untuk meneruskan kehidupan dengan akhlak Islami yang tersergam indah. Moga-moga kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat syafaat Baginda.

Dengan lafaz Bismillah, bersama kerendahan hati, izinkan saya untuk memulakan ucapan dasar Presiden PERUBATAN bagi sesi 2013/2014 ini. Untuk makluman sidang perwakilan sekalian, ucapan ini akan dibahagikan kepada lima (5) dasar utama.

(1) Pentadbiran Baru Membentuk Usaha Keselarasan

Pertambahan bilangan ahli yang kian meningkat saban tahun menyebabkan PERUBATAN memerlukan satu bentuk pentadbiran yang baru untuk mencapai kepada setiap ahli. 11 tahun telah mematangkan PERUBATAN dalam gerak kerja dan berbekalkan segala pengalaman dan kajian yang dilakukan, maka kini penubuhan Majlis Tertinggi PERUBATAN bersama 7 PERUBATAN Cawangan direalisasikan. 3 PERUBATAN Cawangan yang baru akan ditubuhkan secara rasmi pada hari ini, iaitu PERUBATAN Cawangan Kaherah, PERUBATAN Cawangan Ain Shams dan PERUBATAN Cawangan Al-Azhar bakal bergerak seiring bersama 4 PERUBATAN Cawangan yang telah tertubuh sebelumnya iaitu PERUBATAN Cawangan Iskandariah, PERUBATAN Cawangan Tanta, PERUBATAN Cawangan Mansurah dan PERUBATAN Cawangan Zagazig.

Majlis Teringgi PERUBATAN yang dipusatkan segala hal dan gerak kerja PERUBATAN, menaungi seluruh mahasiswa sains kesihatan di Mesir bakal menjadi satu titik permulaan sejarah dalam memajukan dan memasyarakatkan PERUBATAN pada masa kini dan akan datang. Dalam usaha membentuk segala penyelarasan gerak kerja, ia diharapkan agar segala manfaat yang diperolehi oleh semua ahli di seluruh Mesir adil dan mendapatkan hak yang sama bertetapan dengan kehendak semua sebagai mahasiswa sains kesihatan. Dalam pada itu, terbentuknya pentadbiran baru ini bakal menyaksikan PERUBATAN mencapai ke dalam diri setiap ahli melalui PERUBATAN Cawangan mengikut lokaliti masing-masing.

(2) Akademik, Kebajikan dan Kesatuan: Agenda Kekal Tunjang Kebersamaan Ahli

Agenda Akademik; Kecemerlangan Akademik Salah Satu Ibadah di Alam Mahasiswa

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Alaq ayat 1-5, maksudnya:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan, ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Wahyu agung yang diturunkan kepada baginda Rasulullah S.A.W ini menunjukkan peri pentingnya aspek menuntut ilmu sebagai seorang muslim. Keutamaan ilmu lah yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah ummah di atas muka bumi Allah S.W.T ini.

Justeru, pada sesi ini agenda akademik masih lagi menyuluh segala tindak tanduk PERUBATAN secara keseluruhannya. Insya Allah, dengan membawa kesinambungan agenda sebelum ini, pembawaan agenda akademik pada sesi ini adalah kearah pemerkasaan kecemerlangan akademik ahli yang merupakan tujuan utama keberadaan kita di bumi Mesir ini. Tidak terhenti disitu, kecekapan kemahiran klinikal dan kefasihan berbahasa Inggeris serta bahasa arab klinikal juga menjadi pembawaan utama agenda akademik pada tahun ini kerana mengambil kira akan penggunaan kemahiran tersebut pada jurusan Perubatan, Pergigian dan Farmasi yang kita pilih ini, sebagai pengamal sains kesihatan yang berilmu.

Sidang perwakilan yang dirahmati Allah SWT sekalian, apa yang kita mahukan graduan yang lahir daripada ardhul kinanah ini, menjadi contoh teladan terbaik kepada masyarakat di Malaysia sana. Maka, tidak dapat tidak agenda akademik ini perlu terus diperkasakan, bagi menjana mahasiswa Mesir yang berintelektual dan berdaya saing.

Agenda Kebajikan; Berkebajikan Mapan untuk Semua Ahli

PERUBATAN dulu, kini dan selamanya akan terus membawa agenda kebajikan. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud,

“Berlumba-lumbalah kamu dalam bekerja membuat kebaikan”.

Justeru PERUBATAN menyahut seruan ini untuk diterapkan dalam setiap diri mahasiswa dan mahasiswi sains kesihatan di Mesir tidak kira di peringkat pimpinan mahupun ahli. Objektif yang disasarkan adalah jelas iaitu PERUBATAN berkebajikan dan menjadi medium ahli berkebajikan. PERUBATAN akan menawarkan kebajikan dalam aspek kewangan, akademik, urusan hal ehwal pelajar, perumahan, menjaga keselamatan dan sosial ahli, kesihatan serta program sambutan pelajar-pelajar baru.

Namun, ingin ditegaskan di sini bahawa konsep berkebajikan yang ingin PERUBATAN bawa adalah bersifat memberi dan menerima antara pimpinan dan ahli. Konsep ini lebih mesra kerana konsep inilah yang akan kita aplikasi ketika bekerja di mana kita perlu bekerja dahulu kemudian di hujung bulannya baru mendapat gaji. Disamping PERUBATAN memberi kebajikan, ahli juga dibuka peluang seluas-luasnya untuk turut serta menjayakan agenda ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama berkebajikan bersama PERUBATAN.

Agenda Kesatuan; Kesatuan Diperkukuh Merentasi Sempadan Negeri & Jurusan

Kini, ahli PERUBATAN semakin bertambah sehingga mencecah 7100 ahli dan menunjukkan impak yang positif secara tidak langsung kepada negara kita dalam melahirkan ramai graduan pengamal perubatan Muslim. PERUBATAN telah menjadi satu platform yang baik untuk menyatukan semua ahli PERUBATAN yang terdiri daripada jurusan Perubatan, Pergigian dan Farmasi. Kesatuan yang terbina dalam kalangan ahli merupakan satu formula yang cukup penting dalam melayari bahtera PERUBATAN pada masa akan datang. Kesatuan ini perlu terus dipelihara supaya setiap daripada kita merasakan bahawa kita adalah aset penting kepada persatuan sekaligus mewujudkan kebersamaan yang harmoni dalam kalangan ahli.

