PERUBATANonline v4.14

Switch to desktop Register Login

[PWtC'15] TEMURAMAH mediaPERUBATAN BERSAMA AHLI KUMPULAN UNIC DAN HALIM AHMAD

Rate this item
(0 votes)

mediaPERUBATAN: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Apa khabar saudara bertiga? Selamat datang diucapkan kepada saudara semua ke Bumi Anbiya’ ini. Memandangkan masa senggang ini hanya sekejap, jadi saya akan terus bertanya beberapa soalan kepada saudara bertiga. Tiada soalan khusus ditujukan kepada sesiapa. Jadi, sesiapa sahaja boleh menjawabnya. Boleh?

Semua: Waalaikummussalam. Alhamdulillah baik. Terima kasih. Baik, boleh. Silakan.

mediaPERUBATAN: Antara kerjaya terbesar sebagai artis dalam industri nasyid adalah konsert khususnya konsert amal yang bertujuan untuk menjayakan misi kemanusiaan. Sepanjang pembabitan saudara bertiga dalam industri ini, apakah pandangan saudara tentang persepsi masyarakat terhadap kepentingan misi kemanusiaan dan kesedaran mereka untuk menyertainya. 

Fakhrul (UNIC): Alhamdulillah, kesedaran masyarakat memang semakin bertambah. Khususnya sebagai artis, semakin ramai yang turun sebagai sukarelawan. Ramai yang sedar dan ramai yang ingin membantu meringankan bebanan ketika sebarang bencana. Buktinya, dalam penganjuran konsert amal, tiket konsert memang sentiasa habis terjual. Mereka melihat konsert ini sebagai satu peluang untuk melakukan kebajikan. Untuk menderma pada waktu biasa mungkin banyak kekangan seperti masa dan nafsu tetapi dalam penganjuran konsert, masyarakat boleh sertai berhibur sambil menderma.

Halim: Ibaratnya konsert ini sebagai tabung di masjid. Tidak ramai orang mahu ke masjid apatah lagi untuk masukkan duit dalam tabung. Jadi konsert ini seperti kita membawa tabung kepada masyarakat. Jadi apabila mereka datang, mereka boleh dapat kedua-duanya, hiburan dan menderma juga.

mediaPERUBATAN: Saya difahamkan saudara bertiga adalah duta kepada Muslim Care. Jadi apakah mesej yang cuba disampaikan melalui penganjuran konsert amal?

Bazli (UNIC): Awal penubuhan Muslim Care adalah membantu misi kemanusiaan di Acheh. Dari situ tertubuhlah NGO ini dan yang terbaru UNIC sertai adalah misi kemanusiaan ke Syria. UNIC turun mengutip dana dan disalurkan dengan cara membeli barang di sempadan Jordan dan dihantar ke kem pelarian di Syria.

Fakhrul (UNIC): Sebenarnya, kehadiran selebriti ini adalah satu tarikan. Contohnya Heliza helmi, Salima, Ustaz Syed Kadir al-Joefri, Diana Amir, Afdhlin Shauki (sekadar menyebut beberapa nama). Kemunculan selebriti ini tidak lain adalah untuk menimbulkan kesedaran (create awareness). Menggunakan tarikan daripada selebriti ini untuk tarik peminat masing-masing dan selebriti ini sendiri menggunakan peluang yang sama untuk berbakti kerana untuk melakukan sendiri agak sukar. Jadi dengan platform yang telah disediakan oleh NGO ini, selebriti ini mampu ke hadapan untuk membantu dalam misi kemanusiaan. Apabila bersama-sama dibuat insyaAllah benda ini akan menjadi lebih besar dan matlamatnya tercapai.

mediaPERUBATAN: Baik, terima kasih. Seterusnya, sejauh mana sumbangan industri seni negara dalam membantu misi kemanusian. Adakah hanya dengan penganjuran konsert amal sahaja atau juga ada pembikinan filem atau penjualan vcd dan album juga?

