Zagazig, 22 Mac- Dewan Muktamarat Kubra, Stadium Universiti Zagazig digamatkan dengan persoalan yang diajukan mengenai petisyen 'Say NO to akhawat PERUBATAN Mesir' ketika berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali Ke-10 (MAT-10) pada 21 Mac lalu.
Persoalan itu dilontarkan oleh Nur Syamiyyah binti Mustaffa Kamal, salah seorang perwakilan dari PERUBATAN Cawangan al-Azhar ketika sesi perbahasan Laporan Gerak Kerja PERUBATAN berlangsung.
Beliau mempersoalkan mengenai tindakan Majlis Tertinggi PERUBATAN (MTP) dalam menangani isu tersebut sekaligus membela kembali imej mahasiswi yang dianggap tercemar. Petisyen yang dilancarkan tersebut kelihatan merendahkan maruah mahasiswi yang dikatakan tidak menjaga maruah diri disebabkan pengabaian dalam menggunakan musyrif.
Menurut saudara Abdul Rahim bin Samad, mantan Presiden PERUBATAN 2013/2014, beliau menyifatkan isu tersebut sebagai isu yang kecil dan ia tidak sepatutnya berlaku. Beliau berpendapat bahawa ia adalah peranan kedua-dua belah pihak dalam memiliki pertimbangan dan kesedaran yang baik bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Sebenarnya kita berterima kasih kepada pihak ikhwah yang ada niat untuk menyedarkan akhawat tentang isu musyrif. Adapun saya sebutkan, perkara ini pihak ikhwah dan akhawat kena ambil sebagai iktibar," kata Nihal binti Mohd Tarmizi yang turut menyokong pernyataan mantan presiden ketika diminta mengulas lanjut berkaitan isu ini.
Beliau berharap bahawa sikap saling membantu dan menghormati antara mahasiswa dan mahasiswi dapat diterapkan supaya tidak mengeruhkan suasana harmoni yang telah lama terbina dalam kalangan ahli PERUBATAN. Nihal merupakan mantan Timbalan Presiden PERUBATAN 2013/2014