Sidang perwakilan yang disegani sekalian, PERUBATAN saban tahun menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang menggabungkan penglibatan semua ahli cawangan sekaligus merealisasikan PERUBATAN sebagai medium ahli berkenalan dan menyumbang tenaga.

Kami berharap agenda kesatuan ini dapat dihayati dan dijayakan oleh semua ahli PERUBATAN seterusnya menjadi satu budaya yang sihat dalam komuniti PERUBATAN.Perihal kesatuan ini ada dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, dalam surah Al-Saff, ayat ke-4,yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah amat menyukai mereka yang berjuang di jalan-Nya di dalam satu barisan yang teratur rapi, ibarat sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

(3) Agenda Pembangunan Modal Insan; Penghayatan Nilai Tarbiah Pemangkin Ummah

Selari dengan kehendak ahli yang ingin mempunyai kriteria sebagai seorang Muslim yang benar-benar tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T, maka pembawaan agenda yang baru ini bakal dirasai oleh semua ahli untuk pemantapan dalam segenap aspek dan juga menjadi agenda terpenting untuk dijayakan. Antara aspek yang akan ditekankan ialah memperkasakan sistem pentarbiahan ahli  dengan memberi penekanan khusus kepada Mentor Council (MC) dan JAKSI, mengukuhkan biah solehah dalam komuniti PERUBATAN dengan penerapan konsep tarbiah dalam setiap program, memelihara ikhtilat mengikut batasan syariat, penggunaan media elektronik secara optimum, menggalakkan pelaksanaan solat jemaah dan mengukuhkan tautan ukhuwah dalam kalangan ahli.

Begitu juga aspek membina kemantapan rohani dan sahsiah ahli melalui perancangan taqwim yang efisyen akan disusun dengan baik dan seterusnya mampu untuk melahirkan ikon yang mampu menjadi qudwah atau ikutan kepada ahli dengan meningkatkan keperibadian diri, pemerkasaan thaqafah dan meletakkan aspek pentarbiahan dalam kursus kepimpinan. Sama-samalah kita renungkan Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab ayat 21:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(4) Agenda Profesionalisme; Ke Arah Melahirkan Doktor Muslim Profesional

Gerak kerja PERUBATAN perlulah seiring dengan tempoh penubuhannya. Maka, bagi mematangkan lagi PERUBATAN dalam pelbagai aspek, agenda Profesionalisme harus diketengahkan.  Agenda Profesionalisme sebenarnya telah dibawa oleh PERUBATAN pada sesi yang lalu iaitu pada sesi 2012/2013. Maka pada sesi kali ini, sekali lagi PERUBATAN membawakan agenda ini untuk dilaksanakan dan diperkasakan lagi khususnya di cawangan-cawangan PERUBATAN yang baru ditubuhkan. Bagi agenda ini  PERUBATAN mensasarkan agar dapat memperlihatkan persatuan yang menaungi semua mahasiswa jurusan Sains Kesihatan ini sebagai persatuan yang mampu melahirkan ahli yang bakal menjadi doktor muslim profesional dan berketerampilan di samping memperlihatkan PERUBATAN sebagai sebuah persatuan yang  mementingkan kualiti dan mencapai piawaian tertentu dalam semua aspek pengurusan dan gerak kerja. Jiwailah maksud Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang itu, yang apabila dia melakukan sesuatu, dia melakukan dengan itqan (bersungguh-sungguh dan teliti)”

Hasrat PERUBATAN untuk melahirkan pengamal perubatan Muslim yang bukan sahaja professional bahkan terkehadapan dalam aspek pemikiran, penilaian dan tindakan berlandaskan ilmu dan syariat Islam. Pengamal perubatan yang dihasilkan merupakan pengamal perubatan yang berpotensi dan sangat berkualiti dengan mempunyai penguasaan ilmu perubatan yang baik serta mempunyai sahsiah yang terpuji. Kita melihat bahawa mahasiswa yang mengikuti kursus sains kesihatan semakin ramai terutama dibumi Mesir ini, maka sayang sekali jika mahasiswa yang begitu ramai tidak mampu berkhidmat di Malaysia dengan menonjolkan ciri-ciri muslim profesional yang berminda kelas pertama. Tambahan pula, kita bukan sahaja ingin menguasai bidang ilmu perubatan tetapi juga menguasai ilmu-ilmu lain seperti ilmu agama, malah mampu mendepani isu-isu global secara bijak dan holistik.

Satu usaha yang lebih jitu akan dilaksanakan dalam rangka melahirkan personaliti yang berketrampilan cemerlang dan matang dalam membuat keputusan untuk setiap tindakan dalam segala aspek. Pembentukan personaliti seperti soft skills, multitasking, keteguhan jati diri dan komunikasi juga akan turut diberi perhatian, dengan matlamat untuk menjadikan mahasiswa sains kesihatan di Mesir lebih terkehadapan dan berani menyuarakan pandangan dengan memberi ruang kepada ahli untuk bersuara dan menjadikan ia sebagai realiti.

Kewujudan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dilihat mampu untuk memperkasakan agenda profesionalisme dengan harapan PERUBATAN pada tahun ini dapat memandu PERUBATAN dengan lebih baik dan ke arah melahirkan pengamal perubatan muslim yang profesional.

(5) Menuju Mardhatillah Hadaf Kita

Di samping berusaha mencapai kesemua agenda yang kita bawakan, hendaklah kita semua selami dan peringati bahawa kesemua agenda tersebut tidak lain tidak bukan adalah untuk mencapai mardhatillah. Dalam kesedaran membawa kelima-lima agenda tersebut, Allah merupakan ghayah kita dengan memberikan pelbagai pendekatan dalam setiap gerak kerja persatuan PERUBATAN.

Sekiranya diteliti segala objektif dan gerak kerja PERUBATAN, pastinya kita semua faham akan hadaf utama PERUBATAN dalam meletakkan semua ahli menuju redha Allah dan bukannya redha manusia. Kata-kata mutiara ada menyebut:

“Keredhaan semua manusia adalah tujuan yang tidak dapat dicapai”.

