PERUBATANonline v4.14

Switch to desktop Register Login

[MAT-11] ‘Graduan Farmasi, Kami Bersamamu!’

Rate this item
(0 votes)

Kaherah, 13 Mac 2015- Ketika sesi ‘Pembentangan dan Perbahasan Usul’ pada Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-11 (MAT’11) di Pusat Konferens Kasr el-Aini, Universiti Kaherah pada 13 Mac yang lalu berlangsung, usul ‘PERUBATAN mendesak pihak berwajib menyelesaikan masalah pengiktirafan Jurusan Farmasi Klinikal di Universiti Zagazig, Mansurah dan Iskandariah’ yang dibawa oleh saudari Fatin Azzyati binti Pakururazi, pelajar tahun 5 jurusan farmasi Universiti Zagazig, telah mendapat sokongan padu apabila semua perwakilan yang hadir bersetuju dan menyokong tanpa berbelah bahagi. Ini menunjukkan keprihatinan ahli terhadap permasalahan yang berlaku dalam kalangan ahli PERUBATAN seiring dengan ucapan dasar Presiden PERUBATAN 2015/2016 saudara Haniz Iqbal bin Hazaidi untuk menerap nilai kesatuan dengan mempererat ukhuwah islamiah dalam kalangan masyarakat PERUBATAN.

   Ketika ditanyakan mengenai sejarah awal jurusan farmasi di Mesir, saudari Fatin Azzyati menceritakan pada awalnya, mahasiswa pertama jurusan tersebut datang ke Mesir pada tahun 1980-an telah pun berjaya pulang dengan ijazah Bachelor in Pharmaceutical Sciences dan kini memegang jawatan tinggi dalam institusi pengajian di Malaysia dan sehingga tahun 2009 tidak ada lagi mahasiswa bagi jurusan farmasi dihantar. Masalah akreditasi ini mula timbul apabila penghantaran semula mahasiswa jurusan farmasi ke Mesir pada tahun 2009 yang dibawa oleh agensi penghantaran pelajar ke tiga buah universiti iaitu Zagazig, Mansurah dan Iskandariah. Pada ketika itu, program Klinikal Farmasi adalah sebuah program baru yang ditubuhkan oleh pihak universiti, dan kesemua mahasiswa Malaysia yang mendaftar telah didaftarkan di bawah program Klinikal Farmasi dan ijazah mereka ialah ‘Bachelor in Pharmaceutical Sciences (Clinical Pharmacy)’.11071727 10152857560713198 3715174565707873547 n

   Beliau memberitahu bahawa isu ini timbul apabila terdapat graduan daripada Fakulti Farmasi yang telah pulang ke Malaysia pada Oktober 2014 yang lalu masih belum boleh mendaftar di bawah Lembaga Farmasi Malysia (LFM) kerana hanya ijazah Bachelor in Pharmaceutical Sciences sahaja yang diiktiraf oleh pihak LFM tetapi tidak Bachelor in Pharmaceutical Sciences (Clinical Pharmacy). Bahkan, mereka juga tidak dapat membuat permohonan untuk menduduki peperiksaan bagi pengamal farmasi. Pada Januari 2015 yang lepas, Mesyuarat Ahli Lembaga Farmasi Malaysia telah memutuskan bahawa lawatan akreditasi perlu dibuat ke universiti-universiti yang terlibat. Beliau juga turut mencadangkan agar PERUBATAN dapat memperkemas pendokumentasian gerak kerja antara pihak yang terlibat dan menggesa pihak berwajib seperti LFM, Education Malaysia Egypt (EME) dan universiti-universiti yang terlibat serta menghantar memorandum desakan supaya EME dan LFM memandang serius akan hal ini.

   “Sejujurnya saya berasa amat sedih dan terkilan setelah mendapat berita bahawa program Klinikal Farmasi tidak mendapat pengiktirafan dari LFM kerana kelayakan amat penting bagi seorang mahasiswa untuk mendapatkan peluang pekerjaan setelah pulang ke Malaysia kelak,” ujar saudari Raihana binti Razali, mahasiswi tahun 5 jurusan farmasi Universiti Zagazig. Beliau juga berharap agar isu pengiktirafan ini dipandang serius oleh semua pihak berwajib terutamanya LFM dan tindakan segera perlulah diambil agar kesemua graduan jurusan farmasi di Mesir dapat menggunapakai ilmu mereka sepertimana graduan sains kesihatan yang lain.

dihantar oleh Fathinah

Add comment

Comments from guests will be moderated. If you're PERUBATAN member, please Register to disable Captcha recognition and use full function of Comment. Thanks!


Security code
Refresh

Hakcipta Terpelihara ©2007-2014 PERUBATAN | Diubahsuai oleh Unit PERUBATANonline JPnP | Dikelolakan oleh mediaPERUBATAN
PERUBATANonline adalah laman komuniti Persatuan Pelajar-pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN)
Bahan-bahan dalam laman web ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan-BukanKomersial-PerkongsianSerupa 4.0 Antarabangsa Creative Commons..
Lesen Creative Commons

Top Desktop version