Zagaziq, 22 Mac C - " Sekumpulan askar warga Mesir telah mengganggu kelancaran program pada hari ini." Begitulah kekesalan yang telah diluahkan oleh Mohd Zakhiruddin Bin A Bakar, pelajar tahun empat daripada kuliah perubatan Universiti Zagazig, yang juga merupakan Pengerusi bagi PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2014/2015, seusai program MAT-10 yang berlangsung di bumi kuda putih pada 21 Mac yang lepas.
Program tersebut telah dihadiri oleh mahasiswa mahasiswi sains kesihatan Malaysia-Mesir yang rata-ratanya merupakan perwakilan dan pemerhati dari pelbagai cawangan. Namun, program tersebut mengalami sedikit gangguan apabila sekumpulan askar Mesir telah berkumpul di hadapan pintu masuk dewan untuk melakukan pemeriksaan beg yang tidak dijangka ke atas para tetamu. Akibatnya, terdapat sedikit kelewatan dalam setiap agenda yang direncanakan.
Selain itu, terjadinya insiden di mana askar telah mematikan dan menghidupkan lampu beberapa kali di lobi dewan. Perbuatan yang dianggap biadap itu seakan-akan ingin memberi isyarat kepada tetamu agar mengosongkan dewan dengan lebih cepat. Gelagat tersebut telah menimbulkan sedikit kekecohan dan menyebabkan para tetamu tergesa-gesa untuk keluar dari lobi dewan. Kejadian ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan para tetamu yang hadir dan pihak tuan rumah sendiri.