Sedarlah bahawa, akademik ahli yang kita usahakan, kebajikan ahli yang kita prihatin, kesatuan ahli yang kita pertahankan, modal insan yang kita ingin lahirkan dan profesionalisme yang kita mantapkan adalah untuk melahirkan doktor muslim di bawah aqidah yang sama mengabdikan diri kepada Allah S.W.T dalam mencapai Jannah di akhirat kelak. Kita saling memberi, kita saling membantu antara satu sama lain, kita berterus-terusan saling bekerjasama dan kita saling merasai pahit manis perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. Insya Allah.

Seruan untuk semua ahli dan pimpinan, jadikanlah 5 agenda pembawaan PERUBATAN pada tahun ini sebagai teras dalam kehidupan seharian kita. Ingat, berkhidmat dengan PERUBATAN ini hanyalah sebagai wasilah dakwah sahaja, namun hakikat sebenarnya, kita semua menyeru hanya kepada Allah, kerana Allah sahajalah satu-satunya ghayah kita.

Sekian, selamat bekerja untuk Allah, Seeru ‘Ala Barakatillah! Demi Islam ditegakkan!

Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

"At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah"
"Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati"

rahim

Abd Rahim Bin Samad
Presiden mewakili ahli Majlis Tertinggi PERUBATAN
PERUBATAN 2013/2014

Ditulis dalam Kenyataan

 logo perubatan

 بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah Wassyukrulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmat & nikmat-Nya, dengan izin & kurnia-Nya, dengan iradah & inayah-Nya, serta dengan taufiq & hidayah-Nya, kita telah diberi peluang untuk sama-sama berada di dalam dewan yang serba indah ini bagi menjayakan Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-9. Selawat & Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, tokoh agung yang telah membawa rahmat kepada sekalian alam, penghulu bagi ummat yang cukup bertuah ini; atas segala usaha gigih Baginda dalam menyebarkan risalah Islam sehingga ia sampai kepada kita pada hari ini. Semoga kita tergolong dalam kalangan ummat Baginda yang mendapat syafaat daripada Baginda pada hari Akhirat kelak.

Yang berbahagia, saudara Ahmad Ibrahim Yahaya, ketua Lembaga Penasihat PERUBATAN sesi 2012/2013, serta seluruh ahli Lembaga Penasihat PERUBATAN sesi 2012/2013;

Yang dihormati, barisan AJKT PERUBATAN, AJKT PERUBATAN Cawangan serta AJKT OPU Kaherah Ain Shams & Al-Azhar;

Yang dikasihi, barisan Veteran PERUBATAN yang dijemput khas pada hari ini, saudara Syafiq Hamdani, saudara Husaini Saleh, saudara Syafiq Mat Moor, saudari Nur Madihah & saudari Natrah;

Yang berusaha, saudara Muhammad Hafiz Nazri, Pengarah MAT PERUBATAN Kali Ke-9 serta seluruh eksekutif pelaksana MAT-9;

Seterusnya, hadirin hadirat, ikhwah akhawat, sidang perwakilan yang dirahmati Allah sekalian.

Buat pertamanya, saya ingin mengucapkan Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum dan selamat datang kepada seluruh perwakilan MAT-9 yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, idea dan wang genih bagi menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjadi sebahagian daripada penyambung mata rantai perjuangan PERUBATAN pada hari ini.

Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah S.W.T yang telah mengizinkan PERUBATAN untuk menjangkau usianya yang ke-11 tahun sejak ia ditubuhkan pada tahun 2002 dahulu. Tahun yang ke-11 ini menyaksikan PERUBATAN masuk ke fasa “teenage” yang menjadi satu titik tolak yang penting ke arah memacu PERUBATAN menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang pada masa hadapan. Setelah melewati zaman penubuhannya yang cukup bermakna, kini PERUBATAN berada pada zaman pembinaan dan pengukuhan. Seiring dengan perkembangan tersebut, semua ahli telah melihat bahawa PERUBATAN merupakan sebuah persatuan atau badan yang bersifat dinamik, tidak statik dan sentiasa mencari dan membuka ruang dan peluang untuk memperbaiki setiap aspek yang ada dalam PERUBATAN demi mencapai kestabilan yang jitu pada masa hadapan.

Dalam tempoh tersebut, PERUBATAN telah mengalami beberapa siri pembaharuan dan penambahbaikan sama ada dalam aspek pentadbiran, kepimpinan, penstrukturan organisasi, gerak kerja serta hubungan luar dengan pihak lain. Walaupun masih di usia muda remaja, PERUBATAN telah mengorak langkah untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan persatuan mahasiswa Malaysia lain di seluruh dunia dan akan terus menempuh laluan yang mendatang dengan jayanya bagi memacu seluruh ahlinya ke arah yang lebih unggul dan mapan.

Berikut merupakan 5 kesimpulan yang boleh saya buat bagi menggulungkan prestasi & pencapaian PERUBATAN bagi sesi 2012/2013.

(1) Kesatuan Mahasiswa Sains Kesihatan: Satu Impian, Satu Harapan,
Satu Kejayaan buat PERUBATAN!

Agenda kesatuan, merupakan agenda dengan prioriti teratas yang telah diletakkan dalam PERUBATAN. Hal ini atas kesedaran bahawa, impian memastikan wujudnya kesatuan dalam kalangan warga Malaysia di Mesir, adalah akar umbi kepada penubuha PERUBATAN sendiri. PERUBATAN adalah wadah untuk bertaaruf, bertolong bantu dalam kebaikan, beringat-ingat daripada kemaksiatan. Kesatuan dalam PERUBATAN, seperti mana yang sentiasa kita war-warkan, adalah pembinaan ikatan persaudaraan Islam, atau ukhuwwah Islamiah dalam kalangan ahli yang berbeza latar belakang, berbeza tajaan dan penyelaras, juga sudut pandangan, atas dasar satu aqidah dan bidang pengajian yang sama, di lokaliti yang sama dalam satu persatuan dan penyelarasan, di samping mengelakkan perselisihan dan pertindanan gerak kerja.