Halim: Industri seni ini satu bidang yang luas termasuk lakonan, tulisan, nyanyian, seni mempertahankan diri dan sebagainya. Masing-masing ada peranannya. Dahulu kita melihat dalam misi kemanusiaan hanyalah melibatkan ustaz-ustaz, ahli agama dan ahli nasyid sahaja tetapi sekarang ini masing-masing dengan bidang masing-masing bersama peminat masing-masing turut memainkan peranan. Kami dalam industri nasyid ini berjuang dengan bidang kami seperti konsert dan jika boleh turun padang membantu contohnya ketika isu banjir, kami cuba turun. Jika ada artis yang punya nama, pendapatan atau populariti yang lebih, sudah pasti sumbangan mereka pun lebih. 

mediaPRUBATAN: Pada pendapat saudara, bagaimana medium hiburan ini dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa dalam lapangan pembelajaran atau lapangan dakwah sendiri?

Bazli (UNIC): Medium hiburan ini tidak hanya memberi manfaat pada mahasiswa sains kesihatan sahaja bahkan semua jurusan kerana semua orang sukakan hiburan. Cuma, bagaimana seorang artis memberi hiburan yang bermanfaat dan bagaimana seseorang mencari hiburan yang sesuai dengan dirinya. Hiburan ini membentuk peribadi, watak, emosinya dan boleh disalurkan untuk menjadi orang yang baik. Mahasiswa contohnya jika mendengar bahan hiburan seperti nasyid yang baik akan mempengaruhi karakter seseorang menjadi baik kerana nasyid ini sudah pasti membawa mesej yang baik, ada unsur dakwah dan menjadi ibadah. 

Fakhrul (UNIC): Sebagai tambahan, sebaliknya jika mendengar lagu yang tidak sepatutnya juga mempengaruhi watak kita ke arah yang tidak baik. Contohnya K-POP atau lagu-lagu lain yang melalaikan yang membuat manusia hilang rasional dan menyalahi adat dan syariat. Hiburan ini bukan benda yang bermain-main kerana antara agenda yahudi sendiri menggunakan hiburan untuk menyerang sebagai ‘Ghazwatul Fikr’ iaitu peperangan pemikiran. Bila kita salah memilih hiburan, mungkin dalam tidak sedar kita mungkin boleh memesongkan aqidah kita sendiri.

mediaPERUBATAN: (sambil ketawa) Yang terakhir sekali, sebagai seniorlah boleh saya katakan, apa nasihat saudara bertiga untuk kami semua memanfaatkan medium seni atau medium sains kesihatan untuk kami berjaya pada masa akan datang?

Bazli (UNIC): Fikirkan, sejauh mana apa yang kita perolehi dalam kelas, apa yang kita lalui di Mesir untuk kita praktikkan di Malaysia. Ramai yang datang hanya belajar tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengaplikasinya dalam suasana di Malaysia. Di sana mereka hanya bekerja sahaja. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menjadi multipurpose, multitask dan multitalent untuk kembali menyumbang kepada masyarakat. 

Fakhrul (UNIC): Kita tanya kembali apa yang boleh kita berikan kepada masyarakat. Contohnya pelajar beraliran agama, jika di sini sibuk berpersatuan kenapa di Malaysia hanya menjadi guru. Biar di sini, skil-skil dan peranan sudah dikembangkan. Jangan tunggu balik Malaysia baru hendak fikir. Jika kita hanya tunggu peluang baru hendak ambil, kita mungkin hanya duduk di dalam zon selesa menyebabkan sumbangan pada masyarakat terhad.

Halim: Lebih-lebih lagi apabila kalian adalah bakal graduan mesir, tanggapan masyarakat sangat tinggi. Mereka tidak bertanya adakah kita mengambil jurusan sains atau agama. Jangan hanya menjadi doktor tubuh badan sahaja tetapi jadi juga doktor untuk tarbiah mereka dan emosi mereka. Ambil seberapa banyak ilmu untuk diberikan kembali manfaatnya kepada masyarakat insya-Allah.

mediaPERUBATAN: Terima kasih banyak. Saya doakan yang terbaik untuk kerjaya saudara bertiga semua dan semoga perjalanan saudara di Mesir ini dipermudahkan Allah insya-Allah. Wassalam.10974510 10152773069768198 8002053635684186597 o

dihantar oleh Fathinah

Add comment

Comments from guests will be moderated. If you're PERUBATAN member, please Register to disable Captcha recognition and use full function of Comment. Thanks!


Security code
Refresh

Hakcipta Terpelihara ©2007-2014 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version