Sesi 2012/2013 merupakan satu sesi penuh bersejarah dalam melakar dan menghubung jalin kesatuan dalam kalangan ahli di setiap universiti. Bagi menjamin kelangsungan ikatan ukhuwwah sekaligus menyatukan suara-suara ahli dari seluruh Mesir, bukan sedikit keringat dan usaha telah dilaburkan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan sistem Majlis Tertinggi PERUBATAN yang bakal meneruskan pentadbiran PERUBATAN di peringkat pusat untuk menaungi hampir 7160 ahli.

Usaha demi usaha, perbincangan demi perbincangan, bancian dan sehinggalah ke proses terakhir iaitu Mesyuarat Agung Khas kali Pertama telah dilakukan dalam merangka pembentukan MTP, yang pada asalnya merupakan satu usul yang telah kita luluskan hampir sebulat suara dalam MAT-8. Kerja keras yang dilakukan bagi penubuhan MTP ini, tidak lain tidak bukan, adalah kerana kita meyakini bahawa sistem MTP akan menjadi batu asas yang paling kukuh dalam menggerakkan agenda kesatuan yang kita bawa.

Organisasi PERUBATAN Universiti (OPU) yang terbentuk sebelumnya, seolah-olah satu perancangan yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui dengan perancangan yang Subhanallah, sungguh indah, menambah baik gerak kerja ke arah penubuhan MTP. OPU di ketiga-tiga buah universiti, telah kita gerakkan dengan teliti, dengan misi ke arah penubuhan Cawangan baru di sekitar Kaherah.

Selain itu, usaha turut digiatkan dalam menghubungjalin hubungan erat antara pimpinan PERUBATAN dengan pihak pentadbir universiti. Dekan fakulti, Naib Dekan dan Ko-ordinator Pelajar menjadikan PERUBATAN sebagai saluran bagi menghubungi pelajar Malaysia, dan sekaligus mula mengamalkan pemusatan maklumat dan arahan kepada pelajar Malaysia melalui pimpinan PERUBATAN.

Hasilnya, kita dapat menikmati kemudahan menggunakan fasiliti Universiti. Sebagai contoh, PSD Akhawat yang diadakan di Zagazig, mendapat tajaan dan kerjasama penuh daripada Universiti Zagazig sendiri, dengan membenarkan penggunaan Stadium Universiti. PCI turut dilihat mendapat kelebihan yang serupa dalam penggunaan pusat konvensyen dalam program-program pelajar anjuran PCI. Di Tanta, pihak universiti juga telah bermurah hati untuk membekalkan buku teks secara percuma kepada para mahasiswa Malaysia. Malahan, buat julung-julung kalinya, jika selama ini kita hanya mampu mengadakan Majlis Apresiasi Graduan, namun pada tahun ini, semua PERUBATAN Cawangan telah berjaya menganjurkan Majlis Konvokesyen khusus untuk para graduan Malaysia dengan kerjasama penuh universiti masing-masing.

PERUBATAN turut berusaha keras untuk menjalinkan hubungan dengan Ittihad Tolabah sebagai medium jalinan hubungan dua hala yang terbaik antara pelajar Malaysia dan Mesir di kampus. Dalam hal ini, PCI dan PCM dilihat mengorak langkah yang lebih terkehadapan dalam menjalin hubungan dengan persatuan pelajar yang menaungi mahasiswa antarabangsa yang lain dan mahasiswa tempatan. Sebagai contoh, PCI melalui Alexendria Medical Team telah menjalinkan hubungan dan melaksanakan aktiviti dengan pihak AMSRA dan PCM pula telah berjaya menghantar seorang wakil untuk menjadi Exco bagi “Wafidin Club” di Universiti Mansurah.

Dalam usaha merapatkan jurang antara tiga jurusan pengajian ahli, dan menggalakkan penglibatan aktif daripada mahasiswa jurusan Pergigian dan Farmasi, usaha keras telah diambil terutama dalam mengumpulkan cadangan dan idea daripada mereka sendiri. Saudari Hanisah Naspu, Timb. Ketua BPP merupakan tunjang terkuat yang sentiasa membawa perhatian kami kepada pelajar jurusan Pergigian. Sama juga halnya dengan saudari Farhana Zainudin dari Zagazig, yang membawa suara daripada jurusan farmasi. Kami mengharapkan lebih ramai pelajar jurusan pergigian dan farmasi yang bergiat aktif dalam menyalurkan suara anda, sekaligus membawa perubahan dan kebaikan kepada PERUBATAN supaya bergerak dengan lebih meluas, holistik dan menyeluruh.

Seminar Pharmed yang dianjurkan oleh PCZ untuk mahasiswa jurusan Farmasi & Perubatan merupakan satu pembaharuan yang sangat dibanggakan. Begitu juga dengan penubuhan Al-Azhar Dental Team, yang akhirnya dapat melaksanakan program pertama mereka beberapa hari lepas yang diberi nama “FLY”, setelah melalui pelbagai rintangan dan halangan selama setahun tempoh perancangan pelancaran.

Satu lagi perkara yang saya kira wajar untuk saya highlightkan di sini, saya amat berbangga dan kagum dengan usaha para senior jurusan pergigian dari Universiti Mansurah, yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dalam memberi tunjuk ajar kepada para pelajar pergigian di Azhar yang agak muda berbanding pelajar Mansurah. Sokongan dan kerjasama padu antara mahasiswa Universiti Mansurah dan Universiti Al-Azhar ini, saya kira sebagai satu teladan terbaik untuk dicontohi kita semua.

Suka untuk saya sebutkan, dalam merangka pengisian untuk program mega PERUBATAN seperti Seminar PERUBATAN kali ke-5, penekanan dan peringatan bahawa peserta seminar bakal terdiri daripada pelajar ketiga-tiga jurusan telah merubah landskap penggubalan pengisian seminar. Panel Akademik cuba sedaya upaya untuk memastikan pengisian yang disediakan adalah relevan dan sesuai untuk ketiga-tiga jurusan. Kesemua langkah ini sekaligus melunaskan tiga usul yang menyebut tentang MTP, Hubungan dengan Pihak Universiti dan Kesatuan Mahasiswa tiga Jurusan yang telah kita luluskan dalam MAT-8 yang lalu.

Dalam agenda kesatuan, kita turut meletakkan target supaya ahli merasakan “sense of belonging” terhadap PERUBATAN. Untuk itu, ruang dan peluang untuk seluruh ahli sama-sama terlibat dalam gerak-kerja PERUBATAN, telah kita buka seluas-luasnya. Gerak kerja Pendaftaran dan Delegasi PROF telah diperkuatkan bagi memastikan ahli mempunyai ruang dan peluang yang terbuka untuk bersama PERUBATAN. Peningkatan kadar pendaftaran baru sebanyak 23% dan penampilan muka-muka baru dalam gerak kerja PERUBATAN, adalah sesuatu yang amat kami banggakan.

Ruang muhasabah dan maklum balas sentiasa dibuka kepada ahli dengan sentiasa mengingatkan para AJKT supaya sentiasa bertanya khabar dan meminta pendapat ahli untuk disalurkan kepada AJKT yang lain. Setiap program PERUBATAN dilampirkan borang muhasabah yang mengandungi ruang untuk menyalurkan sebarang maklum balas kepada pimpinan. E-mel rasmi PERUBATAN, This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. turut dilancarkan bagi memudahkan proses komunikasi dua hala.

Selain itu, dalam menggerakkan agenda ini, Panitia Perancang telah digerakkan dengan prinsip penganjuran program pada skala kecil yang meraikan kepelbagaian minat ahli, sekaligus memberi lebih ruang untuk penglibatan lebih ramai ahli dalam program PERUBATAN. Fokus dan galakan diberikan kepada penganjuran program di peringkat batch dan universiti, bagi membolehkan partisipasi ahli yang pelbagai, sekaligus membuka ruang untuk merapatkan ukhuwwah antara ahli dalam batch dan lokaliti masing-masing. Untuk itu, program-program PERUBATAN yang dilaksanakan melalui setiap batch telah digalakkan, dan penganjuran program secara inter-batch di peringkat Universiti juga turut diminta untuk dilaksanakan. Asasnya, konsep yang digunakan adalah, biar kecil, tapi mampu menemukan ahli dan mengikat ukhuwwah sesama ahli.

Sebagai kelangsungan kepada kesatuan inter-universiti, kami melihat sukan merupakan antara medium yang terbaik. Justeru, PERUBATAN melalui BSAL tampil dengan penganjuran CHAMPS dan PSD. Selain itu, penganjuran Seminar PERUBATAN kali ke-5 yang mempertemukan seramai 700 orang peserta, dan MAT-9 pada hari ini dengan kapasiti seramai 750 orang Perwakilan, turut membawa agenda kesatuan dalam memberi penerangan dan kesedaran bahawasanya kita semua berada di sini dengan satu hadaf yang sama, iaitu mengorak langkah ke arah kegemilangan Islam melalui ilmu dan kerjaya dalam bidang Sains Kesihatan.

(2) PERUBATAN Menjana Keterbilangan Akademik & Profesionalisme Mahasiswa

Jika kita menyingkap kembali taqwim PERUBATAN sejak 3 Mac yang lalu sehinggalah ke hari ini, kita akan melihat betapa banyak usaha PERUBATAN ke arah memastikan pencapaian akademik ahli berada pada tahap yang cemerlang. Agenda akademik yang memfokuskan kepada beberapa objektif seperti kecemerlangan peperiksaan, pemantapan kemahiran klinikal, penguasaan ilmu pengetahuan serta pembinaan doktor Muslim professional telah berjaya diimplematasi dengan baik. Menyedari betapa pentingnya nilai ilmu bagi setiap ahli PERUBATAN, pada sesi kali ini, panitia perancang PERUBATAN telah memberikan prioriti dan keutamaan kepada program-program yang berunsurkan akademik berbanding program-program lain, sama ada di Kaherah mahupun di cawangan.

Melalui Biro Akademik, PERUBATAN telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pelbagai aktiviti dan program yang bertujuan untuk membantu para ahli meningkatkan pencapaian akademik masing-masing. Bulan April 2012 telah menyaksikan sekali lagi pelaksanaan bulan akademik yang dikenali sebagai “Medicophilic Month” (MeM) selama 3 minggu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dan kepimpinan ahli bagi menyiapsiagakan bakal graduan Mesir yang berkarisma dan berwibawa dalam segenap aspek. Aktiviti-aktiviti seperti debat, kuiz, penulisan artikel serta pembikinan video telah memberikan peluang kepada para ahli untuk menyalurkan bakat terpendam yang dimiliki melalui saluran yang kompetetif dan interaktif yang disediakan oleh PERUBATAN.

PERUBATAN juga telah membuat satu analisis keseluruhan bagi keputusan peperiksaan akhir tahun 2012 bagi mengkaji tahap pencapaian ahli-ahli PERUBATAN dalam pelbagai jurusan. Hasil analisis ini telah dijadikan asas oleh Biro Akademik bagi menyusun strategi terbaik dalam memperbaiki prestasi akademik para ahli PERUBATAN. Ia merupakan satu usaha yang amat penting bagi memastikan pencapaian akademik ahli berada pada tahap yang memuaskan.

Permulaan sesi akademik 2012/2013 telah dirancakkan dengan pelbagai program akademik. Antara yang terpenting adalah program Glow with Flow yang merupakan sebuah program orientasi akademik dan motivasi untuk semua ahli mengikut tahun dan jurusan masing-masing. Ia dijalankan dalam bentuk forum yang menampilkan panelis dalam kalangan senior yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang. Sistem tutorial juga turut berjalan seperti biasa, di mana para pelajar yang memerlukan bimbingan khusus dalam aspek akademik telah disusun dalam kumpulan kecil yang dibimbing oleh para tutor berkelayakan yang dipilih oleh Biro Akademik. Walaupun terdapat banyak kelemahan dan masalah yang masih boleh diperbaiki, sistem tutorial merupakan sesuatu yang harus dibanggakan kerana PERUBATAN berjaya menerapkan unsur memberi dan menerima dalam kalangan senior dan junior bagi setiap universiti. Program-program lain seperti Malam Munajat Perdana, Exam Fever Campaign (EFC), STARGATE, Majlis Anugerah Kecemerlangan (GRAND) turut dianjurkan bagi mencapai objektif yang telah digariskan dalam Agenda Akademik PERUBATAN.

PERUBATAN Medical Team juga telah melangkah laju dan tidak terlepas daripada pelaksanaan transformasi dalam struktur organisasi dan gerak kerjanya terutamanya Mansurah medical Academy (MMA). Pertambahan ahli yang terdiri daripada setiap Cawangan di seluruh Mesir telah berlaku dengan sangat mendadak sehingga melebihi kemampuan yang ada pada para petugas Medical Team. Hal ini dibuktikan dengan ramainya jumlah peserta sehingga mencecah 150 orang yang mengambil bahagian dalam sesi temuduga yang telah dijalankan pada hujung Disember 2012 yang lalu di sekitar Kaherah. Pelbagai bengkel, pembentangan, perbincangan kes dan LDK telah diadakan bagi melatih para ahli Medical Team untuk memperkasa kemahiran klinikal, bukan semata-mata untuk diri mereka, tetapi juga untuk diajar kepada ahli PERUBATAN yang lain. Unit Fiqh PERUBATAN juga telah memainkan peranan yang cukup baik melalui medium ”Night of Cultivating Excellene, NiCE” dalam memberi pendedahan kepada mahasiswa/I sains kesihatan tentang pengamalan ilmu perubatan, pergigian dan farmasi menurut acuan hukum Islam. Terbaru, para ahli PERUBATAN jurusan pergigian di Universiti Al-Azhar dan Iskandariah akan berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik melalui Dental Team yang baru sahaja ditubuhkan mengikut Cawangan masing-masing.

Cuti musim panas juga tidak terlepas daripada dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang dirangka khusus bagi meningkatkan thaqafah ahli berkaitan isi-isu penting yang berlegar dalam dunia sains kesihatan. Program “Hopes for the Future, HOPE” yang telah diadakan hasil kerjasama dengan Persatuan Mahasiswa Perubatan UKM (PERSIAP) telah membuka satu dimensi baru yang membuka mata para ahli PERUBATAN dalam melihat realiti sebenar sistem kesihatan di Malaysia. PERUBATAN turut mengukuhkan kerjasama dua hala dengan Kerjaan Negeri Kelantan buat tahun kedua berturut-turut melalui program Yahoo! @ Beijing yang telah diadakan dengan kerjasama PAPISMA Cawangan Kelantan. Program seumpama ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk mempraktikkan kemahiran “medical check-up” yang dipelajari selama ini di samping memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Sambutan adalah amat menggalakkan sehinga ramai yang tidak dapat menyertai kerana tempat sudahpun penuh. Menyedari bahawa permintaan dalam kalangan ahli terlalu tinggi untuk menyertai program-program  seperti ini, PERUBATAN akan cuba menyediakan ruang yang lebih luas agar manfaatnya dapat dimaksimumkan kepada lebih ramai ahli.

Di Mesir pula, PERUBATAN turut menggalakkan para ahli yang tidak pulang bercuti di Malaysia untuk mengaktifkan diri membuat “elective posting” di hospital-hospital di Mesir dengan bantuan daripada para koordinator pelajar Malaysia di setiap Universiti. Di samping itu, satu program bersama para pelajar yang mengulang tahun telah diadakan bagi membangkitkan kembali semangat mereka dalam meneruskan jihad menuntut ilmu ini.

Pada cuti musim sejuk baru-baru ini, Seminar PERUBATAN Kali Ke-5 & “Winter Roadshow” ke semua Cawangan yang menampilkan para doktor muda PAPISMA yang energetik telah menjadi kemuncak kepada seruan Agenda Akademik PERUBATAN kepada seluruh mahasiswa/i sains kesihatan untuk benar-benar memahami, menjiwai dan mempraktikkan konsep jihad kesihatan yang menjadi salah satu pengisian utama dalam seminar berkenaan. Satu kelainan yang berjaya dibawa oleh PERUBATAN dalam Seminar ke-5 adalah kejayaan menjemput pengisi dalam kalangan Profesor berbangsa Arab seperti Prof. Dr. Omayma Kamel & Dr. Abdel Rahman Ezzat untuk sama-sama mencurahkan ilmu, buah pandangan dan berkongsi idea dengan ahli PERUBATAN semasa seminar tempoh hari.

Selain itu, bagi merealisasikan slogan “Ke Arah Melahirkan Doktor Muslim Profesional”, PERUBATAN melalui Agenda Profesionalisme juga telah memperbaiki mutu pelaksanaan “Professional Day” yang telah diwartakan sebelum ini pada setiap hari Isnin. Promosi mingguan telah digiatkan ke seluruh peringkat bagi memastikan ia sampai kepada semua lapisan ahli. Dalam usaha memandu PERUBATAN ke arah gerak kerja yang lebih profesional, satu unit khas di bawah Jabatan Setiausaha Agung telah diwujudkan bagi memantau segala gerak kerja persatuan bagi menjamin bahawa PERUBATAN adalah sebuah persatuan yang mementingkan kualiti, etika dan protokol sekaligus bergerak mengikut piawaian-piawaian yang telah ditetapkan. Sistem arkib, pendokumentasian, laporan serta surat-menyurat juga telah turut dinaiktaraf. Kewujudan Organisasi PERUBATAN Universiti Kaherah, Ain Shams & Al-Azhar telah banyak membantu melicinkan lagi gerak kerja pentadbiran PERUBATAN terutamanya dalam urusan yang melibatkan ahli di peringkat akar umbi.

Untuk makluman hadirin hadirat sekalian, setelah melihat pelbagai masalah yang timbul dalam setiap program anjuran PERUBATAN selama ini, Panitia Perancang PERUBATAN pada sesi ini telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah kertas kerja panduan pengurusan program yang menggariskan pelbagai etika bermula daripada perancangan, pelaksanaan sehinggalah kepada penilaian selepas program. Kursus Kepimpinan bagi para AJKT seluruh Mesir juga telah diadakan sebanyak dua kali bagi memastikan semua pimpinan PERUBATAN bergerak berdasarkan aturan perlembagaan dan etika gerak kerja yang telah ditetapkan serta diberikan input yang menyeluruh tentang tips-tips kepimpinan yang berkesan serta teknik yang betul dalam merangka pelan strategik bagi setiap portfolio.

(3) Kebajikan Terunggul Pemangkin Kemaslahatan Ummah

Agenda kebajikan akan kekal sebagai agenda ‘evergreen’ dalam PERUBATAN. Nilai-nilai kebajikan yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W perlu dterapkan dalam setiap gerak kerja PERUBATAN. Sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Allah sentiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya” (Hadis Riwayat Muslim). Atas seruan ini, PERUBATAN terus komited dalam usaha mendokong dan menyampaikan usaha-usaha kebajikan kepada seluruh mahasiswa sains kesihatan Malaysia di Mesir tidak mengira latar belakang, bidang pengajian dan sudut pandangan yang berbeza.

Pelbagai medium dan usaha yang digunakan oleh PERUBATAN dalam usaha memperkasa kebajikan ahli. Pada tahun ini, wang Tabung Kasih Sayang (TKS) yang disumbangkan oleh para ahli yang berkemampuan dari seluruh Mesir yang berjumlah hampir LE 60, 000 telah disalurkan secara adil dan optimum kepada mana-mana sahabat yang ditimpa musibah serta behajat kepada bantuan kewangan. Tabung-tabung bantuan derma kilat juga dilancarkan sebagai satu usaha muafakat bersama antara pimpinan dan ahli untuk meringankan beban dan kesedihan sahabat-sahabat kita yang diuji oleh Allah S.W.T.  Pada bulan Mei 2012, kesulitan untuk menjelaskan yuran pengajian yang menimpa segelintir pelajar jurusan sains kesihatan di Kaherah telah mendorong PERUBATAN untuk menjalankan satu kutipan derma kilat berskala besar.  Alhamdulillah usaha kecil ini telah berjaya meringankan beban kewangan individu-individu yang terlibat. Selain itu, usaha PERUBATAN Cawangan Zagazig baru-baru ini dalam menyelesaikan isu yuran bagi mahasiswa/I farmasi yang mengulang tahun harus diberikan pujian kerana ianya telah membuahkan hasil setelah beberapa siri pertemuan dan perbincangan diadakan dengan pihak Education Malaysia Egypt (EME).

PERUBATAN juga turut mempamerkan keprihatinan akan kebajikan ahli PERUBATAN yang terlibat dalam isu penarikan pinjaman oleh Yayasan Terengganu pada bulan Disember 2011 yang lalu. PERUBATAN pada ketika itu telah bersama-sama dengan semua Badan Kebajikan Anak Negeri menghulurkan bantuan kepada semua mangsa yang terlibat dalam bentuk kewangan serta sokongan moral bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka. Selain itu, PERUBATAN turut mengelurkan satu kenyataan rasmi serta mengadakan satu pertemuan khas dengan semua mahasiswa Terengganu yang ditimpa musibah bagi membuktikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap mereka.

Kebajikan yang diterapkan oleh PERUBATAN mempunyai skop yang amat luas dan menyeluruh. Sebagai contoh, usul MAT kali ke-8 yang menyeru PERUBATAN untuk bersama-sama dalam menyokong perjuangan umat islam Syria menentang regim Bashar Al-Asad yang zalim telah menjadi pemangkin kepada PERUBATAN untuk lebih agresif dalam melahirkan mahasiswa yang cakna dan bertindak dengan bijak atas kapasiti seorang mahasiswa dalam isu kemanusiaan terutamanya yang melibatkan umat islam. Program-program seperti Kempen Save Syria, Malam Amal PERUBATAN, pengisian khas bersama MAPIM dan Muslim Care dianjurkan demi memberi peluang seluas-luasnya kepada semua ahli untuk sama-sama mengambil bahagian membantu saudara se-Islam yang dizalimi. Tidak dilupakan, jutaan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua ahli PERUBATAN yang sangat prihatin dan bermurah hati dalam menginfaqkan wang dalam pelbagai kutipan derma yang dilancarkan oleh AQSA PERUBATAN. Antaranya ialah kutipan tabung “Save Syria” yang mencecah LE 86, 000, kutipan semasa Majlis Makan Malam Amal PERUBATAN yang mencecah LE 40, 000, kutipan semasa “LE 4 Gaza” yang berjumlah LE 21, 000, yang terbanyak, kutipan bersempena “Operation Pillar of Defense” yang berjaya mengumpulkan hampir LE 120, 000, lelongan barang amal dan banyak lagi. Semua ini menjadi bukti dan manifestasi pengorbanan para ahli PERUBATAN dalam membantu saudara se-Islam kita di bumi Palestin, Syria dan di wilayah Arakan, Burma.

Bertepatan dengan Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Maidah ayat 2, yang bermaksud, “Hendaklah kamu saling menolong dalam kebaikan dan ketakwaan”, maka, aspek kebajikan yang berkonsepkan “give and take” sentiasa dicanang oleh PERUBATAN dan jelas telah berjaya direalisasikan dalam komuniti PERUBATAN pada hari ini. Contohnya, melalui hasil sumbangan ahli-ahli yang prihatin, Sistem Infaq Berunit (SIB) yang dijalankan di bawah Biro Perumahan telah berjaya menampung kos sewa dan penyelenggaraan markas-markas PERUBATAN di sekitar Kaherah. Selain itu, Sistem Mahasiswa dan Aidiladha (SIWA) yang dilaksanakan setiap kali Sambutan Aidiladha (SAADAH) juga mendapat sambutan yang sangat memberansangkan daripada para ahli yang memahami konsep “biji benih dan tangkai” dalam Surah Al-Baqarah bagi setiap wang yang didermakan untuk tujuan kebaikan di jalan Allah. Semoga amal kebajikan yang dijayakan oleh semua pimpinan dan ahli PERUBATAN mendapat ganjaran yang cukup bernilai di sisi Allah S.W.T.

(4) Ekonomi Dipacu, Tenaga Dipadu, PERUBATAN Terus Maju!

Agenda pemacuan ekonomi yang julung-julung kalinya diimplementasikan pada sesi ini, telah membawa perubahan yang signifikan dalam pemantapan ekonomi PERUBATAN.

Pengkajian serta pembaharuan telah dilakukan dalam segenap aspek sistem pengurusan kewangan, daripada aspek penjanaan ekonomi hinggalah kepada urusan perbendaharaan PERUBATAN. Sistem pengurusan kewangan yang dikemaskini serta perluasan kerjasama ekonomi dalam Biro Ekonomi PERUBATAN telah menatijahkan peningkatan pulangan yang dijana mencapai LE 65, 317.10 berbanding LE 21, 416 pada sesi lepas. Berikutan daripada itu, untuk pertama kalinya, Biro Ekonomi telah berkemampuan untuk menyumbangkan hasil yang diperolehi untuk kegunaan program anjuran PERUBATAN yang selama ini sumbernya adalah daripada akaun semasa PERUBATAN, dan ia adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan. Asas-asas hubungan luar ekonomi juga telah dibina bagi memudahkan proses perluasan pasaran yang akan diteruskan oleh penggerak-penggerak ekonomi PERUBATAN yang akan datang di semua peringkat.

Melalui agenda ini, beberapa strategi telah dilakukan dalam sistem urusan keluar masuk PERUBATAN bagi memastikan segala prosedur berlaku secara berkesan. Rentetan daripada itu, program-program anjuran PERUBATAN pada sesi ini adalah program-program yang bersifat ‘cost-effective’, mengamalkan penjimatan, dan dalam masa yang sama tidak mencapah daripada objektif yang telah digariskan. Beberapa perubahan positif juga telah berlaku bersempena perlaksanaan usul muhasabah serta audit perbendaharaan pada setengah sesi oleh Jabatan Bendahari Kehormat PERUBATAN, terutamanya aset PERUBATAN dapat dikenalpasti secara keseluruhan. Berikutan daripada itu, ia telah menjadi satu asas kepada penambahbaikan dalam sistem pengurusan yang berkesan dan berhemat serta akan memudahkan para ahli PERUBATAN untuk mendapat manfaat daripada aset PERUBATAN pada masa hadapan.

Selain itu, aspek penjanaan dana juga telah diberi penekanan yang serius dalam memacu ekonomi  PERUBATAN. Hasil yang diperoleh daripada Projek Dana PERUBATAN 2012 yang dijalankan pada sesi ini adalah berjumlah LE 63, 000 berbanding hanya LE 29, 000 pada sesi lepas. Dengan peningkatan ini, banyak kelebihan dan peluang dapat dimanfaatkan terutamanya dalam menjayakan objektif penjanaan aset-aset yang menjadi keperluan bagi memastikan gerak kerja PERUBATAN dapat dijalankan dengan berkesan serta mampu memberikan manfaat kepada seluruh ahli PERUBATAN.

Peranan dalam menjayakan agenda ini tidak hanya dimainkan di peringkat pimpinan sahaja, bahkan sebenarnya ahli PERUBATAN yang paling banyak memberikan sumbangan dalam menjayakannya. Ini menunjukkan bahawa terdapat kesedaran yang tinggi dalam kalangan ahli bahawa betapa pentingnya peranan mereka dalam menyumbang kepada masyarakat melalui medium persatuan dan seterusnya secara tidak langsung merealisasikan salah satu objektif agenda pemacuan ekonomi iaitu memupuk kesedaran ekonomi dalam kalangan ahli. Jutaan tahniah serta terima kasih diucapkan kepada semua penggerak ekonomi khasnya serta ahli PERUBATAN amnya dan semoga usaha yang kita lakukan pada hari ini akan terus memberi manfaat kepada generasi yang akan datang.

(5) PERUBATAN hanyalah Wasilah, Allah adalah Ghayah!

Slogan “bekerja dengan PERUBATAN, bekerja untuk Islam” bukan lagi satu omongan kosong, ia merupakan satu realiti yang harus kita semua sedari. PERUBATAN bukan semata-mata sebuah persatuan yang bersifat teknikal yang hanya melatih para ahlinya untuk menjadi cemerlang dalam aspek keduniaan semata-mata, malah, segala perkara yang kita lakukan tatkala bekerja bersama PERUBATAN ini adalah satu bentuk tarbiah buat kita semua selaku pendokong Islam. Para ahli telah diberi peluang untuk menggunakan pelbagai medium yang ada dalam PERUBATAN seperti akademik, multimedia, sukan, ekonomi, kebajikan dan lain-lain lagi bagi melakukan anjakan paradigma demi memastikan Dakwah Islamiah iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Buat akhirnya, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PERUBATAN ingin memohon jutaan kemaafan daripada semua ahli PERUBATAN seluruh Mesir atas segala kesilapan yang telah kami lakukan sepanjang berada di posisi ini. Kami juga ingin merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang telah menyokong dan mendokong gerak kerja PERUBATAN selama ini sama ada secara langsung, separa langsung ataupun di belakang tabir. Sesungguhnya, sokongan kalian semua merupakan tonggak dan tunjang kepada kesinampbungan PERUBATAN pada masa hadapan. Semoga segala komitmen, penat lelah dan jerit perih yang dihadapi oleh kalian sepanjang melaksanakan gerak kerja Islam melalui wasilah PERUBATAN ini akan diambilkira oleh Allah S.W.T sebagai satu bentuk amal soleh yang boleh dijadikan saham sebagai bekalan kepada kita di akhirat kelak seandainya kita ikhlas dalam melaksanakannya.

Sebelum saya mengundur diri, sekalung penghargaan dan tahni’ah diucapkan kepada seluruh barisan AJKT PERUBATAN sesi 2012/2013 atas sumbangan kalian yang cukup membanggakan. Juga tidak dilupakan kepada semua bakal pimpinan PERUBATAN sesi 2013/2014, semoga kalian terus thabat berada di atas landasan ini untuk terus menggalas amanah bagi memacu PERUBATAN ke arah yang lebih terkehadapan.

Sekian, Seeru ‘Ala Barakatillah! Selamat bersidang!

“Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati”
“At-Taqwa, As-Syifa', Ar-Rahmah”
 hafizijunaidi
Wan Ahmad Hafizi bin Wan Ahmad Junaidi
Presiden PERUBATAN 2012/2013.
Ditulis dalam Kenyataan

Hakcipta Terpelihara ©2007-2014 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version